Home » » Bajet: Pastikan peruntukan benar-benar sampai...

Bajet: Pastikan peruntukan benar-benar sampai...

Written By Wadah Baru on Rabu, 4 Oktober 2017 | 9:46 PG

Oleh Lanh 

PERKATAAN 'bajet' bagi menggantikan 'belanjawan' mula digunakan oleh Perdana Menteri ke-4 Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada pembentangan Bajet 2003.

Beliau mendakwa, perkataan 'bajet' memberi gambaran lebih tepat mengenai perancangan keluar masuk wang negara. Dipinjam daripada istilah 'budget' dalam bahasa Inggeris, ia bermaksud perancangan keluar masuk wang untuk urusan tertentu yang dakwanya lebih sesuai digunakan.

Hari ini perkataan 'bajet' digunakan secara meluas tetapi 'belanjawan' tetap dipertahankan. Ada pihak berpendapat istilah 'bersifat kemelayuan' itu lebih sesuai dengan bahasa Melayu sedangkan 'bajet' itu terlalu nampak 'keinggerisannya' sedangkan bahasa Melayu tidak kurang dari segi pembendaharaan katanya.

Walau apapun diperkatakan mengenai 'bajet' dan 'belanjawan', pada pembentangan kali ini yang sudah pasti akan banyak kali disebut wang berbilion-bilion ringgit, biarlah pelbagai insentif dan hadiah (bantuan) ditawarkan kepada rakyat daripada wang yang banyak itu sampai ke sasarannya.

Ini bermakna ketelusan sistem penyampaian adalah sangat mustahak bagi membolehkan rakyat yang berhak menerimanya. Adalah lumrah kebanyakan kerajaan di dunia berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyat masing-masing; persoalannya adakah peruntukan atau bantuan itu sampai kepada kumpulan sasaran.

Ya, tidak guna kita bercakap mengenai jumlah wang berbilion-bilion ringgit tetapi akibat sistem penyampaian yang tidak telus, kantung wang telah bocor dengan banyak wang tercicir sepanjang perjalanan dan akhirnya penerimanya hanya mendapat tulang, dagingnya telah dibaham oleh buaya di daratan (sungai) dan jerung di lautan.

Kita tidak perlu pergi jauh untuk membuktikan perkara ini, di sekitar kita ada bangunan awam seperti sekolah, hospital, stesen bas, balai raya dan stadium; sekalipun pembinaannya mendapat peruntukan berbilion-bilion ringgit daripada kementerian berkaitan; ketidak-telusan dengan jerung-jerung berkeliaran, menyebabkan bangunan berkenaan rosak atau runtuh dalam tempoh singkat selepas digunakan.

Mungkinkah bangunan berkenaan tidak menepati spesifikasi dan piawai kerana dibina dengan kos dikurangkan bagi 'memberi makan' kepada jerung dan buaya terbabit.

Demikian juga bantuan terus kepada rakyat; disebabkan terlalu ramai orang tengah yang menangguk di air keruh, ada kemungkinan penerima layak mendapat separuh daripadanya sedangkan separuh lagi sudah dimakan jerung. Orang yang menepati syarat juga ada yang tidak menerimanya kerana pelbagai faktor seperti sentimen politik tetapi yang tidak layak pula tersenarai; ini semua disebabkan sistem penyampai yang sarat dengan masalah.

Kegagalan jabatan dan agensi tertentu di sesetengah negeri dalam sistem penyampaiannya sehingga ada golongan daif yang terpaksa meraih simpati kepada pihak lain, sewajarnya mengingatkan kita bahawa wang berjuta atau berbilion ringgit yang ada jika tidak dapat diagihkan secara baik, tidak dapat memberi kesejahteraan kepada rakyat sebaliknya mengemukkan tembolok jerung dan buaya.

Bagi kita jerung dan buaya inilah yang perlu dihapuskan dan yang lebih mustahak dihapuskan pihak yang membela mereka (penguasa korup). Di sinilah kita lihat keperluan untuk kita membina insan bukan semata-mata membina bangunan hebat seperti yang berlaku hari ini.

Jika kita dapat melahirkan golongan penyampai yang amanah, insya-Allah rakyat marhaen akan dapat sama-sama merasai nikmat kekayaan negara. Pengagihan akan dilakukan secara adil dan saksama menepati peribahasa 'hati kuman sama dicicip, hati gajah sama dilapah'!










0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger