Home » , » Jangan beri peluang kepada Pas

Jangan beri peluang kepada Pas

Written By Wadah Baru on Ahad, 8 Oktober 2017 | 1:58 PTG

Rakyat negara ini harus melihat kemelut yang sedang dihadapi oleh mereka kini amat kritikal.
Ia bukan setakat bebanan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) semata-mata, sebaliknya kenaikan kos sara hidup, kedudukan kewangan negara yang merudum serta kepimpinan negara yang semakin lemah di bawah kepimpinan Umno-BN.
Menyedari hakikat ini Pas tidak harus diberi sedikit pun mandat atau peluang untuk memenangi mana-mana kerusi Dun mahu pun Parlimen.
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berkata demikian ketika ditemui selepas program ceramah ‘Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi’ di Taman Guar Perahu, Penanti, Permatang Pauh malam tadi.
“Pas tidak mempunyai agenda untuk membela nasib rakyat sepertimana yang sedang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan kini.
“Kehidupan rakyat semakin melarat akibat kepincangan sistem pentadbiran Najib begitu ketara, tapi Pas tidak menentangnya.
“Isu 1MDB yang amat jelas wujud ketirisan sehinggakan dibawa ke Parlimen, sebaliknya mereka menjadi ‘yes man’, ” tegasnya lagi.
Menurut Faiz lagi, isu kemiskinan amat ketara di negeri Kedah sehinggakan ada yang masih menggunakan air sungai seperti di Baling dan Sik.
“Masalah air yang berlarutan sejak sekian lama di Kedah tidak mampu diatasi oleh kerajaan negeri.
“Namun begitu masalah ini tidak pun menjadi keutamaan untuk dibela dan diperjuangkan oleh Pas.
“Sekiranya keperluan rakyat yang sedemikian pun sukar untuk mereka perjuangkan, apa lagi yang boleh diharapkan untuk mereka menentang kepimpinan Umno dan BN, ” ujarnya lagi.
Malah jelasnya, Pakatan Harapan (PH) mempunyai agenda yang lebih besar bagi membela nasib rakyat.
“PH menentang amalan rasuah, penyelewengan dan salah laku yang dilakukan oleh Najib serta kepimpinan Umno dan BN.
“Kita membuat banyak laporan polis terhadap salah urus dan aktiviti kleptokrasi yang hangat diperdebatkan seluruh negara.
“Sebaliknya kita tidak melihat adanya bantahan Pas terhadap amalan kleptokrasi tersebut,” katanya.
Tambahnya lagi, sekiranya kesalahan yang begitu besar berada di hadapan mata oleh kerajaan yang memimpin pun tidak dapat dilihat oleh Pas, apatah lagi kepincangan yang lebih kecil seperti menyalahgunakan kuasa dengan menekan pimpinan pembangkang yang membongkar kesalahan kerajaan pimpinan Umno dan BN.
Sejajar dengan itu katanya, AMANAH Kedah telah pun menubuhkan banyak cawangan setelah mendapat sokongan yang amat memberansangkan, khususnya dalam kawasan yang didominasi oleh Pas sebelum ini.
“Banyak Pusat Khidmat Peduli Rakyat telah dibuka bagi memberi khidmat kepada rakyat tanpa perlu menanti kemenangan dalam pilihan raya umum.
“Amanah dan PH telah sepakat untuk terus memberi khidmat kepada rakyat dengan mengatur pelbagai aktiviti termasuklah turun padang menyelesaikan masalah kehidupan yang dihadapi oleh mereka.
“Alhamdulillah banyak masalah masyarakat telah berjaya diselesaikan dan sokongan semakin bercambah dengan hanya menanti masa untuk dibuktikan melalaui kertas undi sahaja,” katanya lagi.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger