Home » , » PRK Pujut: PAS Sarawak mahu bertanding walau hilang deposit

PRK Pujut: PAS Sarawak mahu bertanding walau hilang deposit

Written By Wadah Baru on Isnin, 22 Mei 2017 | 8:53 PG

PETALING JAYA: PAS Sarawak sedia bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut, meskipun tewas teruk dalam pilihan raya negeri (PRN) tahun lalu, kata pesuruhjayanya.
Bagaimanapun, Jofri Jaraiee berkata, terpulang kepada pucuk pimpinan PAS Pusat menentukan sama ada parti itu akan menurunkan calon pada PRK DUN Pujut.
“Kita akan bincang dengan PAS Pusat dan kita tunggu keputusan PAS Pusat sama ada akan bertanding atau tidak. Kemungkinan dalam minggu ini kita akan bermesyuarat.
“Kita di kawasan ini sudah bersedia kalau diminta bertanding,” katanya kepada FMT hari ini.
Jumaat lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK DUN Pujut akan diadakan pada 4 Julai selepas Hari Raya Aidilfitri, bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan wakil rakyat DAP, Dr Ting Tiong Choon.
Pada 12 Mei lalu, DUN Sarawak melucutkan kelayakan Dr Ting sebagai adun Pujut selepas usul Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang negeri, Datuk Woon Soon Koh yang juga adun Bawang Assan mendedahkan Dr Ting mempunyai 2 kewarganegaraan, iaitu Malaysia dan Australia.
Ditanya adakah PAS sedia kehilangan deposit di Pujut, Jofri berkata, pihaknya tidak memikirkan soal kalah kerana mereka nampak peluang menang di PRK itu.
“Orang nak kata PAS akan hilang deposit, kita tidak kisah sebab kita lihat peluang terbuka, kita lihat sokongan rakyat kepada PAS di Sarawak makin hari makin meningkat.
“Bagi saya, dulu BN pernah menjadi wakil rakyat, lepas itu DAP. Jadi, rakyat akan menilai dan kita harap selepas ini rakyat bagi peluang kepada PAS mewakili DUN Pujut,” katanya.
Pada PRN ke-11 lalu, Dr Ting memenangi kerusi Pujut dengan 8,899 undi, menewaskan calon BN, Hii King Chiong yang mendapat 7,140 undi, calon PAS, Jofri (513 undi) dan calon Bebas, Fong Pau Teck (375 undi).

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger