Oleh Ustaz Hasrizal Abd Jamil
Bismillah.Saya bukan ahli politik. Pembabitan saya di dalam PAS banyak
berkisar di daerah perkaderan. Saya memilih untuk berada di ruang
perkaderan kerana saya suka dengan anak muda. Bagi saya, untuk melihat
perubahan, ia boleh dibuat di semua peringkat, tetapi mengusahakannya di
peringkat anak muda adalah yang terbaik. Namun usaha ini kena sabar
sebab hasilnya perlu menunggu mungkin sekitar 5 ke 10 tahun. Saya
memilih untuk berada di perkaderan supaya kedudukan saya di dalam PAS
tidak terlalu bawah sehingga pendapat saya tidak berharga, dan tidak
naik ke atas sehingga saya perlu berpolitik. Saya tiada bakat politik,
dan sentiasa mengelak daripada sampai ke daerah PAS sebagai parti
politik. Namun itu tidak bermakna saya naif dengan politik.
Dalam urusan perkaderan, subjek paling berharga ialah (i) pemikiran (ii) karakter (iii) wacana bersifat futuristik
Ketika memegang jawatan kecil di dalam sebuah unit di bawah DPPP bermula
daripada sekitar tahun 2005, agenda saya dan rakan-rakan ketika itu
adalah menyuntik perubahan kepada pemikiran dan pendekatan dakwah PAS,
khususnya di peringkat kampus. Dari segi pemikiran, agenda ketika itu
ialah menautkan kembali Sunnatullah dan Syariatullah. Ia akan menyentuh
tentang sinergi antara sains dan agama, 'profesional' dan agamawan,
kepentingan asbab dan ketinggian tawakkal dan doa, yang menjadikan siapa
sahaja di dalam PAS sama penting kerana saling lengkap melengkapkan.
Wacana "Apa Erti Saya Menganut Islam" versi 'segar' digerakkan di
seluruh negara, malah di luar negara juga. Hasratnya, adalah supaya
aktivis PAS mempunyai minda yang dinamik, boleh melakukan integrasi
disiplin ilmu tanpa sebarang sumbatan kognitif disebabkan oleh
'sekularisme versi ambil sains tolak agama', mahu pun 'sekularisme versi
ambil agama tolak sains'.
Pada masa itu juga, saya tekankan bahawa gerakan Islam mempunyai dua
agenda. Agenda pertamanya adalah untuk bertindak balas terhadap
kehilangan kuasa politik pasca kejatuhan Dawlah Uthmaniyyah 1924.
Manakala agenda keduanya pula adalah untuk bertindak belas terhadap
Barat. Mahasiswa dan mahasiswi yang mengikuti wacana saya di blog
saifulislam.com ketika itu tentu tidak lupa, bagaimana banyaknya saya
tekankan, pentingnya bagi amilin gerakan Islam belajar tentang sejarah
Eropah Moden, agar mereka menguasai latar belakang kepada ideologi dan
sistem semasa, yang akar umbinya adalah di dalam sejarah era tersebut.
Tetapi pada masa itu, saya dan tim di dalam unit berkenaan perlu banyak
bersabar sebab mahasiswa mahasiswi pro PAS ramai yang lemah dari segi
pembacaan, malas dan banyak beralasan, tidak kurang yang lemah akademik
dan karenah-karenah itu banyak yang mengesahkan dakwaan Fathi Aris Omar
dalam wacana Di Bawah Mendung Usrah, bahawa usrah adalah agenda
pembodohan. Memang ia berlaku, sebab yang datang usrah malas baca buku,
malas berfikir, namun berkeinginan tinggi untuk bercakap benda-benda
besar. Semua itu tidak kami nafikan, tetapi kami mengambilnya sebagai
tugas untuk membetulkan keadaan.
Agenda memperbaiki PAS dan membawa gelombang pemikiran baru di kalangan
anak muda berjalan lancar. Kemuncaknya ialah apabila Ustaz Nasruddin
Tantawi dan Ustaz Nik Abduh menjemput saya dan beberapa rakan untuk
hadir ke sebuah mesyuarat dengan agenda menyemak Tarbiah, tetapi pada
masa yang sama, mengusulkan pembentukan Ulama Pelapis PAS! Jika tidak
silap saya, mesyuarat itu adalah sekitar Disember 2007. Wah, ini sudah
luar biasa. Saya hanya berharap agar anak muda yang berubah. Tetapi jika
ulama pun mahu berubah, ia seperti pucuk dicita ulam mendatang.
Tetapi perubahannya terjadi bermula pada sekitar tahun 2008. Kepulangan
ustaz-ustaz muda dari luar negara, membawa idea yang berbeza. Saya
mengambil beban kesalahan kerana pada sekitar tahun itu saya amat sibuk
dengan kerja, dan dengan rela hati mengundurkan dari daripada unit yang
didiami selama ini. Laluan diberikan kepada ustaz-ustaz muda ini tanpa
sebarang prasangka.
Akan tetapi sedikit demi sedikit, saya semakin tidak berkenan dengan
wacana yang dibawa. Kupasan saya tentang konsep Kepimpinan Ulama dibalas
dengan sanggahan yang membimbangkan. Tidak mengapa jika pandangan saya
tidak ditanggap dengan tepat lalu saya dituduh cuba menyamakan ulama
Islam dengan paderi gereja zaman gelap Eropah. Tetapi yang lebih saya
khuatirkan ialah apabila logik yang dibawa untuk mempertahankan
Kepimpinan Ulama ketika itu ialah, "jika ulama memimpin, ulama merujuk
kepada Allah dan Rasul, dan kepimpinannya Allah bantu. Tetapi jika
profesional memimpin, mereka hanya menggunakan logik akal. Justeru kamu
mahu kepimpinan yang bagaimana?"
Soalan ini sangat berbahaya.
Saya bertengkar dengan rakan-rakan profesional kerana mereka 'buy' idea
ini. Saya dukacita sebab graduan-graduan UK yang pro PAS, mereka ini di
kaca mata negara adalah aset. Tetapi apabila mereka berada di dalam PAS,
mereka berada di kedudukan yang mensesiakan kepintaran dan
profesionalisme masing. Pada masa itu, di dalam pertengkaran saya dengan
golongan profesional ini, saya yang sedang marah menyebut, "jika
dahulu, ana rasa masalah dalam PAS ini adalah ustaz-ustaz yang jumud.
Tetapi sekarang ini ana tambah di hujungnya bahawa masalah dalam PAS
ialah ustaz-ustaz jumud yang dilindungi oleh para profesional yang
bengap!" Kenyataan saya ini dibalas oleh S/U MSU bahawa bai'ah saya
terbatal sebab saya menyanggah keputusan syura. Saya berkeras bahawa
bai'ah saya bukan dengan 'ustaz', tetapi dengan Allah dan Rasul.
Saya mewacanakan idea Kepimpinan Ulama bukan kerana saya ada apa-apa
kepentingan tentang siapa yang nak memimpin PAS. Saya tiada masalah
dengan siapa nak jadi pemimpin. Sejak awal pembabitan saya dengan PAS,
saya sentiasa jauh daripada hal ehwal kepimpinan di atas, apatah lagi
untuk berpihak kepada mana-mana kem, di zaman yang ada kem-kem tertentu.
Tetapi saya menyanggah idea Kepimpinan Ulama ini sebab ia merosakkan
kognitif anak muda melalui wacana yang pelik. Semenjak 2008 ke 2010,
saya sudah sangat khuatir kerana di peringkat perkaderan, yang dominan
adalah pembulian pemikiran, dengan jargon-jargon wala, bai'ah, tsiqah
tidak tsiqah.
Apabila saya hadir ke kampus-kampus untuk berceramah tentang cinta,
selepas habis program, ada ahli Jemaah Islam Kampus meminta bertemu
dengan saya di tengah malam untuk meluahkan rasa bimbang dan sedih
mereka tentang pembulian fikrah, label melabel, dan penyenaraian hitam
ustaz yang berfikrah seperti saya. Saya hanya mengangguk, memberi
semangat, namun menyalahkan mahasiswa itu sendiri. Sebabnya, di zaman
saya, kalau ada ustaz ceramah merepek, kami akan tanya, bantah, tegur,
dan sesekali melawan. Tetapi kalian hanya mengeluh di belakang. Maka
saya hulurkan rasa faham, tetapi saya tidak simpati. Jika kalian nampak
masalah ini, kalian wajib menyuarakannya. Sok sek di belakang, ia tidak
ke mana.
Bagi sahabat-sahabat yang akrab, mereka tahu yang saya sudah pun hilang
kepercayaan tentang keupayaan PAS untuk berubah, seawal 2008. Biar pun
ketika itu politik PAS berada di tahap yang amat memberangsangkan, namun
di peringkat perkaderan ia penuh kebimbangan. Desakan demi desakan yang
diajukan kepada pimpinan Pusat bahawa mahasiswa mahasiswi pro PAS ada
banyak masalah tidak diendahkan mereka. Apa yang penting bagi pimpinan
ketika itu ialah meminta laporan setakat mana mahasiswa pro PAS atau
tidak. Apabila masalah di kalangan mahasiswa dan mahasiswi ini
dibiarkan, saya menjangkakan masa depan PAS akan ada banyak masalah.
Menuju usia 40, saya tidak mahu hidup saya dibelenggu konflik dan
masalah. Biar pun sudah tiada apa-apa jawatan di dalam PAS, saya
tidaklah pula mengisi hari dengan aktiviti jahiliah atau tak tahu nak
buat apa. Malah kehidupan selepas tiada jawatan di dalam PAS adalah
lebih sibuk. Sesekali ada kawan menjenguk ke rumah, bertanya khabar.
Semuanya saya raikan. Namun di hujung pertemuan, mereka akur bahawa saya
sudah hilang keyakinan terhadap keupayaan PAS untuk berubah. Politik
itu seperti buih. Ia boleh ditiup menjadi besar dan cantik. Tetapi
perkaderan itu 'real'. Jika perkaderan sudah dimakan anai-anai, rumah
yang teguh menunggu rebah.
Kemuncaknya, apabila Muktamar PAS 2014 berlangsung di Johor , saya sudah
membulatkan hati. Sepanjang muktamar, dunia menyaksikan sebuah parti
Islam bersorak sorai, boo, label melabel, dari atas hingga ke bawah, dan
doa dipakai untuk menyindir sesama ahli. PAS sudah tidak lagi komited
dengan identiti Islam. Pada tahun itu, saya koyak sijil keahlian PAS
seumur hidup saya dan saya hanya simpan cebisan bertulis Bismillah, ayat
7 Surah Muhammad dan tandatangan al-Marhum Ustaz Fadzil Noor kerana itu
sahaja yang bagi saya masih berharga untuk disimpan, dan dikenang dalam
kesedihan.
Saya menyokong penubuhan Gerakan Harapan Baru, bukan
kerana saya mahu menjadi aktivisnya. Saya hanya berharap agar dengan
adanya parti baru itu, pimpinan-pimpinan yang tersingkir itu tidak
membuang masa bertikam lidah, duduk dalam dilema, dan mensesiakan ilmu,
pengalaman dan bakat kepimpinan mereka. Mereka tersingkir bukan atas
kapasiti individu. Sebaliknya mereka tersingkir hasil strategi
terancang, bukan sekadar di peringkat mesyuarat bahagian memilih
perwakilan, tetapi lama sebelumnya melalui aktiviti melabel,
memburuk-burukkan, menyenarai hitam, di luar bayangan saya ia boleh
berlaku kepada sebuah gerakan Islam.
Mengundurkan diri daripada
PAS terjadi dalam keadaan yang sangat perit dan melukakan hati sendiri.
Biar pun netizens secara semberono melabel jebon, ular daun, penjilat
DAP, dan terkini Dr. Zuhdi menuduh golongan 'progresif' ini mahu membawa
Islam Amerika yang direstui oleh Sister in Islam, Lawyer for Liberty,
Comango, pendukung LGBT dan DAP, semua itu jika ditimbang dengan neraca
dunia, ia bagai tanah yang menambus jasad di dalam kubur. Sempit dada
dibuat.Tetapi dengan mengembalikan semuanya kepada Allah dan Rasul SAW,
iman kepada Akhirat dan pautan kepada rahmat-Nya, saya yakin, Gerakan
Harapan Baru itu biar pun akan bermula dengan seribu satu keperitan,
Allah tidak akan mensesiakan keikhlasan hati untuk membantu agama-Nya.
Sudah
lama suara Islam berhenti daripada bercakap tentang masalah masyarakat
Malaysia, susah payah mereka, dan sibuk dengan politik rumahtangga. Yang
kekal dalam PAS teruskan beramal, kerana kelompok bermasalah sudah
tersingkir. Yang memilih untuk bersama GHB, berhati-hati mengatur
langkah. Fokus kepada kerja, jauhi perangkap sengketa.
وقل اعملوا فسيرى الله عملكم ورسوله والمؤمنون وستردون إلى عالم الغيب والشهادة فينبئكم بما كنتم تعملون
Dan
katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang
diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman
akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada
(Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata,
kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan".
[al-Tawbah 9: 105]
Dalam hening malam-malam akhir Ramadan ini,
semoga Allah ampunkan kekurangan saya, membantu saya untuk melihat yang
benar itu sebagai benar, dan direzekikan untuk menurutinya. Tiada yang
kupinta, melainkan kaki kekal melangkah di sirat mustaqim, menagih husn
al-khatimah, diredhai Allah dan didamaikan di Syurga bersama Anbiya',
Siddiqin, Syuhada' dan Solihin.
http://www.pas.org.my/artikel-umum/5238-parti-baru-mendukung-gagasan-muslim-progresif
Masalah bermula bila ustaz jumud dilindungi profesional bengap
Written By Wadah Baru on Rabu, 15 Julai 2015 | 11:13 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan