Home » , » Belum laksana hudud dah nampak syadid (keras) dalam isu baiah

Belum laksana hudud dah nampak syadid (keras) dalam isu baiah

Written By Wadah Baru on Jumaat, 4 September 2015 | 5:17 PTG

Oleh Mohamed Hanipa Maidin

1. Saya tidak bercadang untuk bahas tentang isu sama ada terjatuh atau tidak talak tiga berkaitan baiah yang dikatakan mengikat sahabat baik saya YB Dr Hatta Mohd Ramli. Cumanya yang jelas dalan isu ini , ia tidak melibatkan satu hukum sahaja kerana telah terdedah perbezaan pandangan ( ikhtilaf ) dalam isu ini.

2.Semacam menjadi satu trend dalam Pas, perbezaan pendapat bukan untuk dirai dan dilihat sebagai satu rahmah sebaliknya ia dilihat seolah olah satu musibah. Mereka seolah olah bermentaliti bahawa hanya dengan berpegang kepada pendapat yang syadid ( keras ) itulah sahaja cara mempertahankan Islam. Bukankah Al Syatibi dalam kitabnya Al 'Iqtisam menukilkan bahawa Khalifah Umar Abd Aziz menyatakan " Aku tidak suka sahabat sahabat Muhammad s.a.w tidak berbeza pendapat, jika hanya ada satu sahaja pendapat sudah pasti orang ramai akan berada dalam kesempitan atau kesusahan".

3.Dengan tidak dinafikan di dalam Islam memang wujud perkara perkara yang termasuk dalam daerah atau lingkungan thawabit ( perkara yang tetap melibatkan hukum yang tidak berubah ) namun perimeter linkungan perkara perkara mutaghayyirat ( melibatkan perkara perkara yang tidak tetap dan hukumnya tidak bersifat qati'e( decisive ) ) adalah lebih luas daripada perkara perkara thawabit. Apabila sesuatu perkara itu berupaya untuk menerima pelbagai hukum maka bagaimanakah kita boleh menangani perkara tersebut seolah seolah hanya satu hukum sahaja yang wajib dipegang!!!

4.Menurut 'allamah Ibnu 'Asyur memandangkan Islam adalah deen al fitri ( agama fitrah ) maka Islam itu adalah agama yang mudah dan sederhana kerana fitrah manusia itu sendiri cenderung suka kepada perkara perkara yang mudah. Sebab itulah dalam hadith Bukhari yang diriwayatkan oleh Abu Mas'ud Al Ansori apabila ada insan yang menjadi Imam dan membaca surah yang panjang dalam solat jemaah sehingga mengakibatkan wujudnya aduan dari makmum kepada Rasulullah s.a.w. Rasullullah s.a.w menunjukkan kemarahan yang amat sangat terhadap perkara itu dan Rasulullah s.a.w menyatakan " wahai manusia ada di kalangan kamu Munaffirun" ( mereka yang melarikan atau menjauhkan orang daripada agama ). Rasionalnya di belakang imam itu ada makmum yang sakit, yang lemah, yang tua dan yang mempunyai hajat, maka sebab itu hendaklah diringankan solat itu.

5.Melihat sikap sesetengah pemimpin Pas dan Mufti Kelantan yang seolah olah ingin sangat melihat penceraian meskipun di sana wujudnya perbezaan pendapat dalam isu yang sama , saya terfikir bagaimanakah orang ramai akan yakin undang undang jenayah hudud yang ingin dilaksanakan di Kelantan benar benar tidak bersifat menghukum semata mata.

6. Jika dalam hudud adalah lebih sukar untuk seseorang yang dituduh untuk disabitkan jauh sekali dikenakan hukuman kerana prinsip perundangan Islam yang menyukarkan pendakwa membukti kesalahan dan mensabitkan kesalahan , nampaknya itu semua hanya perhiasan di bibir semata mata.

7. Melihat reaksi setengah golongan agama dalam menangani isu baiah ini , persepsi yang wujud di kalangan orang ramai adalah golongan agama lebih cenderung menghukum dari mencari jalan keluar ( excuses ) bagi seseorang itu dimaafkan dan dilepaskan dari hukuman. Kisah sahabat Mais yang terpaksa mengaku empat kali berzina sebelum dijatuhi hukum hadd sepatutnya ditonjolkan betapa Rasulullah s.a.w berusaha mencari jalan agar seseorang hatta pesalah yang mengaku jenayahnya dilepas dari dihukum dan bukan mencari jalan dengan apa cara sekalipun untuk seseorang itu dihukum.

6.Amat tepat kata kata Allamah Iqbal "Al Islam mahjubun bil muslimin" ( Islam yang indah itu dihijab oleh amalan orang Islam sendiri )

Wallahu a'lam

Mohamed Hanipa Maidin
Ahli Parlimen Sepang

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger