Home » , » Stabilkan ringgit, kembalikan subsidi petrol, kata Rafizi

Stabilkan ringgit, kembalikan subsidi petrol, kata Rafizi

Written By Wadah Baru on Ahad, 14 Mei 2017 | 11:27 PG

PAKATAN Harapan, sekiranya berjaya menakluk Putrajaya dan dilantik sebagai kerajaan baru, akan melaksanakan lima dasar utama bagi memastikan mereka terus menerima sokongan rakyat, kata pengasas Invoke Rafizi Ramli.

Rafizi berkata dasar “perkara kecil yang menawan hati” perlulah perkara yang boleh diterima rakyat serta merta.

“Pertama, saya rasa kita benar-benar perlu menstabilkan ringgit, kerana kita mengimport banyak bekalan makanan kita.

“Kedua, kita mampu melakukan subsidi petrol dan bakal kerajaan perlu melakukannya.. Kita boleh mentadbir subsidi ini menggunakan MyKad untuk mengesan penggunaan subsidi setiap bulan.

“Ketiga semua bantuan secara terus termasuklah BR1M perlu digabungkan menjadi satu jabatan kebajikan tunggal, untuk memusatkan semua sumber dan tenaga manusia yang perlu bagi mengesan semua perkara dan mengelakkan kekeliruan,” kata Rafizi sewaktu pra-pelancaran bukunya Bina Semula Negara di Empire Hotel Subang hari ini.

Ahli Parlimen Pandan juga berkata yang perlunya pelan kebangsaan untuk mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada bekalan makanan import.

Rafizi juga mencadangkan penghapusan cukai duti eksais kenderaan bagi mengurangkan harga kenderaan import.

Ahli politik berusia 39 tahun yang baru berkhidmat sepenggal itu berkata 35% penggundi atas pagar hanya akan mengundi sekiranya dasar yang dibentangkan kepada mereka mudah difahami.

“Tidak ramai daripada mereka yang peduli jika anda hanya bercakap soal Peguam Negara. Dan tak ramai juga yang faham tentang terminologi mengenai perdana menteri itu penjawat awam atau tidak.

“Anda perlu bercakap tentang gaji dan bagaimana anda akan menaikkan gaji mereka,” katanya.

Buku pertama daripada tiga buku Rafizi akan membincangkan dasar berkenaan isu kehidupan harian seperti gaji saksama untuk semua, inisiatif anti-korupsi dan perubahan kerajaan dan bagaimana untuk mengharungi kenaikan kos sara hidup.

Rafizi berkata yang dia mahu mengeluarkan manifesto dasar sebelum pilihan raya umum.
“Selalunya orang cakap kita tak patut keluarkan dasar sebelum menang pilihan raya, kerana orang akan tiru.

“Tetapi saya kata kalau dasar (daripada buku saya) ditiru hari ini dan dilaksanakan mana-mana pihak ia adalah situasi menang-menang untuk rakyat dan parti,” katanya.

Dia juga menambah yang kajian Invoke mendapati 70% rakyat Malaysia mahukan perubahan dalam pasaran kerja. –

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger