Home » , » Kamu Hanya Seekor Nyamuk

Kamu Hanya Seekor Nyamuk

Written By Wadah Baru on Selasa, 25 Ogos 2015 | 3:04 PTG

OLEH XIFU NASER

EMPAYAR Roma dan Parsi adalah kuasa terbesar ketika Nabi Muhammad SAW dilahirkan di Jazirah
Arab yang zahirnya hanya sekadar “nyamuk” pada pandangan mereka. Apa ada pada bangsa Arab?

Unta? Syair? Umat yang bodoh, tidak tahu menulis dan membaca? Seorang Nabi Arab yang miskin, yatim piatu? Inikah yang dikatakan sebagai “rahmah lil-‘aalamiin”?

 Antara hujah Prof Mohd Abu Bakar dari Universiti Malaya bahawa GHB akan lebih cepat terkubur daripada Hamim dan Berjasa ialah GHB tidak cukup pelapis-pelapis yang terkenal. Yang veteran pula sudah tua, 60 tahun ke atas. “Tambahan pula, dalam kalangan mereka tidak ada ikon yang boleh dijadikan perangsang dan teras,” kata Prof.

GHB merupakan parti yang belum di daftarkan lagi dan dalam waktu yang terlalu singkat, seorang Prof telah begitu cepat menguburkan masa depan GHB. Lebih hebat daripada Raja Bomoh.

Tetapi apa yang saya hendak tekan di sini ialah Roma dan Parsi tidak punya mata hati untuk lihat selain daripada perspektif politik yang bersifat kuantitatif: Arab tidak punya ikon yang hebat. Hanya seorang Nabi yang buta huruf, miskin dan tidak mendapat sokongan dari kampungnya sendiri iaitu Makkah. Kebanyakan pengikutnya pula adalah hamba atau golongan ‘mustad’afin’ (yang tertindas)!

Bandingkanlah dengan nama-nama ahli falsafah terkenal seperti Aristotle, Plato, Pythagoras, Socrates dan penakluk terkenal seperti Julius Ceasar,Alexander the Great, Cyrus the Great, Darius. Tiada seorang pun ahli falsafah atau penakluk Arab terkenal!

Sebagai pendakwah non-partisan, saya melihat dari perspektif ‘transpolitik’ iaitu menilai perkembangan politik bukan dari segi berapa jumlah pengikut yang sedia ada dan fakta kuantitatif seperti umur pemimpin-pemimpinnya tetapi dari segi potensinya yang berkait dengan arus perdana semasa dan akan datang. Potensi ini diterjemahkan dalam bentuk wacana seperti wacana Fiqh Malizi.

Penilaian transpolitik ini sangat penting untuk tujuan dakwah kerana ia melibatkan arah tuju wacana Islamisasi, khususnya di Malaysia. Walaupun kebelakangan ini saya kerap menulis tentang GHB, saya tetap mengambil sikap tidak taksub kepada mana-mana parti.

“Rumusan saya,” kata Prof, “GHB berjaya hanya sementara. GHB akan popular tetapi sementara.” Walaupun penilaian Prof gagal melihat potensi GHB jangka panjang, tetapi Prof mengiktiraf potensi semasa GHB yang berjaya dan popular.

Dari segi ini, pandangan Prof adalah lebih matang daripada Haji Hadi yang masih bernostalgia. Dulu, Haji Hadi menggunakan label ‘barua’ kepada dua orang personaliti Pas untuk mengecilkan potensi mereka. Sekarang, personaliti ‘barua’ ini sudah bertukar menjadi arus yang popular, lalu Haji Hadi pula sekarang berusaha mengecilkannya dengan memberi label ‘nyamuk’. Adakah bila satu hari nanti arus ini menjadi gajah sekali pun, Haji Hadi akan terus berusaha mengecilkannya dengan memberi label ‘semut’ pula?

“Kita anggap ia (GHB) seperti nyamuk kecil, bukan cabaran besar. Pas pernah hadapi cabaran lebih besar pada tahun 80-an apabila presiden Pas keluar parti, diikuti lebih 10 pimpinan utama sehingga hanya tinggal seorang ahli parlimen ketika itu,” kata Haji Hadi.

Ya, selama ini semua pemberontakan terhadap Roma dan Parsi berjaya dihancurkan sekelip mata umpama menampar seekor nyamuk.

Apatah lagi umat Arab yang selama ini hanya menjadi barua Roma dan Parsi! Ini pandangan nostalgia status quo.

Penilaian Haji Hadi adalah bersifat nostalgia (menyamakan arus semasa dengan arus yang lepas) yang gagal mengambil kira potensi satu-satu parti yang baru dengan hanya mengaitkannya dengan arus semasa dan masa hadapan.

Saya akan menulis lagi tentang potensi ini tetapi saya sudahi dengan contoh ringkas. Kita tidak boleh bersifat nostalgia yang menyamakan arus 80-an dengan arus milenia baharu ini. Seorang pelajar berkulit Afrikan mempunyai impian untuk menjadi presiden negara. Rakan-rakannya gelak dan berkata, “Kamu siapa? Kamu keturunan hamba abdi. Selama lebih lima ratus tahun, presiden semua kulit orang putih. Tidak pernah pun seorang calon kulit Afrikan berjaya menang pilihan raya presiden.”

Pelajar ini ialah Barack Obama Bin Hussein, Presiden Amerika sekarang.
*Abdul Naser Tun Rahman Tokoh Pendakwah Perak

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger