Home » , » Pas perlu pilih PH atau BN, kata Mahfuz

Pas perlu pilih PH atau BN, kata Mahfuz

Written By Wadah Baru on Sabtu, 8 Julai 2017 | 2:14 PTG

Pas perlu membuat pilihan segera sama ada mahu bersama Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Ahli parlimen Pas Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata parti itu tidak boleh mengelak untuk berada di antara dua pakatan politik itu.
"Sikap yang menjadikan semua pihak sebagai musuh sudah tidak serasi dengan suasana politik baru yang memerlukan persahabatan luas dan bertolak ansur," katanya di majlis ceramah anjuran PH parlimen Pasir Puteh malam tadi.
Pas katanya akan menghadapi laluan sukar jika bertanding tiga penjuru.
"Bagi saya PH akan lebih mudah menang jika berlaku pertandingan tiga penjuru.
"Kalau Pas bersama BN, peluang PH mungkin lebih sukar," katanya.
Menurut Mahfuz, ahli-ahli Pas perlu sedar sikap menjauhkan diri dari bersama rakan-rakan pembangkang akan memencilkan parti dari orang ramai.
"Kita berlawan melalui pilihan raya yang perlukan ramai kawan untuk dapat suara majoriti.
"Lain lah kalau nak berlawan cara lain," katanya.
Mengulas usikan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Kamarudin Mohd Nor yang berharap beliau menyertai parti itu, Mahfuz berkata beliau tetap bersama PH.
"Ada yang kata saya harum manis, hijau di luar oren di dalam dan malam ni pula Datuk (Kamarudin) sebut tembikai, hijau di luar merah di dalam.
"Kedua-dua sunah Allah, kejadian Allah dan pertegaskan bahawa saya akan tetap bersama Pakatan Harapan," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger