Home » , » 80 peratus ahli Bersatu Tasek Gelugor bekas ahli Umno

80 peratus ahli Bersatu Tasek Gelugor bekas ahli Umno

Written By Wadah Baru on Selasa, 22 Ogos 2017 | 3:34 PTG

Melihat kepada senario politik terkini, Umno-BN di Parlimen Tasek Gelugor tidak lagi mampu untuk mendapat kemenangan sekali lagi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Malah rekod kemenangan mereka dalam PRU13 yang lalu dengan kemenangan tipis di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Teluk Air Tawar yang dimenangi oleh Ketua Pembangkang Dun Pulau Pinang, Datuk Jahara Abdul Hamid dengan majoriti 840 undi serta Dun Sungai Dua dengan kemenangan hanya 357 undi bukan lagi suatu imaginasi.

Demikian dizahirkan oleh Timbalan Ketua Bahagian, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tasek Gelugor, Azmi Alang ketika ditemui semalam.

Jelas beliau lagi, keahlian Bersatu yang telah mencecah lebih 3,000 ahli kini merupakan tamparan hebat kepada Umno Bahagian Tasek Gelugor yang diterajui oleh Shabudin Yahaya selaku Ahli Parlimen.

"Lebih 80 peratus ahli Bersatu di Parlimen Tasek Gelugor kini adalah terdiri dari pimpinan Umno cawangan dan penyokong tegar mereka.

"Selain itu terdapat juga ahli Pas yang telah muak dengan permainan politik pemimpin atasan mereka menyertai Bersatu dan juga Parti Amanah Tasek Gelugor.

"Yang terbaru ialah penyertaan 120 orang lagi ahli Umno yang menyerahkan borang kemasukan mereka yang mewakili cawangan Permatang Tok Bidan, Permatang Binjai, Permatang Tok Jaya dan Pekan Darat," ujarnya lagi.

Umno gagal bela orang kampung

Menurut Azmi lagi, kegagalan Umno Bahagian memberi pembelaan terhadap golongan miskin dan orang kampung menyebabkan mereka semakin tertekan dan menyertai pembangkang.
"Umno di Parlimen Tasek Gelugor hanya mementingkan temolok pemimpin dan mengkayakan kroni-kroni mereka secara melampau.

"Dahulu semasa Datuk Seri Shariff Omar memimpin Umno Tasek Gelugor, beliau telah berjaya melaksanakan pengambilan tanah untuk pembinaan Masjid Simpang Tiga yang berdiri megah kini.
"Namun kini, Umno Tasek Gelugor sudah tidak lagi mempunyai keupayaan untuk memberi pembelaan kepada golongan marhaen khususnya yang semakin bercambah miskin di kampung-kampung," tegasnya lagi.

Beliau juga berkata, kesedaran yang ada pada golongan luar bandar kini menyebabkan mereka mulai bangkit dan menolak kepimpinan Umno.

"Kehadiran Zahid Hamidi dengan program kenduri rakyat di Tasek Gelugor minggu lalu tidak mampu untuk menambah keahlian Umno di Parlimen ini.

"Sebaliknya kehadiran beliau selepas kenduri rakyat yang sama dianjurkan oleh Najib di Permatang Pauh itu tidak akan memberi apa-apa manfaat kepada pengundi dan rakyat di kedua-dua buah Parlimen tersebut.

"Mereka kerahkan semua agensi kerajaan, pelajar sekolah, maktab dan penjawat awam untuk hadir bagi menunjukkan sokongan kepada kedua-dua pemimpin Umno tersebut, bukanlah kehadiran atas kerelaan tetapi kerana terpaksa, " katanya lagi.

Walau bagaimana pun tambahnya, hampir 60 ribu pengundi yang ada di Tasek Gelugor akan memberi tamparan yang hebat kepada Umno dan BN dalam PRU ke 14 yang akan datang.

"Penduduk miskin di Tasek Gelugor yang menjual petai, menjual tapai, memanjat pokok buah kelapa juga tidak diberi pembelaan oleh Umno.

"Apa lagi yang menjual daun pandan, pisang dan ubi kayu serta kangkung dan bayam turut hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

"Manakala pimpinan Umno Bahagian hidup senang lenang, yang kaya semakin kaya, yang papa dan kedana tidak dibela sehingga kini, " keluhnya kesal.

Sehubungan itu katanya, pengundi di Tasek Gelugor mesti bangkit dan menolak Umno dan BN di Tasek Gelugor.

"Sebaliknya berikan mandat kepada Pakatan Harapan untuk membawa perubahan yang lebih baik dalam pilihan raya umum yang akan datang," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger