Home » , » Mengapa kehidupan di Kuala Lumpur tidak berkualiti?

Mengapa kehidupan di Kuala Lumpur tidak berkualiti?

Written By Wadah Baru on Ahad, 7 Mei 2017 | 3:01 PTG

PETALING JAYA: Susulan kajian antarabangsa menyenaraikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya kedua paling teruk dari segi kualiti hidup, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menggesa Putrajaya melihat kembali pendekatan mengurus Kuala Lumpur bagi memperbaiki kualiti hidup.
Dengan merujuk kepada kajian Pemetaan Harga Di Dunia 2017, kendalian Deutsche Bank, berkenaan dengan kualiti hidup yang meletakkan Kuala Lumpur sebagai tempat ke-2 paling teruk daripada 47 bandar raya di dunia, wakil rakyat itu berkata, satu sebab adalah kerana Datuk Bandar Kuala Lumpur bukan merupakan kalangan mereka yang dipilih.
“Kita ada satu sistem di mana kita meletakkan penjawat awam yang hampir hendak bersara untuk mengendalikan pejabat Datuk Bandar,” kata beliau kepada FMT.
“Individu ini dimasukkan ke dalam keadaan yang sangat janggal,” kata beliau sambil menambah, pemegang jawatan itu tidak boleh menjadi ketua pada acuan sendiri.
Malah, katanya, oleh kerana pemegang jawatan itu menghampiri usia persaraan, maka warga bandar raya tidak boleh mengharapkan yang dia akan menawarkan perkhidmatan terbaik dari “segi visi untuk bandar.”
Katanya, di beberapa negara Asia, penyandang jawatan Datuk Bandar berada dalam kedudukan satu langkah sebelum jawatan tertinggi negara.
“Sama ada ia Taiwan, Jakarta atau Bangkok, malah di negara-negara komunis, jika anda berkhidmat dengan baik sebagai Datuk Bandar, anda kemungkinan akan berakhir dengan menggantikan pemimpin nombor satu negara.”
Beliau mendakwa tidak ada ruang di mana rakyat boleh memberi input mengenai bagaimana bandar raya perlu diuruskan.
“Sembilan puluh peratus daripada kerusi (Parlimen) di Kuala Lumpur milik pembangkang. Namun, wakil rakyat tidak dirunding dalam apa jua cara berkenaan dengan cara mengurus dan menaik taraf bandar raya.”
Justeru soal beliau, jika itu keadaannya bagaimana boleh mengharapkan pandangan rakyat mengenai masa depan Kuala Lumpur.
Chua yang juga Naib Presiden PKR berkata, pembangunan fizikal Kuala Lumpur yang sedang dijalankan kelihatan seolah-olah tiada arah.
Katanya, pemaju menggunakan hubungan politik mereka bagi mengendalikan projek masing-masing demi untuk menjana lebih banyak kekayaan.
“Itu sahaja yang mereka fikirkan,” kata beliau.
“Mereka tidak memikirkan mengenai meningkatkan kualiti hidup di Kuala Lumpur. Kita lihat pusat membeli-belah selepas pusat membeli-belah, kondominium selepas kondominium, tetapi di mana teater kami? Di manakah pusat seni kita? Di manakah taman dan kehijauan kita?”
Oleh itu, katanya, tidak menghairankan jika dikatakan yang Kuala Lumpur sedang bergerak ke belakang dari segi pembangunan bandar.
Hasil kajian menunjukkan Kuala Lumpur telah jatuh 14 tempat dan kini di bawah bandar raya Mumbai dan Jakarta. Kuala Lumpur berada di tempat terakhir dari segi iklim, diletakkan di tangga ke-43 dari segi keselamatan, ke-39 dari segi penjagaan kesihatan dan ke-38 dari segi pencemaran.
Wellington, New Zealand adalah kota paling bahagia dalam indeks, dengan Edinburgh (Scotland) dan Vienna (Austria) masing-masing tempat kedua dan ketiga. Tempat terakhir pergi kepada Manila.
Kaji selidik itu mengambil kira kuasa membeli, pencemaran, nisbah rumah-harga-pendapatan, kos sara hidup, keselamatan, penjagaan kesihatan, masa untuk berulang-alik dan iklim.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger