Desakan barisan Exco Pas di Selangor meletakkan jawatan semakin jelas
apabila ahli parti Datuk Mahfuz Omar sendiri turut menyarankan agar
menerima keputusan Majlis Syura Ulama yang memutuskan tahaluf siyasi
dengan PKR.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, dari segi 'moral' politiknya
Pas wajib untuk memisahkan diri daripada terlibat atau bersekongkol di
dalam apa jua kapasiti dengan PKR dan DAP yang didakwa oleh Pas telah
mengkhianati parti itu.
"Dalam situasi yang berlaku di Selangor sekarang, Exco-Exco Pas
sepatutnya meletak jawatan serta merta sebaik sahaja Majlis Syura Ulamak
mengesahkan keputusan Muktamar yang telah memutuskan kerjasama politik
(tahaluf siyasi) dengan PKR tanpa perlu diminta atau dipaksa oleh
sesiapa.
"Perletakan jawatan ini adalah untuk menunjukkan isyarat bahawa
pendirian Pas Pusat dan Selangor selari dengan keputusan Muktamar dan
Majlis Syura Ulamak di mana Pas tidak lagi dapat bersama PKR di atas
alasan-alasan pemutusan tahaluf siyasi sebagaimana yang dinyatakan oleh
Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas," ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menempelak pendirian Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan
Ibrahim Tuan Man ujarnya, kelihatan masih 'ragu-ragu' di dalam mendukung
keputusan Muktamar dan Majlis Syura Ulamak apabila cuba untuk
menyandarkan kedudukan Exco Pas di Selangor kepada proses pelantikan
Exco-Exco tersebut yang dibuat oleh Tuanku Sultan Selangor.
"Amatlah tidak wajar Tuan Ibrahim dan Pas untuk mengheret institusi
raja dan mencari perlindungan politik istana semata-mata untuk
mempertahankan ghanimah kedudukan Exco Pas di Selangor.
"Tuan Ibrahim selaku seorang tokoh politik kanan sepatutnya arif
bahawa di dalam konteks sistem Raja Berperlembagaan, pelantikan Exco
Kerajaan Negeri walaupun dibuat oleh Yang Dipertuan Agong atau Raja,
tetapi ianya adalah atas nasihat dan cadangan nama yang diangkat oleh
Perdana Menteri atau Menteri Besar," ujarnya.
Terang Mahfuz lagi, raja-raja di dalam membuat pelantikan tersebut
adalah tertakluk kepada nasihat badan Eksekutif dalam rangka
melaksanakan tugas perlembagaan (constitutional duty) mereka sepertimana
yang dinyatakan Artikel 40 Perlembagaan Persekutuan atau di dalam
konteks Negeri Selangor, merujuk kepada Artikel 53 dan 55 Undang-Undang
Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.
Katanya lagi, pertimbangan dan pilihan untuk melantik mana-mana orang
yang layak untuk menjadi menteri atau anggota Exco, adalah merupakan
hak dan tanggungjawab Perdana Menteri atau Menteri Besar selaku ketua
kepada kerajaan dan badan Eksekutif
"Bagi saya, Tuan Ibrahim tidak perlu mengulangi ‘skrip’ yang pernah
dimainkan oleh mantan-mantan Exco Kerajaan Kelantan dari Parti Melayu
Semangat 46 yang enggan meletakkan jawatan Exco pada tahun 1996,
walaupun pada ketika itu Semangat 46 telah memutuskan hubungan dengan
Pas dan kemudiannya dibubarkan bagi membolehkan ahli-ahli parti tersebut
menyertai Umno atas alasan pelantikan mereka dibuat oleh Tuanku Sultan
Kelantan, selain dari dalih kononnya untuk meneruskan mandat yang
diperolehi bersama Angkatan Perpaduan Ummah di dalam Pilihanraya Umum
1995," terangnya.
Justeru Mahfuz menegaskan, tidak sewajarnya Pas meletakkan beban
untuk mengosongkan kerusi Exco kerajaan negeri kepada Menteri Besar
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
"Bukannya MB Azmin dan PKR yang memutuskan hubungan tetapi sebaliknya Pas yang memutuskan hubungan kerjasama politik dengan PKR.
"Oleh itu tidak ada keperluan untuk MB Azmin nak minta Exco PAS meletakan jawatan.
Janganlah situasi di Selangor ini menjadikan *rakyat melihat Pas tidak lebih dari ‘kartun politik’ yang tidak ketentuan hala*.
Pas Selangor 'kartun politik' tidak tentu hala, kata Mahfuz
Written By Wadah Baru on Isnin, 15 Mei 2017 | 12:56 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan