Oleh Al-Abror Mohd Yusuf
"Biar kita sama-sama nyanyi, tapi tujuan kita beza lho," kata wanita itu mengingatkan Petris.
"Bedanya apa?" tanya Petris, polos.
"Kamu kalau nyanyi, kan hanya untuk kepentingan diri kamu sendiri,"
kata wanita yang mengajar - sekali gus cuba mengubah - Petris daripada
penyanyi rock alternatif menjadi pedangdut.
"Dangdut tak cuma itu saja, tapi kamu mesti mikirin orang lain juga. Mesti mikirin penonton, gimana caranya mereka bisa terhibur, gimana caranya mereka bisa lupa kesehariannya yang susah makan, susah cari duit, susah hidup.
"Nah, tugas penyanyi dangdut yang utama ialah itu," kata wanita tersebut.
Petris - yang dilakonkan oleh Titi Kamal - langsung tidak puas hati. Dalam filem Mendadak Dangdut, penyanyi rock alternatif itu dipaksa menjadi penyanyi dangdut bersama 'band' organ tunggal Senandung Citayam.
Kira-kira sama macam murid-murid yang biasanya dikehendaki menyanyi
lagu Negaraku dan lagu negeri serta lagu sekolah. Tiba-tiba diasuh untuk
menyanyi lagu Umno.
"Biar kita sama-sama nyanyi, tapi tujuan kita beza lho."
Selain memaksa kanak-kanak menjerut leher masing-masing dengan tali
leher ketika cuaca di negara ini amat berbahang dan lembab, ada banyak
lagi rupanya kecerdikan yang berkembang pesat dalam sistem pendidikan
negara.
Hafal lagu Umno
Mendidik anak-anak seawal sekolah rendah supaya menghafal lagu rasmi
Umno barangkali adalah salah satu langkah meningkatkan kemampuan
disiplin kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) yang diuar-uarkan
sekarang.
Aspek sejarah itu, memanglah. Kemerdekaan negara tidak akan dicapai
kalau bukan kerana keberanian Umno. Parti-parti lain yang bergabung
dengan Perikatan memang ada tetapi semuanya tidak begitu penting.
Di manakah tempat terbaik menanamkan fahaman ini kalau bukan di
sekolah. Dan sekolah terbaik untuk menyuburkan kepercayaan itu ialah di
Putrajaya.
Justeru langkah Kementerian Pendidikan membenarkan acara pertandingan menghias kelas diadakan di sekolah rendah Presint 14 itu wajib disambut dengan penuh rasa takjub dan linangan air mata kegembiraan.
Barangkali tidak keterlaluan untuk menganggap ia adalah salah satu
detik sejarah terbesar dalam dunia pendidikan negara ini. Dan tidak
salah juga untuk mengharapkan ia diperluaskan ke sekolah-sekolah lain di
seluruh Malaysia.
Jika mungkin Kementerian Pendidikan mungkin boleh mengeluarkan
pekeliling mewajibkan himpunan seumpama itu diadakan sekurang-kurangnya
sebulan sekali.
Tambahan pula seperti diucapkan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada hari berkenaan bahawa semua guru menyokong kerajaan.
Setiausaha agung Umno itu juga mengajak – di depan kanak-kanak
sekolah itu – para guru yang comel itu untuk membantu beliau khususnya,
serta Umno secara amnya.
Guru 'comel'
Mesej yang tersirat daripada ajakan ramah Tengku Adnan itu adalah
mudah. Mana-mana guru yang bersama dengan Umno adalah ‘comel’ dan dengan
logik yang sama guru yang tidak bersama dengan parti itu adalah
‘hodoh’.
Sejarah pembentukan negara ini mencatatkan bahawa selain penulis atau
wartawan, golongan pencetus semangat celik merdeka ini dibawa oleh
golongan pendidik.
Justeru kedudukan Maktab Perguruan Tanjung Malim mempunyai kedudukan
istimewa dalam sejarah kemerdekaan. Guru bersama penulis/wartawan dan
ulama berganding bahu melawan pembodohan oleh majoriti golongan
bangsawan serta kakitangan kerajaan Inggeris.
Ketika parti Melayu nasionalis bergerak dengan slogan “Merdeka!” Umno ketika itu istiqamah dengan laungan “Hidup Melayu”.
Bukankah itu adalah bukti bahawa Umno adalah pejuang kemerdekaan yang
sejati? Jadi apa salahnya Umno kembali ke sekolah semula dengan
mengajak pada guru untuk memegang jawatan dalam parti?
Cuma para guru kena pastikan jawatan yang mereka pegang itu adalah dalam Umno. Tidak ada yang benar melainkan Umno semata-mata.
Pada masa sama fahaman itu dapat ditanam dalam minda kanak-kanak
seawal usia mereka tujuh tahun. Melentur buluh Umno biar dari rebungnya.
Lihat bagaimana anak-anak muda sekarang yang kurang berdaya saing
sama ada semasa di sekolah atau selepas menamatkan pengajian.
Sesetengahnya tidak mampu berfikir secara kritis pun.
Sesetengah guru pula tidak lebih menjadi jurucakap yang tekal kepada
buku-buku teks. Kadang-kadang kita melihat betapa anak-anak yang cuba
berfikir di luar sedikit daripada kebiasaan seakan-akan dihukum berdosa.
Ada kemungkinan besar ia disebabkan mereka belum menghafal lagu Umno.
Tanpa amalan itu pun biasanya sekolah adalah tempat untuk sebahagian
guru – terutama guru besar – menunjukkan ketaatan terhadap parti BN.
Diyakini ia bukanlah kerana kesedaran atau kefahaman yang benar
sangat pun, tetapi mereka diajar secara tidak langsung bahawa hak
memilih aliran politik seseorang kakitangan awam rakyat di negara ini
cuma Umno atau BN.
Jika ada yang berani menongkah arus, bersedia untuk dipindahkan ke
tempat lain yang biasanya menyukarkan. Ia adalah sistem pendidikan tidak
rasmi untuk golongan pendidik.
Bukan itu saja. Jika prestasi akademik sekolah menurun, atau ada
sebarang masalah di kalangan murid, ia bukan sekadar isu domestik
sebaliknya membabitkan maruah menteri.
Ia adalah kesan berantai atau impak domino yang akan membawa petaka bertimpa-timpa.
Justeru sebarang masalah mesti dielakkan. Jika ada, segera disapu ke bawah tikar.
Inilah demokrasi cara Malaysia.
"Biar kita sama-sama nyanyi, tapi tujuan kita beza lho."
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan