Oleh Arif Atan
Pemuda Amanah Selangor menyifatkan tindakan mengekalkan panji Pakatan 
Rakyat yang sudah terkubur sebagai tidak bermakna lagi kerana paling 
penting wajar dilakukan adalah mengukuhkan Pakatan Harapan.
Timbalannya, Danial Al-Rashid Haron (gambar) 
berkata, jalinan kerjasama dengan Pas yang telah berpatah arang dengan 
PKR dan DAP akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap gabungan parti 
pembangkang melalui Pakatan Harapan.
"Semasa PRK (Pilihan Raya Kecil) Sungai Besar dan Kuala Kangsar, kita
 seakan-akan melihat kejayaan gabungan parti pembangkang semakin ada 
sinarnya, dan diperkuatkan lagi dengan sokongan MB (Menteri Besar) 
Selangor terhadap calon Amanah yang melawan calon Pas dan BN.
"Tetapi hari ini, mengambil tindakan bercanggah pula iaitu ingin 
mengekalkan gabungan Pakatan Rakyat," ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, hubungan kerjasama politik harus dibina agar kekuatan
 padu sesebuah gabungan itu diyakini oleh rakyat sebagai kerajaan 
menanti.
"Tetapi jika yang diharap itu semakin dilihat terpesong, apa lagi kiraan yang tinggal untuk rakyat memilihnya?" soalnya.
Jelas Danial, Pemuda Amanah Selangor menyokong kepimpinan Datuk Seri 
Azmin Ali dan berhasrat mengekalkan kesinambungan kejayaan yang 
dilaksanakan pada penggal akan datang.
"Namun, sekiranya masih ada hubungan kerjasama dengan Pas, maka kita 
seolah-olah membina sendiri gaung untuk kita terjun, sebelum menghadapi 
PRU-14 (Pilihan Raya Umum ke-14) dengan penuh kesediaan membina 
keyakinan rakyat," tegasnya.
Azmin pada 5 Julai lalu memberitahu Pakatan Rakyat masih wujud dan 
akan terus mentadbir Selangor kerana itu ialah mandat yang diberikan 
rakyat.
Timbalan Presiden PKR itu berkata demikian ketika ditanya pemberita 
tentang sebab Pakatan Harapan di peringkat negeri Selangor masih belum 
wujud.
Mengulas lanjut, Danial menegaskan tindakan Pas memutuskan hubungan 
dengan DAP pada 2015 dan PKR pula tahun ini adalah tanda Pas sudah tiada
 persefahaman politik yang padu.
"Tindakan Pas meninggalkan Pakatan Rakyat melalui putusnya hubungan 
dengan DAP, maka di Pulau Pinang berlaku penyingkiran wakil Pas dari 
kerajaan. Inilah prinsip yang dipegang DAP dan majoriti rakyat Pulau 
Pinang. Itulah detik terkuburnya Pakatan Rakyat.
"Apa yang boleh kita harapkan dari parti Pas di Selangor? Parti itu 
sudah pun memutuskan hubungan kerjasama dengan dua buah parti utama di 
dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP, dan yang terbaru PKR iaitu melalui usul 
di Muktamar Kedah 2017," jelasnya.
Menyentuh sikap Pas pada masa ini, beliau menyifatkan keyakinan 
rakyat terhadap parti berkenaan semakin pudar termasuk pengundi bukan 
Islam.
"Taring parti itu melawan kezaliman BN terutama dalam isu 1MDB 
(1Malaysia Development Berhad) dan GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) 
semakin tumpul.
"Kumpulan non muslim yang dahulunya cenderung, sudah ramai 
meninggalkan kotak harapan itu hasil kuatnya sentimen perkauman yang 
dimainkan Pas," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru supaya penubuhan gabungan pembangkang 
perlu disegerakan memandangkan kehadiran Amanah dan PPBM dalam politik 
negara pada masa ini bakal mengukuhkan lagi gabungan pembangkang pada 
PRU-14.
"Asasnya ialah berbalik kepada ‘kuasa rakyat’. Tindakan pemimpin 
atasan yang tidak konsisten seperti ini akan menyulitkan lagi pemikiran 
rakyat.
"Lebih elok mengambil tindakan 'clear cut', bina gabungan yang kuat, dengan matlamat jelas menumbangkan BN.
"Kesemua pimpinan harus duduk dan bincang, hentikan perang kenyataan 
media, dan kembali ke meja perbincangan untuk mendapatkan solusi yang 
baik terhadap keinginan rakyat yang ingin melihat perubahan negara yang 
semakin korup," tegas Danial lagi.
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
 



 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 ulasan:
Catat Ulasan