Home » » Perletakan Jawatan Dan Menyertai Harapan Baru

Perletakan Jawatan Dan Menyertai Harapan Baru

Written By Wadah Baru on Selasa, 25 Ogos 2015 | 2:58 PTG

Saya Omar Bakar secara rasmi meletakkan jawatan sebagai Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Batu
Gajah di dalam Mesyuarat Bulanannya semalam, 24 Ogos 2015.

Turut bersama meletakkan jawatan ialah Bendahari, Khairuddin Abdul Rahman; Penolong Setiausaha, Ahmad Fawwaz Afifi; dan empat ahli jawatankuasa iaitu Mahani Ishak, Shahrunnaem Salehuddin, Puziah Ahmad dan Mior Rosidi.

Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira keadaan semasa yang mendorong kepada tindakan yang sangat sukar ini dilakukan. Perjuangan PAS sudah sebati dengan diri serta kehidupan saya hatta oleh kerana komitmen saya kepada PAS sebelum ini menyebabkan saya dibuang daripada jawatan sebagai pegawai kerajaan iaitu guru.

Secara peribadi, tidak dapat tidak, saya tidak boleh melindungi rasa kekecewaan terhadap parti PAS namun saya memikirkan maslahat yang lebih penting iaitu merealisasikan hasrat rakyat dan menentang kezaliman yang berlaku pada hari ini.

Suasana dalaman bahtera PAS yang meletakkan Islam sebagai dasar perjuangannya terpaksa melalui gelombang ombak yang cukup besar.

Pertembungan dua kumpulan di dalam PAS tidak dapat dinafikan lagi dengan kata-kata walaupun ia sudah berlaku sekian lama tetapi perpecahan itu semakin membarah terutama menjelang Muktamar Tahunan PAS kali ke-61 baru-baru.

Tidak siapa boleh menafikan bahawa mempunyai perancangan untuk membuang pimpinan tertentu di dalam PAS hingga menggunakan platform dalaman parti bagi mencapai hasrat mereka.

Pelbagai label yang kurang enak oleh para pimpinan ditujukan kepada pimpinan tertentu dan seruan supaya pimpinan tertentu tidak disokong serta tidak diberi tempat di dalam parti.

Muktamar tempoh hari menatijahkan kejayaan terhadap hasrat besar itu, maka mereka yang tewas melalui cara yang tidak adil itu memikirkan satu wadah baru agar tidak mengganggu 'kesucian' parti itu.

Rentetan daripada itu maka terbentuklah satu gerakan dalam meneruskan perjuangan Islam melalui wadah politik oleh para pimpinan yang dituduh dengan pelbagai dakyah.

Saya melihat penubuhan Gerakan Harapan Baru satu rahmat daripada Allah dalam menghentikan persengketaan di dalam PAS yang mempunyai dua aliran pemikiran sebelum ini.

Biarlah dua aliran pemikiran ini bergerak dengan platform masing-masing dan berdoalah kedua-duanya akan memberikan manfaat dan rahmat kepada Islam.

Saya berharap ukhwah dan hubungan antara satu sama lain kekal seperti sedia kala dan menyeru agar tidak ada mana-mana pihak mengeluarkan sebarang hukum dan dakwaan terhadap keputusan yang dibuat ini.

Kita berjuang kerana Islam. Teruskan Perjuangan!

OMAR BAKAR
Mantan Naib Yang Dipertua PAS
Kawasan Batu Gajah
Penyelaras Harapan Baru Batu Gajah

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger