GEORGE TOWN: Kerajaan Pakatan Harapan
Pulau Pinang tidak pernah gagal memainkan peranan penting dalam
pembangunan pendidikan Islam negeri itu.
Faktanya, sejak tahun 2008 hingga 2016,
kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng telah menyumbang
sejumlah RM57.64 juta bagi pembangunan pendidikan Islam di negeri ini.
Jumlah ini hampir tiga kali ganda
melebihi sumbangan sewaktu pemerintahan Barisan Nasional (BN) dengan
jumlah RM20.11 juta dari tahun 1999 hingga 2007.
Menurut Setiausaha Penerangan HARAPAN
Pulau Pinang, Zulkifli Mohamed, pada Jun 2016, Kerajaan Negeri Pulau
Pinang menyumbang RM15 juta untuk pembangunan Pusat Pendidikan Islam
At-Itqan, Teluk Kumbar.
“Kerajaan negeri juga menyumbang RM1.75
juta secara tahunan kepada institusi pendidikan Islam melibatkan sekolah
kafa, sekolah agama rakyat, tadika Islam (Tadis), maahad tahfiz dan
pondok meliputi Bantuan itu membabitkan tambahan elaun guru,
penambahbaikan prasarana dan pembelian alat bantuan mengajar,” katanya.
Jumlah itu menurutnya, tidak termasuk
sumbangan khas dan bonus tahunan kepada guru, pelajar dan kakitangan
sekolah, pondok, Tadis dan tahfiz serta sumbangan tahunan kepada para
hufaz berjumlah RM500 seorang, melalui program Ijtimak dan Anugerah
Al-Hufaz anjuran kerajaan negeri sejak 2008.
Angka-angka ini katanya sekaligus
menafikan fitnah yang semakin menjadi-jadi terhadap pentadbiran
cemerlang berkaitan hal ehwal Islam negeri tersebut.
Tegasnya, tohmahan kononnya kerajaan
negeri anti, benci dan cemburu terhadap institusi agama, sebagaimana
tohmahan oleh Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Yusni Md Piah adalah
berniat jahat.
“Rekod Jabatan Hal Ehwal Agama Islam
Pulau Pinang (JHEAIPP) sejak 2010-2017 membuktikan Sekolah Rendah Islam
Bahrul Ulum (SRIBU) telah menerima sumbangan hampir setengah juta iaitu
RM414,910,00 dan Sekolah Rendah Islam Al-Ansar (SRIA) sebanyak RM
196,610.00,” jelasnya.
Bukti ini kata Zulkifli sekaligus
menolak fitnah yang dicanang Yusni, kononnya kerajaan negeri tidak
menyalurkan sumbangan kepada kedua-dua sekolah berkenaan.
“Jika benci sekalipun kepada kerajaan
negeri, kerana berbeza fahaman politik, janganlah sehingga mengadu domba
dan menabur fitnah.
“Sepertimana fitnah kononnya Pulau
Pinang melarang azan, malah sehingga sanggup menghukum untuk
mengebumikan orang Islam di jirat. Sesungguhnya dosa fitnah lebih besar
daripada membunuh,” katanya lagi.
0 ulasan:
Catat Ulasan