Home » » Ketika PAS dekati Umno, Mustafa Ali sokong undi tak percaya Najib

Ketika PAS dekati Umno, Mustafa Ali sokong undi tak percaya Najib

Written By Wadah Baru on Rabu, 19 Ogos 2015 | 11:04 PG

Oleh ZULKIFLI SULONG

Datuk Mustafa Ali bersetuju agar PAS menyertai cadangan untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat walaupun parti Islam itu masih belum membincangkan perkara tersebut.

Pendirian pengarah pilihan raya PAS itu dilihat berbeza dengan pemimpin utama parti Islam itu yang kini dilihat lebih menyokong Najib.

"Secara peribadi saya setuju cadangan ini walaupun PAS belum bincang lagi," kata Mustafa kepada The Malaysian Insider.


Difahamkan terdapat usaha rancak untuk melobi ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang agar menyokong undi tidak percaya terhadap Najib berikutan pelbagai skandal yang melanda negara termasuk syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Pada Isnin, sebuah blog memaparkan 20 nama ahli Parlimen BN yang dikatakan menyokong usaha ini. Salah seorang daripada mereka sudah pun membuat laporan polis menafikannya.

"Saya ada dengar usaha ini tetapi PAS belum lagi terlibat. Ia bukan satu yang menyalahi peraturan dan undang-undang demokratik di Malaysia," kata Mustafa yang juga bekas setiausaha agung PAS itu.

Beliau yakin usaha ini boleh berjaya dengan syarat ia turut disertai ahli Parlimen BN dan bukan di kalangan pembangkang saja.

"Saya ada mendengar ramai ahli Parlimen BN turut tidak berpuas hati dengan perdana menteri yang ada. Pada saya, ia satu kemungkinan yang boleh berlaku," katanya.

Bulan lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan ahli Parlimen parti itu agar tidak menyokong usul undi tidak percaya jika diadakan di Dewan Rakyat bagi mendesak Najib meletakkan jawatan.

Katanya, mereka perlu akur jika tidak mahu tindakan tegas diambil, kerana PAS hanya akan melakukan perubahan melalui cara yang sihat, bukan dengan agenda melakukan perubahan politik secara tidak sihat yang boleh menghuru-harakan negara.

Ia kemudiannya disusuli dengan Najib yang memuji sikap Hadi yang berpegang pada prinsip seseorang itu tidak bersalah selagi belum dibuktikan bersalah dan Kabinet baharu perlu diberi peluang menyelesaikan masalah negara sebelum undi tidak percaya diusulkan.

Mustafa ketika bercakap dengan The Malaysian Insider, turut mengecam Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berkata terdapat usaha untuk menggulingkan kerajaan dan ia bercanggah dengan Perlembagaan.

"Zahid jangan angkuh sangat seolah-olah usaha untuk menukar kerajaan ini sama dengan 'kudeta' (coup dé tat atau rampasan kuasa) dan tidak demokratik.

"Ia bukan guling kerajaan. Ada beza antara menukar kerajaan secara demokratik dengan menggulingkan kerajaan seperti kudeta ini," kata Mustafa.

Beliau berkata, ada 4 cara menurunkan atau menggulingkan kerajaan dengan cara demokratik.
Ia boleh dilakukan melalui pilihan raya umum, melalui undi tidak percaya dalam Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri, melalui akuan bersumpah (SD) yang diperakui sultan di peringkat negeri atau agung di peringkat pusat dan melalui cara penolakan belanjawan negara yang dibentangkan.

"Jika bajet yang dibentangkan kerajaan ditolak majoriti ahli Dewan, perdana menteri yang ada perlu meletakkan jawatan.

"Semua ini proses demokrasi dan tidak boleh dianggap sesuatu yang bercanggah dengan amalan demokrasi. Ia pernah berlaku di negara ini dan di luar negara dalam sistem demokrasi," katanya.

Mustafa turut meminta Zahid dan kerajaan agar tidak bertindak kasar atau membuat ugutan dan ancaman terhadap mana-mana pihak yang mahu melaksanakannya melalui proses demokrasi.

Beliau juga yakin, parti politik yang ada di negara ini tidak setuju dengan pendekatan keganasan.
"Belum ada kes dan tak mungkin dilakukan rakyat negara ini dengan ciri-ciri masyarakat Malaysia yang ada.

"Ia bakal ditentang semua parti politik jika usaha menukar kerajaan secara kekerasan dibuat," katanya.

Zahid pada Ahad memberi amaran, sesiapa yang mempunyai rancangan menggulingkan BN dengan cara "pintu belakang" perlu melangkah mayat ahli Umno terlebih dulu.

Cakap-cakap mengenai wujudnya gerakan menentang pentadbiran yang diterajui Najib ketika ini muncul ketika perdana menteri itu tertekan untuk menjawab persoalan wang RM2.6 bilion yang disimpan dalam akaun peribadinya, dengan sejumlah besar diterima menjelang pilihan raya umum 2013.

Beliau juga didakwa terlibat dalam salah laku kewangan syarikat yang ditubuhkan hasil idea beliau, firma pelaburan negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB), yang menanggung hutang sebanyak RM42 bilion.

Pengkritik juga menuduh beliau cuba menutup salah laku itu dengan mengambil tindakan terhadap agensi penguatkuasaan undang-undang yang menyiasat firma itu.

Partinya sendiri, Umno juga berada dalam keadaan kacau terutama selepas beliau menggugurkan timbalan presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan naib presiden Datuk Seri Shafie Apdal daripada Kabinetnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger