Home » , » Gabungan politik baru pada Hari Malaysia 16 September?

Gabungan politik baru pada Hari Malaysia 16 September?

Written By Wadah Baru on Khamis, 20 Ogos 2015 | 9:00 PG


Jika parti Islam yang baru ditubuhkan pada Hari Kebangsaan ini, satu gabungan politik baru diharap dapat diwujudkan pada Hari Malaysia bulan depan.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata gabungan baru – sama ada ia digelar Pakatan Rakyat 2.0, Harapan Rakyat atau apa saja nama baru – akan menjadi titik pertemuan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan wilayah untuk menyelamatkan Malaysia daripada menjadi negara bajingan dan negara gagal.

Katanya, setiausaha Gerakan Harapan Baru, Dr Dzulkefly Ahmad, telah pun menyatakan kemungkinan parti baru pimpinan golongan progresif Muslim itu dilancarkan pada 31 Ogos ini.

Menurut Kit Siang, kewujudan Pakatan Rakyat selama tujuh tahun bermula 2008 hingga 2015 menjadi tempoh penting dalam membangkitkan harapan dan aspirasi rakyat Malaysia.

Beliau berkata, harapan dan aspirasi itu merangkumi hasrat rakyat yang mahukan hak saksama dari segi kebebasan politik, hak asasi manusia, keadilan ekonomi serta maruah insan dan hak-hak sosioekonomi yang selaras dengan keperluan insan global abad ke-21.

“Malangnya, Pakatan Rakyat telah mati hanya selepas bertanding dalam satu pilihanraya umum pada 2013, dan ia mengecewakan rakyat Malaysia yang menaruh harapan dan kepercayaan terhadap PR.

F2“Saya amat sedih dengan pemergian PR tetapi sebagai seorang insan yang menerima realiti politik, saya sedar tidak ada cara untuk mengelakkan kematian PR apabila salah satu daripada tiga parti komponen enggan mengikut Rangka Dasar Bersama PR,” katanya berucap di forum “Ke Mana Halatuju Malaysia” di sini malam tadi.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, sudah ada tanda-tanda masalah dalaman PR apabila Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang melanggar persetujuan dengan memberi watikah kepada calon-calon PAS dalam PRU13 untuk melawan calon-calon PR di enam kawasan DUN, yang memberi manfaat kepada UMNO.

Tidak cukup dengan itu, katanya, Hadi setahun kemudian menolak keputusan sebulat suara Majlis Pimpinan PR, malah keputusan Jawatankuasa PAS Pusat sendiri, berhubung pelantikan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Pada tahun ini pula, Hadi sekali lagi melanggar janjinya kepada Majlis Pimpinan PR untuk membincangkan bersama dalam majlis pimpinan tersebut tentang rang undang-undang hudud Kelantan, dan rang undang-undang persendirian Hadi mengenai hudud ke Parlimen, tambah beliau.

“Menoleh ke belakang, seperti ada berita gembira di sebalik kesedihan apabila PR gagal memenangi majoriti Parlimen dalam PRU13. Ini adalah kerana jika PR menang tipis dalam PRU13, ia terpaksa tunduk kepada Presiden PAS yang tidak mahu menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Bayangkan keadaannya apabila Hadi enggan menerima Anwar sebagai Perdana Menteri. Beliau mungkin membawa sokongan partinya kepada UMNO, mencipta krisis besar untuk PR, sebelum sempat pun PR membentuk kerajaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap gabungan pembangkang yang baru akan belajar daripada kesilapan-kesilapan lalu untuk memastikan wujudnya perpaduan matlamat ke arah perubahan politik yang dituntut oleh rakyat. – Roketkini.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger