Oleh Amin Iskandar
KETUA Umum PKR Anwar Ibrahim mendedahkan, penahanan sebegitu ramai
pemimpin dan aktivis politik dalam Operasi Lalang pada 1987 berpunca
dari ketegangan kaum yang dicetuskan Pemuda Umno dan MCA.
Anwar menjelaskan, kebanyakan daripada 106 pemimpin dan aktivis
politik yang ditahan mengikut ISA itu tidak terlibat dalam mencetuskan
ketegangan antara kaum pada ketika itu.
“Yang menjadi sebab kepada berlakunya Operasi Lalang pada 1987 ialah
pertembungan antara Pemuda Umno dan MCA sehingga menyebabkan ketegangan
kaum.
“Pada ketika itu Najib Razak merupakan ketua Pemuda Umno dan MCA pula
diketuai Lee Kim Sai,” kata Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari
ini.
Anwar merupakan saksi yang dipanggil hari ini dalam kes saman yang difailkan oleh Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah terhadap ketua gerakan Baju Merah Jamal Yunos.
Maria memfailkan saman terhadap Jamal kerana menuduh Bersih mempunyai kaitan dengan kumpulan militan IS.
Muhammed Nasser yang mewakili Jamal menyoal Anwar mengenai sebab penahanan suami Maria, Yunus Ali mengikut ISA pada 1987.
Peguam Jamal bertanyakan soalan itu kepada Anwar kerana ingin
mengaitkan Maria sebagai pengganas kerana arwah suaminya Yunus pernah
terlibat dengan Palestine Liberation Organisation (PLO).
Anwar berkata, beliau yang merupakan menteri pelajaran dan naib
presiden Umno ketika penahanan Yunus telah merayu kepada perdana menteri
untuk melepaskan tahanan ISA tertentu.
“Selepas penahanan dilakukan, pada hari Ahad, saya pergi ke rumah
perdana menteri Dr Mahathir Mohamad di Seri Perdana dan merayu agar
mereka yang tidak berkenaan dibebaskan,”
Anwar berkata, bekas menteri kewangan waktu itu Daim Zainuddin
merupakan saksi beliau ke rumah Dr Mahathir meminta tahanan Operasi
Lalang dibebaskan.
“Saya minta Dr Mahathir bebaskan yang tidak terlibat.
“Dr Mahathir kata, ‘Anwar urusan keselamatan ini urusan keselamatan
negara, lebih baik kita serahkan kepada polis dan cawangan khas’,” kata
Anwar.
Dr Mahathir juga merupakan menteri dalam negeri pada ketika itu.
Menurut Anwar selepas beliau merayu kepada Dr Mahathir, beberapa
orang tahanan seperti aktivis sosial Dr Chandra Muzafar dan bekas ketua
pengarang kumpulan Berita Harian Ahmad Sebi dibebaskan selepas 60 hari
dalam tahanan.
Sementara itu, tahanan lain termasuk Presiden Amanah Mohamad Sabu,
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng
dihantar ke Kem Tahanan Kamunting di Taiping untuk menjalani tahanan
selama dua tahun.
Turut dihantar ke pusat tahanan itu ialah Pengarah Komunikasi Amanah
Khalid Samad, Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar, Penasihat Suaram Kua
Kia Soong, katanya.
Anwar turut memberitahu mahkamah, beliau juga bergiat dengan Yunus
dalam gerakan pelajar sewaktu menuntut di Universiti Malaya pada 1970-an
dengan memperjuangkan kemiskinan penduduk luar bandar.
Pada kemuncaknya, mereka bersama seorang lagi aktivis pelajar waktu
itu, Hishamuddin Rais menganjurkan demonstrasi di Kuala Lumpur pada 3
Disember 1974.
Katanya, selepas demonstrasi pada 3 Disember itu, kerajaan mengambil tindakan terhadap mahasiswa termasuk menggunakan ISA.
Dalam satu wawancara
bersama The Malaysian Insight tahun lalu Dr Mahathir berkata, pada 1987
beliau memberitahu polis agar tidak menahan pemimpin politik dan
aktivis ini tetapi arahannya tidak didengar.
“Saya tidak bersetuju. Saya minta polis patut terima, kita mesti hapuskan ISA.
“Polis tak bersetuju. Saya, tertakluk kepada nasihat keselamatan
daripada polis. Saya tak boleh lawan dengan polis,” kata pengerusi
Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu itu dalam wawancara
Bekas ketua polis negara Abdul Rahim Noor dalam wawancara
bersama The Malaysian Insight mengesahkan keputusan melaksanakan
Operasi Lalang merupakan keputusan polis dan bukannya Dr Mahathir.
Rahim yang merupakan pengarah Cawangan Khas pada ketika itu berkata,
pertumpahan darah mungkin berlaku jika polis tidak meneruskan Operasi
Lalang dan menahan 106 orang yang dianggap sebagai ancaman kepada
keselamatan negara.
Home »
artikel
,
Berita
» Operasi Lalang disebabkan ketegangan kaum dicetuskan Umno dan MCA, kata Anwar
Operasi Lalang disebabkan ketegangan kaum dicetuskan Umno dan MCA, kata Anwar
Written By Wadah Baru on Khamis, 25 Januari 2018 | 11:44 PG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan