Oleh Zin Mahmud
Menjelang
pilihan raya umum (PRU) pada 1986, pengulas di pihak pembangkang ketika
berseminar atau berforum di kalangan mereka sering menyebut mengenai
kuasa “3M”.
Pada masa itu, saya bekerja dengan akhbar pro-kerajaan, tetapi sering hadir dalam acara pembangkang.
Apa yang dimaksudkan dengan 3M ialah “money, media and machinery”, atau wang, media dan jentera.
Apa yang dikatakan dengan wang ialah dana mencukupi untuk membiayai
kempen pilihan raya, baik sebelum penamaan calon atau selepasnya. Media
ialah saluran maklumat kepada pengundi. Jentera merujuk pada organisasi
aktivis yang bergerak dalam kempen berkenaan.
Maka andaian yang dibuat oleh pembangkang ialah sesiapa yang
menguasai 3M ini, mereka akan menang PRU dan terus dapat memerintah.
Sejak merdeka, Umno melalui Perikatan dan Barisan Nasional (BN)
sentiasa dapat menguasai 3M ini, dan ia terus memenangi pilihan raya.
Parti pembangkang tidak berpeluang langsung.
Tetapi pada 1986, pengulas di pihak pembangkang juga menyebut satu
lagi “M” yang memberi kemenangan besar pada BN. “M” yang dimaksudkan
ialah Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (kini Tun) yang mempunyai
kepimpinan jitu dan mendapat sokongan popular rakyat. Pihak pembangkang
tidak memiliki sosok setanding.
3M masih relevan?
Itu adalah keadaan lebih 30 dahulu. Adakah peranan 3M itu masih relevan hari ini?
Kalau dulu, dana BN adalah jauh lebih besar berbanding dengan
pembangkang. Selain daripada menggunakan kemudahan peruntukan kerajaan
untuk projek awam dengan nilai imejnya menguntungkan BN, gabungan parti
itu juga memiliki dana masing-masing.
Kedudukan kewangan parti komponen utama BN adalah kuat. Umno, MCA dan
MIC bukan saja memiliki bangunan dan harta, tetapi mereka turut
memiliki syarikat proksi yang boleh menyumbang pada dana pilihan raya.
Media dan jentera 1986
Pada masa itu, pembangkang utama di Semenanjung Malaysia terdiri
daripada PAS, DAP dan Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM). PAS
mengharapkan derma orang ramai sementara DAP memperoleh sumbangan yang
amat terhad. PSRM boleh dikira sebagai tidak mempunyai wang.
Sementara media pula merujuk pada radio, televisyen dan akhbar. Tidak
ada lain. Kesemua stesen radio dimiliki oleh kerajaan iaitu Radio
Televisyen Malaysia (RTM). Ketika itu terdapat 3 saluran televisyen saja
iaitu TV1 dan TV2 yang dimiliki oleh RTM dan TV3 yang dipunyai oleh
syarikat berkaitan Umno.
Sementara akhbar utama negara, Utusan Malaysia, Berita Harian dan The
New Straits Times juga dimiliki oleh syarikat berkaitan Umno. The Star
pula adalah milik syarikat berkaitan MCA. Penguasaan BN ke atas media
adalah mutlak.
Jentera pilihan raya BN juga menyeluruh. Melalui kerajaan yang
dikuasai, agensi awam terutama yang berperanan di luar bandar boleh
digunakan untuk kepentingan pilihan raya BN.
Pada 1986, BN menguasai kerajaan pusat dan semua kerajaan negeri.
Parti Bersatu Sabah (PBS) yang menang pilihan raya negeri pada Mei 1986
menyertai BN menjelang PRU yang diadakan pada bulan Ogos. Maka keadaan
ini memudahkan jentera pilihan raya parti itu.
Namun di peringkat parti juga, umpamanya Umno negeri, bahagian dan
cawangan boleh digerakkan secara cekap untuk tujuan kempen pilihan raya.
Lebih-lebih lagi peranan besar Wanita Umno yang mampu mendapatkan undi
dari orang perempuan Melayu bagi memenangkan calon BN.
3M menjelang PRU14
Sekarang cuba perhatikan keadaan 3M menjelang pilihan raya umum ke-14
yang mungkin boleh diadakan pada bila-bila masa sebelum atau pada 24
Ogos 2018
.
Dari segi dana, BN ternyata bukan saja masih kuat tetapi dari segi
jumlah wang yang terlibat adalah dipercayai jauh lebih besar berbanding
1986.
Melihat pada jumlah wang yang dibelanjakan pada PRU ke-13, maka
dipercayai untuk akan datang, dananya lebih besar. Umno juga mempunyai
syarikat berkaitan dengannya lebih banyak berbanding tahun 1986.
Tetapi berbanding dengan tahun 1986, kali ini BN tidak menguasai 3
negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan. Maka kerajaan negeri
Pakatan Harapan dan PAS mempunyai akses kepada peruntukan negeri,
sesuatu yang tidak dimiliki oleh PAS, DAP dan PSRM pada 1986.
Namun begitu ketika mana syarikat boleh menyumbang dana pada BN,
perkara yang sama sukar untuk dilakukan terhadap parti pembangkang.
Mereka mungkin menerima tekanan untuk tidak memberi sumbangan kepada
parti pembangkang terutama PPBM dan Parti Warisan Sabah yang dipimpin
oleh bekas ahli Umno.
Sumber dana yang diperoleh PKR, DAP dan Amanah mungkin juga mengalami halangan.
Media PRU ke-14
Tetapi dalam hal media pula, keadaan sekarang sudah jauh berbeza.
Kini terdapat banyak saluran radio yang dimiliki swasta. Walaupun
kebanyakan stesen radio adalah berbentuk hiburan tetapi ada juga yang
boleh menyampaikan maklumat yang berimbang, walaupun pendengarnya terhad
seperti BFM.
Televisyen juga membunyai banyak saluran. Sebahagian besar saluran
dimiliki oleh sebuah syarikat berkaitan dengan Umno. TV Hijrah dimiliki
syarikat berkaitan dengan jabatan kerajaan. Astro adalah bebas tetapi
tentunya perlu menjaga kedudukannya kerana mereka juga perlukan lesen
daripada kerajaan.
Akhbar utama tetap dimiliki oleh syarikat berkaitan parti parti
komponen BN. Berbanding 1986, pembangkang mempunyai akhbar parti iaitu
Rocket, Harakah, Suara Keadilan dan Warta Amanah. Tetapi ia hanya
dibenarkan oleh kerajaan untuk diedar kepada ahli parti. Tetapi kini
edaran dan pengaruh akhbar sudah amat kecil berbanding ketika tahun
1986.
Media berpengaruh adalah media sosial terutamanya Twitter, Facebook,
kumpulan WhatsApp dan Instagram. Ia disemarakkan dengan blog, YouTube,
portal berita dan laman web.
Maknanya ia mendedahkan pengundi kepada berita yang pelbagai ragam
serta sukar untuk ditapis.
Namun parti pemerintah masih mempunyai
kelebihan. Ruang siber terdedah kepada berita palsu. Kedua-dua pihak
pembangkang dan parti kerajaan boleh menyebar berita palsu.
BN yang memiliki dana besar pula mampu mengupah cybertroopers yang
boleh mencorak aliran maklumat dalam media sosial. Ditambah pula dengan
kawalan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKKM).
Dari segi jentera pula, berbanding pada 1986, kini Umno mempunyai
Puteri Umno yang menguatkan usaha kempen parti itu. Namun Umno mengalami
cabaran lain apabila sebahagian anggota parti itu menyertai PPBM.
Tetapi pada waktu sama, PAS yang selama ini dianggap mempunyai
jentera pilihan raya terbaik di kalangan pihak pembangkang
berkemungkinan bertindak mesra bersama Umno, yang sudah tentu
menjejaskan pihak pembangkang. Namun begitu, sebahagian aktivis penting
PAS kini menyertai Amanah.
Selain 3M itu, “M” ke-4 kini bersama pembangkang melalui PPBM yang
menyertai Pakatan Harapan. Dengan usia 92 tahun dan berada di pihak
pembangkang, tentulah Dr Mahathir tidaklah mempunyai pengaruh sekuat
dulu.
Kalau pada 1986, Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama
mempertahankan kerajaan BN, kini kedua-duanya pula berada dalam Pakatan
Harapan untuk menentang parti lama mereka.
BN masih menguasai 3M tetapi pengaruhnya tidaklah sekuat seperti pada
1986. Natijahnya akan hanya diketahui pada pilihan raya umum ke-14
kelak.
* Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Kumpulan Utusan.
BN bertanding dengan 3M lagi, selepas tolak 1M
Written By Wadah Baru on Khamis, 6 Julai 2017 | 11:52 PG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan