Home » » Isu Bai'ah Takliq Tiga

Isu Bai'ah Takliq Tiga

Written By Wadah Baru on Jumaat, 4 September 2015 | 5:13 PTG

Oleh Fadhlina Binti Dato' Siddiq

HELWA ABIM memandang serius isu bai’ah serta takliq talak tiga yang menjadi pertaruhan politik semasa. Kebimbangan ini bersifat "vital" kerana ia melibatkan isu status perkahwinan dan beberapa hukum yang terkait dengan kesahihan baiah tersebut termasuk isu kaffarah sumpah dan implikasi lafaz takliq.

Oleh yang demikian, HELWA ABIM berpandangan bahawa perbalahan serta polemik perdebatan tentang isu ini mesti segera dihentikan bagi memberi peluang kepada pihak-pihak yang terlibat merujuk kepada pihak yang lebih berautoriti termasuk rujukan ke Mahkamah Syariah dan Jabatan Mufti.

Dalam masa yang sama, HELWA ABIM mengutuk sekeras-kerasnya tindakan meletakkan lafaz takliq bagi maksud menceraikan isteri dengan talak tiga sebagai pertaruhan dalam politik. Sewajarnya perkara berkaitan lafaz takliq perceraian ini tidak seharusnya menjadi pertaruhan dalam politik kerana ia melibatkan maruah isteri yang seolah-olah dipermainkan akibat kerakusan politik kuasa.

Tindakan ini sangat mengaibkan dan boleh menjatuhkan maruah wanita yang bergelar isteri serta memberi kesan terhadap keharmonian rumahtangga keseluruhannya apatah lagi jika lafaz tersebut disabitkan oleh Mahkamah Syariah sebagai sah dan jatuh talak.

Helwa ABIM juga menyeru agar semua pihak berhenti membuat kenyataan balas berkaitan hukum kesahihan lafaz tersebut bagi mengelakkan kemudharatan dan kekeliruan kefahaman masyarakat awam . Pihak HELWA ABIM juga menawarkan sesi pencerahan isu hukum-hakam dan perundangan kepada orang awam yang mahukan penjelasan tentang isu ini dengan lebih lanjut dan bantuan guaman syariah untuk mewakili pihak-pihak yang terlibat untuk menyelesaikan isu tersebut ke Mahkamah Syariah.

Fadhlina Binti Dato' Siddiq
Naib Presiden ABIM (HELWA)

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger