Home » » Malaysia perlu polisi khas lindungi surirumah

Malaysia perlu polisi khas lindungi surirumah

Written By Wadah Baru on Sabtu, 15 Ogos 2015 | 2:14 PTG

Oleh : Hazayani Zakaria


SHAH Alam: Wanita Gerakan Harapan Baru (WGHB) konsisten dalam menuntut penggubalan polisi yang lebih mesra wanita di negara ini.

Ketuanya, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, golongan wanita yang merupakan 50 peratus undi negara berhak mendapat keistimewaan dan keselesaan dalam negara ini.

Memberi fokus kepada golongan surirumah, beliau mencadangkan golongan ini turut diberi peluang untuk mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai simpanan hari tua mereka.

Menurut beliau, surirumah merupakan golongan yang memberikan sumbangan yang besar kepada pembangunan keluarga dan negara.

"Dari segi produktiviti sesebuah negara, golongan wanita turut memberikan sumbangan yang besar.
"Tapi kita lihat hari ini hanya wanita-wanita yang bekerja makan gaji berpeluang membuat caruman caruman dalam KWSP atau Perkeso sedangkan golongan surirumah tidak mendapat manfaat berdasarkan sumbangan mereka terhadap negara.

"Kita perlu mewujudkan polisi yang melindungi surirumah kerana sumbangan mereka kepada pembangunan keluarga dan negara," kata beliau dalam forum 'mengasaskan politik Rahmatan Lil Alamin untuk Malaysia: Peranan ulamak, umarak dan ummah' di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, semalam.

Forum tersebut merupakan salah satu pengisian dalam program Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah (Nunji '15) yang dianjurkan GHB.

Ahli Parlimen Kota Raja itu turut menegaskan, sudah tiba masanya Malaysia memikirkan polisi-polisi yang benar-benar menjaga keselamatan wanita.

"Kita lihat di Jepun sebagai contoh, negara mereka sangat melindungi wanita daripada bahaya seperti gangguan seksual dan janayah lain.

"Dalam keadaan Malaysia yang kadar janayahnya semakin meningkat, amatlah wajar kerajaan menyediakan polisi khusus menjaga keselamatan wanita di mana-mana sahaja dan wanita juga harus konsisten memperjuangkan polisi yang melindungi mereka daripada kejadian jenayah," katanya lagi.
Selain itu, beliau turut menyeru penglibatan wanita dalam urusan membat dasar negara seperti yang diperjuangkan sebelum ini iaitu menuntut 30 peratus wanita dalam peringkat membuat dasar.

"Kita komited mahukan solusi agar wanita terlibat dalam peringkat pembuat dasar dan keputusan di pelbagai peringkat dengan tanggungjawab khusus mereka bagi memastikan semua keperluan dan kepentingan kaum wanita diambil kira sebaik mungkin," katanya.
‪#‎NUNJI15‬

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger