Home » , » Nurul Izzah bertemu Tun Mahathir selesaikan kemelut kepimpinan Pakatan Harapan

Nurul Izzah bertemu Tun Mahathir selesaikan kemelut kepimpinan Pakatan Harapan

Written By Wadah Baru on Khamis, 6 Julai 2017 | 11:54 PG

Oleh

KEMELUT kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dijangka selesai seawal minggu ini selepas perbincangan berlaku di antara Nurul Izzah Anwar dan Dr Mahathir Mohamad di London baru-baru ini.

Difahamkan, pertemuan itu adalah untuk menyelesaikan isu berbangkit dalam gabungan pembangkang PH.

“Pertemuan berjalan dengan baik,” kata Nurul Izzah yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai

“Kami berbincang mengenai masa depan Malaysia dan komitmen terhadap agenda reformasi.”
Naib presiden PKR itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut apabila ditanya tentang apakah persetujuan yang dicapai di antaranya dan Dr Mahathir berhubung senarai pimpinan PH.

Senarai pimpinan termasuk pengerusi dan presiden diperlukan untuk PH berdaftar secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) supaya boleh menggunakan satu logo dan bendera pada pilihan raya umum akan datang.

“Sila tunggu mesyuarat rasmi PH yang akan diadakan tidak lama lagi. Kami akan umumkan ketika itu,” kata Nurul Izzah.

The Malaysian Insight difahamkan, pimpinan tertinggi PH akan bertemu minggu ini bagi menyelesaikan isu yang menyebabkan penyokong gabungan dan aktivis kecewa.

Pertemuan di antara Nurul Izzah dan pengerusi Bersatu itu berlangsung pada Isnin.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berada di London untuk bertemu dengan peguam ayahnya Anwar Ibrahim manakala Dr Mahathir pula bagi tujuan menyambut Aidilfitri bersama anak dan cucunya.

Seorang lagi pemimpin Husam Musa mengatakan PH akan mengumumkan senarai pimpinan selepas Dr Mahathir pulang dari London tidak lama lagi.

“PH akan bermesyuarat terlebih dahulu dan umumkan senarai pimpinan selepas itu,” katanya yang juga naib presiden Amanah.

Sebelum ini dilaporkan PH beberapa kali menangguhkan pengumuman senarai pimpinan mereka selepas sebahagian pemimpin PKR dikatakan tidak bersetuju dengan cadangan menamakan Dr Mahathir sebagai pengerusi.

Gabungan pembangkang itu terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu dan keputusan atas nama PH dibuat secara konsensus.

Difahamkan, DAP dan Amanah sudah bersetuju dengan cadangan Bersatu akan tetapi dibantah sebahagian pemimpin PKR.

Bersatu mencadangkan agar Dr Mahathir menjadi pengerusi majlis presiden PH sementara Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai presiden.

Sementara semua ketua parti komponen PH dicadangkan sebagai naib pengerusi iaitu Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Dalam laporan sebelum ini, Nurul Izzah memberitahu t pengerusi PH bukanlah secara automatiknya menjadi calon perdana menteri.

Katanya, isu tentang siapakah bakal perdana menteri hanya akan dibincang dan dirundingkan di antara parti komponen PH jika mereka berjaya mengambil alih Putrajaya.

Kenyataan Nurul Izzah dikeluarkan selepas Anwar yang kini terpenjara menarik diri sebagai calon perdana menteri PH.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger