Home » , » Hudud : Itu Yang Dikata, Ini Jawapannya.

Hudud : Itu Yang Dikata, Ini Jawapannya.

Written By Wadah Baru on Selasa, 4 Ogos 2015 | 4:15 PTG

Oleh Ridzwan Abu Bakar 

1. Sejak bulan september 2014 yang lalu selepas berlangsungnya Muktamar Pas ke 61, antara tajuk popular yang dibahaskan ketika bercakap berkaitan isu dalaman Pas adalah berkaitan 'ada juga orang Pas yang anti dan tak sokong hudud'. Kempen dan dakwaan yang seumpama ini boleh kita dapati dalam pelbagai media sosial dan juga melalui beberapa pentas yang direka khusus bagi menghadapi pemilihan parti dalam muktamar ke 61 yang lalu.

2. Bahkan, sebahagian 'orang PAS' yang anti dan tak sukakan hudud itu dikenalpasti seperti Dr Dzul, YB Hanifa, YB Khalid Samad dan beberapa nama yang lain lagi.

3. Saya rasakan bahawa selepas pemilihan yang diadakan pada 4/6 yang lalu, isu 'ada orang Pas yang tolak hudud' akan berakhir, rupa rupanya tidak, angin 'konon'nya nama nama yang disebutkan itu menolak hudud terus bertiup kencang, sementelah pula mereka berhasrat bersama GHB yang diuar uarkan akan mengganti kedudukan Pas di dalam PR 2.0, dari kerana itu, dakwaan penolakan hudud itu lebih kencang dipalu untuk mengambarkan bahawa mereka sememangnya tidak layak diikuti kerana mereka memusuhi hukum Allah SWT.

4. Menanggapi dan memahami isu ini, amat mudah untuk tidak disalahertikan bahkan untuk hanya bersikap 'syak' dan ragu terhadap mereka pun tidak layak, kalaulah isu ini difahami dengan molek dan 'noktah perbezaan' mahu difahami dan dibahaskan.

5. Apakah 'noktah perbezaan?', secara umumnya tidak ada mana mana pemimpin Pas (samaada yang lalu dan yang sekarang) yang meragui apatah lagi menentang hukum hudud, (inilah yang ditegaskan oleh YB TGHH dalam ucapan penangguhan pada muktamar yang lalu). Lalu, apakah sebenarnya yang berlaku sehingga ada 'orang PAS yang anti hudud' seperti yang dituduh. Di sinilah pentingnya kita memahami 'noktah perbezaan', yang membezakan dua pandangan dalam Pas berkaitan hukum hudud adalah 'masa' dan 'bagaimana' bukan 'kandungan' dan 'syiriyyah - legitimasi' nya.

6. Persoalan 'masa' dan 'bagaimana' hudud nak dilaksanakan bukan termasuk dalam persoalan 'الثوابت' - perkara yang tetap - tetapi ia termasuk dalam persoalan teknikal dan taktikal yang termasuk dalam bab المتغيرات - yang menerima perubahan -, itu yang ingin dibahaskan oleh sebahagian orang. Mungkin akan ada yang berkata 'Apakah Allah tidak mengetahui tentang faktor masa?' Kita katakan 'Allah Maha Mengetahui, tetapi Allah juga tidak menyuruh kita untuk ketepikan faktor sunnatullah termasuklah sunnatullah dalam masa dan keadaan'. Mungkin juga akan ada yang berkata dengan sinis 'Ini hukum Allah, buat apa fikir tentang bagaimana, anda tolong Allah, Allah akan tolong anda', kita katakan 'Ya, ini hukum Allah, namun Allah juga arahkan kita untuk membagaimanakan hukumnya dengan baik sehingga hukum itu tidak terfitnah dan merosakkan nama baik agama'. Apapun anda layak dan berhak tidak berSETUJU, namun anda tidak berhak untuk menyimpulkan bahawa 'ada orang Pas @ orang Islam yang anti hudud'.

6. Ummat ini dan khususnya anggota gerakan Islam perlu dididik untuk berbincang berasaskan 'apa yang bersama' dan 'apa yang berbeza' berpandukan ilmu, bukan hanya secara semborono dan berpandukan emosi ammarah yang kekadang sampai ketahap hanya berbicara tentang 'hukum' tanpa melihat akibat dan latarbelakang sesuatu isu yang berlegar dan meletus dalam masyarakat.

Semoga ada manfaatnya, Islam dan hukumnya perlu ditegak dengan saksama dan dilaksanakan oleh mereka yang berkepala dingin serta berilmu.

ISTIQAMAH BERSAMA KEBENARAN.

Ridzwan Abu Bakar
Gontor Putri 1
Mantingan, Jawa Timur Indonesia.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger