Home » , » Rakaman Video : Muhyiddin: Najib akui RM2.6b dalam akaun

Rakaman Video : Muhyiddin: Najib akui RM2.6b dalam akaun

Written By Wadah Baru on Rabu, 29 Julai 2015 | 7:57 PTG

Satu rakaman video menunjukkan Tan Sri Muhyiddin membincangkan mengenai dakwaan bahawa wang jutaan ringgit dipindahkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjadi perhatian pengguna Internet.

Video sepanjang 53 saat itu menunjukkan bekas timbalan menteri besar itu berbual dengan beberapa orang tetamu di kediamannya, antaranya Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir dan bekas menteri, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir.

Sebahagian daripada rakaman itu tidak dapat didengar dengan jelas, namun secara umum, Muhyiddin dalam video itu nampaknya membangkitkan bahawa beliau sudahpun bersemuka dengan Najib berhubung dakwaan tersebut.

Ia berhubung dakwaan yang dilaporkan The Wall Street Journal pada 3 Julai lalu, bahawa penyiasat Malaysia mendapati wang sebanyak hampir AS$700 (RM2.6 bilion) juta dipindahkan ke akaun peribadi Najib.

 
Dalam video itu, Muhyiddin memberitahu para tetamu bahawa beliau sudah bertanya mengenai sumber wang tersebut dan mendapat jawapan bahawa dana berkenaan diperolehi daripada satu individu di Timur Tengah.

"Then saya kata kenapa masuk akaun you? Kenapa masuk akaun Najib Razak?," soal Muhyiddin.

"Dia mengaku. Jadi saya tanya: Mengapa letak dalam akaun peribadi sendiri?,” kata Muhyiddin lagi dalam bahasa Inggeris.



Ketika dihubungi, Abdul Kadir mengesahkan bahawa perbualan itu sememangnya berlaku namun menegaskan bahawa ia tidak sepatutnya dirakam.

Beliau juga enggan memberi pandangannya mengenai isi perbualan berkenaan.

"Saya tidak mahu komen mengenainya. Ia adalah perbualan tertutup. Ia tidak sepatutnya dirakam.

"Mukhriz sudah meminta hadirin supaya tidak merakamnya,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi petang ini.- Malaysiakini

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger