KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 5 hari bermula 5
Mac tahun depan untuk perbicaraan kes saman fitnah difailkan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap anggota Parlimen Petaling
Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee dan satu lagi berhubung isu 1MDB.
Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menetapkan tarikh itu di kamarnya,
dihadiri peguam Nor Hazira Abu Haiyan, mewakili perdana menteri dan
peguam Michelle Ng mewakili Pua.
Nor Hazira ketika ditemui pemberita berkata mahkamah juga menetapkan
27 November ini untuk mendengar permohonan Pua membatalkan saman Najib
yang difailkan pada 5 Mac 2016.
Najib, atas kapasiti peribadinya, memfailkan saman fitnah itu dengan
menamakan Pua, 43, sebagai defendan pertama dan pemilik portal
Mediarakyat.net, Chan Chee Kong, 52, sebagai defendan kedua berhubung
isu 1MDB.
Najib selaku plaintif dalam pernyataan tuntutannya, berkata pada 13
November 2014, Pua, sebagai penceramah utama pada jamuan malam kutipan
dana DAP, mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah mengenai 1MDB.
Beliau berkata rakaman ucapan itu dimuat naik oleh Chan sendiri dan
atau ejennya dalam laman YouTube Mediarakyat dan laman sesawang
Mediarakyat yang didakwa menggunakan tajuk berunsur fitnah.
Najib berkata rakaman ucapan itu mengandungi perkataan merujuk dan
berkaitan dengan dirinya dan memfitnahnya serta individu dikenali
sebagai ‘perdana menteri’ dan semestinya merujuk kepada dirinya (Najib).
Katanya, penerbitan perkataan fitnah itu merosakkan reputasinya
kerana rakaman ucapan itu boleh diakses secara meluas dan mudah di
seluruh dunia melalui internet, blog, forum dan laman web tanpa sebarang
sekatan dan boleh dikongsi semula.
1MDB: Saman Najib terhadap Pua dibicara Mac tahun depan
Written By Wadah Baru on Isnin, 16 Oktober 2017 | 3:25 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan