Home » » Himpunan ‘politik toksik’ - polis siasat Dr Siti Hasmah

Himpunan ‘politik toksik’ - polis siasat Dr Siti Hasmah

Written By Wadah Baru on Jumaat, 26 Januari 2018 | 4:00 PTG

Polis hari ini menyiasat dan merakamkan kenyataan daripada Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali berhubung ucapannya pada himpunan ‘Wanita Bantah Politik Toksik’di ibu negara, pada 10 September tahun lalu.

Siti Hasmah, 91, tiba di bangunan Yayasan Al-Bukhary di Kuala Lumpur kira-kira pukul 9 pagi. Beliau diiringi oleh suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anak mereka, Datuk Marina.

Dua anggota polis dari Bukit Aman kemudiannya tiba pada jam 11.40 pagi dan menghabiskan lebih satu jam menyoal Siti Hasmah.

Peguamnya, Hanif Khatri Abdulla memberitahu pemberita bahawa kes itu disiasat mengikut Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman.

Beliau berkata polis menyediakan sebanyak 12 soalan, beberapa daripadanya berkaitan dengan ucapannya di himpunan itu.

Hanif berkata polis sepatutnya hanya menonton ucapan Siti Hasmah dalam talian dan bukannya merakamkan kenyataan dari beliau.

Lebih-lebih lagi, katanya, orang ramai juga boleh menilai sendiri jika kandungan ucapnnya itu adalah menghasut atau bertentangan dengan undang-undang.

"Empat kali, polis datang minta kenyataan daripada Mahathir, tetapi sekarang sudah dua tahun dan polis tidak mengambil sebarang tindakan.

“Jika ada bukti , sila tunjuk di makamah. Jangan buang masa seseorang yang kita anggap sebagai ‘ibunda rakyat Malaysia. Dia sudah berusia 91 tahun,” katanya.

Menjawab soalan wartawan, Hanif mendakwa tindakan polis hari ini sememangnya bermotifkan politik.
“Bagi saya, bagi kita semestinya, trend sekarang ini memang jelas.

“Pihak kerajaan dengan sedaya upaya melencongkan fikiran, penglihatan dan pandangan orang... daripada masalah mereka , cuba membuat pekara pekara sandiwara ini.
Mereka cuba nak gertak rakyat biasa,” katanya.

Siti Hasmah pada himpunan berkenaan memberikan ucapan ringkas di hadapan kira-kira 1,000 peserta, yang menggesa wanita supaya memainkan peranan mereka dalam menghentikan ‘politik toksik’ di negara ini.

Menjadi individu terakhir berucap sebelum kumpulan wanita berbaju unggu itu berarak ke Pusat Beli Belah Sogo, Siti Hasmah menyedarkan orang ramai mengenai keperluan untuk menghentikan "politik toksik".

Katanya, keadaan kini semakin membimbangkan apabila seseorang mungkin dikasari kerana hanya menyuarakan pendapat.

"Sebab itu kita wanita membantah sekeras-kerasnya politik toksik sebelum toksik itu masuk ke dalam badan kita dan menjadi toksinnya, baiklah kita cegah, hentikan [...]
"So ladies, ayuh kita berjalan," katanya.

Perhimpunan itu juga antara lain menyasarkan, keganasan politik, ugutan, perkauman, seksisme, ucapan kebencian serta kegagalan kerajaan memastikan keselamatan awam dan kesucian perlembagaan persekutuan.
Terdahulu, Marina dalam hantaran di twitter bahawa polis sedang menyoal ibunya dan menyiarkan gambar, yang menampilkan Siti Hasmah dengan kumpulan "wanita unggu" itu.

Dalam satu hantaran twitter, kemudian, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar membidas tindakan polis menyoal Siti Hasmah.

"Sudah tiba masa untuk bersatu menentang segala bentuk penganiayaan politik. Saya bersimpati dengan Siti Hasmah apabila beliau menyerah diri untuk disoal siasat. Harus ada batas penindasan," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger