Oleh Arif Atan
Presiden AMANAH, Mohamad Sabu memberi jaminan hak dan kedudukan
penjawat awam di seluruh negara tetap akan dibela sekiranya Pakatan
Harapan mendapat mandat di Putrajaya.
Beliau berkata, hanya kakitangan kerajaan yang disahkan terbabit
dalam salah laku seperti rasuah akan dikenakan tindakan bukannya
keseluruhan penjawat awam termasuk dakwaan pengurangan kakitangan atau
penutupan jabatan seperti digembar-gemburkan.
“Saya ingatkan sekali lagi kamu semua (penjawat awam) kalau dibuang
kerana kesalahan individu bukan kerana jabatan kamu yang akan ditutup
kalau Pakatan Harapan memerintah.
“Kalau ada pegawai polis dan penjawat awam yang rasuah, itu yang kita
akan ambil tindakan bukan kepada pegawai-pegawai kerajaan secara
umumnya,” tegasnya dalam Ceramah Pakatan Harapan di Buntong, Ipoh malam
tadi.
Menurutnya, Pakatan Harapan tidak akan sama sekali mengurangkan walau
sedikit pun peruntukan untuk penjawat awam jika gabungan AMANAH,
Bersatu, DAP dan PKR itu mengambil alih Putrajaya selepas Pilihan Raya
Umum ke-14 (PRU-14).
“Bermakna pegawai kerajaan yang ada semuanya kekal di bawah kerajaan
Pakatan Harapan. Oleh itu, polis tentera pegawai kerajaan jangan
bimbang.
“Bang Mat ini Melayu, Islam. Takkan tergamak saya melihat kedudukan
pegawai-pegawai kerajaan Melayu diketepikan di bawah Pakatan Harapan.
Tidak. Tidak. Tidak,” ulangnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan penjawat awam agar tidak termakan
dengan dakyah perkauman yang sengaja menakut-nakutkan kedudukan mereka
kerana realiti sebaliknya berlaku di negeri-negeri yang pernah dan
sedang diperintah parti pembangkang.
“Lihat perubahan kerajaan negeri di Pulau Pinang, Perak, Selangor,
Kelantan, Terengganu, di Sabah berlaku perubahan parti politik yang
memerintah, pegawai kerajaan dibuang atau tidak?” soalnya kepada ribuan
hadirin yang terdiri daripada masyarakat setempat berbilang kaum.
Tegasnya, paling ramai kakitangan awam dalam kerajaan negeri Pulau
Pinang terdiri daripada orang Melayu yang disifatkan beliau sebagai
gembira dan bekerja kuat di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Lim Guan
Eng.
“Saya ‘salute’ kepada mereka. Pegawai-pegawai kerajaan negeri di
Pulau Pinang itu Melayu tapi mereka duduk di bawah Ketua Menteri, Lim
Guan Eng. Dia (Guan Eng) tutup segala ketirisan, rasuah. Akhirnya Pulau
Pinang (ada) banyak duit.
“Peruntukan kepada jabatan agama Islam naik hampir 80 peratus
berbanding BN memerintah dulu kerana kerajaan Pulau Pinang ada duit,
mereka ada Ketua Menteri yang kuat bekerja dibantu pegawai-pegawai
kerajaan Melayu.
“Sebab mereka lihat inilah Ketua Menteri yang menjaga amanah rakyat.
Sebab itu pilihan raya akan datang Pulau Pinang, dalam Islam sebut
InsyaAllah, Pakatan Harapan menang besar di Pulau Pinang,” jelas
Pengarah Komunikasi dan Mobilisasi Pakatan Harapan itu lagi.
Pakatan Harapan tetap bela hak penjawat awam
Written By Wadah Baru on Selasa, 31 Oktober 2017 | 8:05 PG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan