Home » , » Perangi politik Rasuah Bermula Dari Kita

Perangi politik Rasuah Bermula Dari Kita

Written By Wadah Baru on Rabu, 4 Oktober 2017 | 9:05 PG


Oleh Rafizi Ramli

Saya baru mula sembuh dari demam dan hilang suara akibat dari kempen yang berterusan sejak akhir Jun yang membawa krew #BinaSemulaNegara ke 40 kerusi parlimen marginal di seluruh negara.
Kelantan dan Terengganu adalah dua negeri terakhir yang disinggahi minggu lalu. Kami bermula pada hari Jumaat dari Guchil (Kuala Krai), ke pekan Machang dan bersambung di Kota Bharu pada sebelah malamnya.

Selesai sahaja di Kota Bharu, kami terus ke Kuala Terengganu. Sebelah petangnya di hadapan medan selera pantai Batu Buruk dan malamnya di Chukai, Kemaman.

Pesaing-pesaing dari PAS dan UMNO sama naik memaparkan gambar-gambar di Machang dan Kuala Terengganu yang kononnya saya berceramah di hadapan beberapa orang sahaja. Saya tahu tujuannya untuk menunjukkan kononnya PH tidak mendapat sambutan di Kelantan dan Terengganu, negeri-negeri yang secara tradisinya Umno dan PAS telah lama bertapak berbanding PKR, AMANAH dan PPBM.

Kehadiran di Machang pada jam 5 petang adalah sekitar 150 orang tempatan, termasuklah pengundi-pengundi Cina dari pekan Machang yang selalunya tidak keluar menghadiri mana-mana program politik PAS atau Umno (seperti yang dimaklumkan oleh Dato’ Sazmi Miah, ketua penaja PPBM Machang). Walaupun pada awalnya kerusi yang disediakan agak penuh dan kedai makan berdekatan juga penuh, hujan lebat yang turun menyebabkan ramai yang masuk berteduh di kaki lima.

Di medan selera pantai Batu Buruk adalah lebih mencabar kerana waktunya petang bermula jam 4 petang. Kerusi yang disediakan hanyalah 20 kerusi di luar medan selera, jadi kebanyakan yang hadir duduk di sepanjang gerai-gerai medan selera untuk mendengar sambil minum. Anggaran saya ada sekitar 100 orang yang hadir petang itu.

Saya sebenarnya gembira dengan lagak pesaing-pesaing yang ghairah saling menggunakan taktik Umno untuk menunjukkan kekuatan. Kemampuan PAS atau Umno untuk mengerahkan puluhan ribu anggotanya menyertai himpunan bukanlah sesuatu yang dipertikaikan. Mudah sahaja mengarahkan pelajar atau pemegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri untuk hadir sesuatu acara parti, tambahan pula kalau bas-bas disediakan.

Cabaran sebenar berkempen ialah untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat biasa yang tidak akan menyertai himpunan politik untuk anggota parti. Kita perlu pergi kepada mereka dan ikut cara mereka – waktunya waktu mereka, tempatnya tempat mereka.

Sebab itu trak #BinaSemulaNegara singgah di depan pasar di Guchil, di depan kedai makan di Machang, di medan selera di Kuala Terengganu dan di tepi jalan-jalan besar di Kota Bharu dan Chukai.

Saya sedar membawa budaya politik baru yang benar-benar bersih dari rasuah dan penggunaan wang rakyat serta kemudahan kerajaan bagi tujuan politik parti bukanlah mudah.

Saya bertegas supaya tabung sumbangan INVOKE yang lutsinar mesti diedarkan hatta kami berkempen di Felda Gunung Bongsu, Kulim dan buku/barang kempen INVOKE tetap dibuka kerana saya ingin melatih diri sendiri dan rakyat supaya sanggup melabur demi perubahan.

Kita tidak boleh mengharapkan orang politik semata-mata untuk memperjuangkan perubahan kalau kita tidak sanggup melabur beberapa ringgit sahaja. Hanya apabila kempen perubahan dibiayai sendiri oleh rakyat barulah ahli-ahli politik bebas dari pengaruh tauke besar dan ahli perniagaan berkepentingan.

Alhamdulillah setakat ini perbelanjaan trak dan krew #BinaSemulaNegara bertemu pengundi atas pagar di 40 kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia dibiayai sepenuhnya dari sumbangan rakyat dan jualan buku/bahan kempen berjenama INVOKE.
Saya sertakan jumlah sumbangan dan jualan buku/bahan kempen mengikut bulan seperti berikut:
Julai (12 persinggahan) – Sumbangan: RM5,544, Jualan buku/bahan kempen: RM15,780, Jumlah = RM21,324
Ogos (12 persinggahan) – Sumbangan: RM4,452 Jualan buku/bahan kempen: RM8,005, Jumlah = RM12,457
September (17 persinggahan) – Sumbangan: RM6,751 Jualan buku/bahan kempen: RM6,585, Jumlah = RM13,336
Jumlah RM47,117 adalah jumlah yang besar bila ia datang dari rakyat biasa di seluruh negara. Ini pelaburan dari mereka yang gigih mahu membina semula negara.

In Sha Allah trak #BinaSemulaNegara akan terus bergerak untuk membawa kesedaran bahawa politik yang bebas dari wang kerajaan atau perniagaan berkepentingan adalah penting untuk memastikan peristiwa pimpinan negara makan wang rakyat tidak lagi berulang.

Kami akan tumpukan minggu ini dan minggu depan untuk merancang kempen akar umbi besar-besaran bagi fasa terakhir kempen PH di kerusi-kerusi yang dibantu INVOKE dalam bulan-bulan terakhir menjelang PRU14.

Trak #BinaSemulaNegara akan kembali ke Melaka/Johor dan Negeri Sembilan di hujung Oktober ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger