Home » , » Elak bawa budaya Umno dalam Pakatan Harapan Kedah

Elak bawa budaya Umno dalam Pakatan Harapan Kedah

Written By Wadah Baru on Isnin, 22 Mei 2017 | 8:47 PG

Budaya yang sering dibawa oleh Umno tidak harus dipupuk dan disemai dalam komponen Pakatan Harapan khususnya di negeri Kedah, kata  pemimpin Pakatan Harapan di negeri itu.
Pengerusi DAP Kedah Tan Kok Yew. berkata, bentuk kepimpinan dan urus tadbir Umno yang terbukti banyak kepincangan tidak harus menjadi budaya untuk diamalkan.
"Apa jua hasrat maupun pandangan tidak harus dikeluarkan secara terbuka.
"Majlis Pimpinan Pakatan Harapan di Kedah telah pun melantik Pengerusi Amanah Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh sebagai pengerusi.
"Oleh kerana itu mana-mana komponen dalam Pakatan Harapan mestilah mengadakan perbincangan mengenai apa jua isu yang melibatkan pilihan raya dan bukannya membuat kenyataan terbuka, " tegasnya lagi.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Derga turut berkata, tidak harus ada cara pengurusan Umno yang ingin menjadi dominan dalam komponen mereka.
Malah katanya Pakatan Harapan ingin melaksanakan reformasi dan perubahan untuk membela nasib rakyat yang terbukti ditekan melalui pelbagai polisi pemerintah.
Sementara itu Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh pula berkata semua parti komponen dalam Pakatan Harapan di Kedah adalah sama besar dan tiada perbezaaan.
"Tiada mana-mana parti yang dominan atau mengetuai mana-mana komponen Pakatan Harapan di Negeri Kedah.
"Tidak ada mana-mana parti yang menjadi abang untuk mengarahkan adiknya dalam Pakatan Harapan.
"Kita mempunyai Jawatankuasa Pembahagian Kerusi dan jawatankuasa inilah yang akan duduk berbincang mengenai parti mana yang mempunyai potensi untuk menang mana-mana kerusi yang akan ditandingi, " ujarnya lagi.
Jelasnya lagi, mungkin ada parti yang akan menang kurang atau pun lebih kerusi semasa pilihan raya diadakan nanti.
Namun begitu tambahnya, perbincangan akan terus diadakan selepas keputusan diperolehi kerana ia merupakan amalan dalam Pakatan Harapan untuk membawa perubahan dalam memperjuangkan nasib rakyat.
"Oleh kerana itu, semua komponen harus senantiasa berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kerana budaya Umno harus dibuang jauh dari diamalkan dalam Pakatan Harapan.
"Apa jua keputusan harus diputuskan oleh Majlis Pimpinan Pakatan Harapan yang telah diberi mandat dan bukannya dengan membuat apa jua kenyataan terbuka oleh mana-mana komponen.
"Seandainya ia dipersetujui di peringkat nasional, barulah ia disalurkan ke peringkat negeri pula untuk pelaksanaan, " katanya.
PERINGATAN

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger