Home » » Laporan: Cukai hotel untuk tampung defisit RM250 juta Tourism Malaysia

Laporan: Cukai hotel untuk tampung defisit RM250 juta Tourism Malaysia

Written By Wadah Baru on Sabtu, 17 Jun 2017 | 5:52 PG

PETALING JAYA: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan didakwa terpaksa melaksanakan cukai pelancongan secara tergesa-gesa bagi menampung defisit sebanyak RM250 juta akibat perbelanjaan berlebihan.

China Press memetik sumber dalaman mendakwa pelaksanaan cukai baharu itu bertujuan menyelamatkan Tourism Malaysia daripada krisis kewangan dihadapinya kerana gagal dalam perancangan dan pengurusan kewangan serta pentadbiran, sejak 2 tahun lalu.

Ia khasnya membabitkan kos mempromosikan pelancongan Malaysia di luar negara, seperti China dan Jepun.

Sumber itu berkata, kementerian terbabit juga sering melaksanakan program yang tidak termasuk dalam perancangan dan bajet tahunan “secara mengejut” membabitkan kos tinggi.
“Tourism Malaysia nampak mewah sahaja di luar, tetapi dalamnya kosong dan sehingga kini masih berhutang dengan banyak pembekal.”

Sumber itu berkata, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan pernah meminta bantuan daripada Kementerian Kewangan, namun ditolak kerajaan pusat.

Kini, kata sumber itu, kementerian terbabit dikatakan menyelaras kaedah kutipan cukai pelancongan, iaitu pelancong asing dan tempatan akan dikenakan bayaran berbeza serta hotel 4 bintang ke bawah tidak akan dikenakan cukai baharu itu.

Pada 11 Jun lalu, Datuk Seri Nazri Aziz yang dipetik China Press mengakui cukai pelancongan perlu dilaksanakan kerana kementeriannya “tiada wang”.

Beliau berkata, kementeriannya perlu mencari sumber pendapatan baharu dan berterusan untuk membiayai kegiatannya kerana peruntukan kementerian itu berkurangan secara mendadak beberapa tahun ini, ekoran kejatuhan harga minyak dan gas asli dunia.

Cukai pelancongan akan dikuatkuasakan 1 Julai ini di semua hotel dan rumah penginapan berdaftar dengan bayaran tambahan RM2.50 hingga RM20 bagi penginapan semalaman.

April lalu, ketika berbahas di Dewan Rakyat untuk meluluskan Rang Undang-undang Cukai Pelancongan 2017, Nazri dilaporkan berkata, cukai pelancongan boleh memberi kutipan sebanyak RM654.62 juta jika kadar penginapan bagi keseluruhan 11 juta bilik di negara ini mencapai 60%.

Dalam pada itu, sumber dipetik China Press itu turut mempersoalkan sama ada pengumuman Nazri pada awal tahun ini berhubung penutupan semua pejabat Tourism Malaysia di negara ini ada kaitan dengan keadaan kewangan dihadapi agensi itu.

Pada 23 Januari lalu, Nazri mengumumkan penutupan serta-merta bagi mengelak pertindihan kerja dengan agensi negeri dalam mempromosi destinasi pelancongan.

Beliau menjelaskan langkah yang dijangka menjimatkan kos kira-kira RM6 juta setahun itu tidak melibatkan pemberhentian kakitangan, sebaliknya mereka akan diserap ke ibu pejabat kementerian dan jabatan lain.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger