Home » , » Kayveas ingatkan BN kongsi kuasa untuk menang PRU

Kayveas ingatkan BN kongsi kuasa untuk menang PRU

Written By Wadah Baru on Sabtu, 7 Oktober 2017 | 2:08 PTG

Parti Komponen BN diingatkan untuk berkongsi kuasa jika ingin memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 kata Presiden Parti Progresif Penduduk (MyPPP), Tan Sri M Kayveas.
"Yang penting untuk BN adalah kongsi kuasa. Semua orang akan dapat juga. Bukan semua akan dapat semua (kuasa). Ini mesti diamalkan. Jika tak beri peluang kepada parti mungkin sokongan kepada parti tertentu tidak dapat.
"Kita perlu ada formula yang boleh beri kemenangan kepada BN di mana-mana kerusi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Sukan Piala-piala Tan Sri M Kayveas di Cameron Highland, hari ini.
Sebelum ini Kayveas menyatakan hasrat mahu bertanding di Cameron Highlands, kerusi yang kini disandang oleh Datuk Seri Dr G. Palanivel, yang juga merupakan bekas Presiden MIC.
Namun hasrat itu ditolak MIC dengan menegaskan ia akan tetap bertanding di kerusi berkenaan.
Respon Kayveas menyusul selepas Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam semalam bersedia mengadakan perbincangan sesama parti komponen BN untuk bertukar kerusi pada PRU14 nanti.
Bagaimanapun beliau menetapkan syarat supaya komposisi kerusi parti itu dikekalkan kepada sembilan kerusi parlimen dan 19 kerusi DUN sebagaimana yang ditandingi MIC pada pilihan raya yang lalu.
Subramaniam menegaskan jika komposisi kerusi itu berubah, ia dikhuatiri akan memberi kesan kepada sistem dan tradisi yang diamalkan BN sejak dari dahulu.
Sementara itu Kayveas menyambut baik kesediaan MIC untuk berbincang mengenai pertukaran kerusi bagi menghadapi PRU akan datang.
"MyPPP boleh berbincang dengan MIC. Sebenarnya saya faham dengan kedudukan beliau (Presiden MIC), beliau tak boleh kurang (kerusi) jika tidak beliau kena menjawab kepada ahli-ahli parti.
"Tetapi dalam masa kita berbincang itu nanti, kita serahkan kepada masa. Mungkin beliau akan dapat tambahan kerusi Senator di parlimen, atau mungkin juga dapat jawatan," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger