Oleh Shahbudin Husin
Di dalam dunia
ini rasanya tidak ada parti lain yang begitu mengada-ngada selain
daripada Pas. Hanya kerana menggunakan nama Islam, Pas selalu
beranggapan mereka sentiasa benar dan orang lain harus tunduk kepada
mereka.
Atas nama Islam, mereka boleh berjuang untuk menentang
kemungkaran, tetapi dengan nama Islam juga Pas tidak kisah bersekongkol
dengan pemimpin mungkar, malah menawarkan diri ingin menjadi penasihat
kepada orang jahat.
Atas nama Islam, Pas menjaja hudud sejak
sekian lama, tetapi kemudian menukarnya keada negara kebajikan sambil
mengatakan elemem hudud turut terkandung di dalamnya.
Kemudian
menggugurkan negara kebajikan dan kembali kepada hudud semula. Akhirnya
hudud entah ke mana, tetapi seolah-olah sudah cukup bersyurga dengan
Akta 355 saja.
Yang menggelikan hati, Pas kini cukup berbangga
dapat bekerjasama dengan UMNO yang dulunya mereka kafirkan,
assabiyahkan, sembelihannya dikatakan haram dimakan, imam sembahyang
tidak boleh dimakmumkan dan yang sudah kahwin pula ada yang berantakan.
Episod mengada-ngada Pas ini berterusan lagi apabila dalam masa mereka
berbaik-baik dengan UMNO, ia juga terbuka untuk berunding dan
bekerjasama dengan Bersatu.
Di sebalik mengatakan menolak keras DAP, Pas masih juga duduk dalam mesyuarat Exco Selangor yang jelas ada DAP di dalamnya.
Maka benarlah makan keliling namanya.
Rundingan dengan Bersatu dengan Pas sepatutnya sudah berakhir
pertengahan Januari lalu, tetapi dilanjutkan lagi kepada 1 Februari.
Walaupun selepas rundingan pada tarikh tetsebut, ada dikeluarkan
kenyataan bersama oleh Mukhriz Mahathir dan Tuan Ibrahim Tuan Man, ia
kemudian dikatakan hanya jumpa-jumpa, sembang-sembang dan makan-makan
saja.
Maklumlah jumpa pun di Bangsar, tempat lepak-lepak dan santai-santai yang memang dikenali ramai.
Belum pun hasil pertemuan itu kononnya mahu dihalusi sebelum ia
dimuktamadkan, mengada-ngada Pas muncul apabila Ketua Dewan Ulamanya,
Mahfodz Mohamed mensyaratkan bahawa tiada kerjasama dapat dijalinkan
antara kedua-dua parti selagi Bersatu tidak memutuskan hubungannya
dengan DAP dan Amanah.
Sekali lagi, mentang-mentang berjawatan
Ketua Dewan Ulama, cakapnya seolah-olah fatwa dan hukum belaka. Pengikut
bawahan Pas yang tidak tinggi ilmu agama tentu dengan sendirinya akan
menerima kata-kata itu sedangkan DAP di Pulau Pinang tidaklah
meminggirkan Islam dan permusuhan Pas dengan Amanah pula tidak
sama-sekali berkaitan dengan agama, sebaliknya hanya kerana politik dan
kuasa.
Jika benar Pas ikhlas ingin bekerjasama dengan Bersatu,
kenapa diletakkan syarat mesti tinggalkan DAP dan Amanah sebelum
rundingan dimuktamadkan?
Bukankah lebih baik cakap terus-terang
tidak mahu bekerjasama, bahkan tidak perlu pun membuang masa mengadakan
pertemuan dengan Bersatu?
Apakah watak tidak konsisten dan berbolak-balik itu ciri-ciri "king maker"?
Hari ini, Naib Presiden Pas, Mohd Amar Abdullah meneruskan sikap
mengada-mengada Pas dengan meminta Bersatu dan PKR meninggalkan Pakatan
Harapan untuk menyertai blok ketiga, Gagasan Sejahtera yang setakat ini
dianggotainya bersama dengan Ikatan.
Kata beliau, jika Bersatu
dan PKR sedia berbuat demikian, kekuatan pembangkang akan meningkat
berkali ganda serta memberi lebih harapan untuk menumbangkan UMNO dan
BN.
Entah dari sudut mana beliau membaca sifir politik kali ini.
Sesuatu yang tidak logik sebenarnya, PKR dan Bersatu kini berada dalam
liga satu iaitu Pakatan Harapan, tiba-tiba diminta keluar untuk
menyertai liga dua yang lebih kecil, Gagasan Sejahtera.
Siapa pula jadi ketua Gagasan Sejahtera nanti jika PKR dan Bersatu sedia menyertainya?
Bacaan paling mudah untuk menumbangkan UMNO dan BN ialah dengan Pas
sedia bergabung bersama semua parti-parti pembangkang, sama ada Pakatan
Harapan atau membentuk gabungan baru yang diberi nama lain dan bukannya
mewujudkan dua kumpulan pembangkang.
Jika mensyaratkan Bersatu
meninggalkan DAP dan Amanah pun pasti menjadikan kekuatan pembangkang
bertambah lemah, meminta Bersatu dan PKR meninggalkan Pakatan Harapan
untuk menyertai Gagasan Sejahtera, ia sebenarnya jauh lebih melemahkan
pembangkang.
Katalah idea Pas itu diterima, bermakna pembangkang
akan ada dua kumpulan. Satu yang dianggotai oleh Bersatu, PKR, Pas dan
Ikatan, manakala satu lagi akan dianggotai oleh DAP dan Amanah.
Dengan wujudnya dua kumpulan pembangkang seperti itu, kedudukan
pembangkang lebih teruk berbanding adanya Pakatan Harapan yang
dianggotai oleh PKR, DAP, Amanah dan Bersatu seperti sekarang ini serta
ditambah dengan Gagasan Sejahjera yang dianggotai Pas bersama Ikatan.
Rakyat akan bertambah keliru dan tidak yakin. Akhirnya, siapa yang mereka mahu pilih untuk menggantikan UMNO dan BN?
Setidak-tidaknya Pakatan Harapan sekarang, walaupun tidak disertai oleh
Pas, ia lebih baik dan besar berbanding Gagasan Sejahtera. Jika
pengundi yang menolak UMNO dan BN mahu membuat pilihan, Pakatan Harapan
akan lebih diutamakan.
Menerima idea Mohd Amar seperti
meminggirkan pengundi bukan Melayu. Ia mungkin menyebabkan mereka
kembali menyokong MCA, MIC dan Gerakan kerana gabungan yang hanya
dianggotai oleh DAP dan Amanah tidak mungkin dapat membentuk kerajaan.
Jika pun pengundi bukan Melayu terus menyokong DAP dan gabungan baru
yang diideakan oleh Mohd Amar itu pula mendapat kerusi melebihi UMNO,
apakah ketika itu Pas masih sedia untuk bekerjasama dengan DAP dan
Amanah?
Tidakkah disedari bahawa sekadar gabungan Pas, Bersatu,
PKR dan Ikatan saja, jika tanpa sokongan bukan Melayu, adalah mustahil
untuk membentuk kerajaan?
Akhirnya, sama ada Pas kekal dengan
Gagasan Sejahtera bersama Ikatan atau cubaan mengajak Bersatu dan PKR
menyertai mereka dan meninggalkan Pakatan Harapan, maksud tersiratnya
ialah Pas ingin memberi kelebihan dan keselesaan kepada Najib, UMNO dan
BN terus berkuasa serta berkleptokrasi di negara ini.
Ia dengan
sendirinya memecah-belahkan lagi parti-parti pembangkang dan akan
membuatkan Najib lebih tersenyum untuk menghadapi pilihanraya.
Pilihan yang lebih baik untuk menumbangkan UMNO dan BN hanyalah dengan
bersatunya semua parti-parti pembangkang tanpa banyak karenah dan sikap
mengada-ngada.
Sebab itu, kepada Bersatu...lupakanlah Pas ini dan
tumpukan kekuatan bersama Pakatan Harapan saja. Lagi diberi muka dan
ruang masa, lagi mereka mengada-ngada. Jika terus diberi muka,
percayalah, Pas akan terus mengada-ngada sehingga tibanya tarikh
pilihanraya.
Tun Mahathir Mohamad sudah memberi panduannya -
parti yang tidak mahu bergabung untuk mengalahkan Najib, UMNO dan BN,
bermakna ia sedang bekerjasama dengan Najib, UMNO dan BN.
Kenapa susah sangat memahaminya?
Makin Di beri Masa , Makin PAS Mengada - Ngada
Written By Wadah Baru on Isnin, 6 Februari 2017 | 9:58 PG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan