Oleh Ustaz Ahmad Awang
Kewujudan baiah sumpah taklik cerai talaq tiga bagi calon-calon PAS dalam pilihan raya umum yang lalu adalah suatu yang misteri. Pimpinan pusat PAS berkali-kali menafikan wujudnya baiah tersebut sejak 2009 lagi.
Terbaru
tiga hari yang lalu setiausaha Majlis Syura Ulama (MSU) PAS Datuk Nik
Zawawi Salleh menegaskan bahawa mereka tidak pernah meluluskan baiah
sumpah taklik cerai talaq tiga itu.
Ini bererti PAS Kelantan tidak
mematuhi keputusan MSU sekiranya benar baiah tersebut di kenakan ke
atas wakil-wakil rakyat PAS di negeri tersebut.
Ini bermakna baiah sumpah baiah taklik talaq tiga tidak diperakui oleh ulama PAS sendiri.
Dan dengan sendirinya tindakan PAS Kelantan itu adalah bukti tidak walaknya mereka kepada kepimpinan ulama.
Maka tidaklah sepatutnya isu tersebut dibangkitkan oleh pimpinan PAS Kelantan khasnya apatah lagi pimpinan Pusat PAS amnya.
Kesungguhan
sesetengah pemimpin PAS yang begitu ghairah mahu meruntuhkan
rumahtangga di kalangan wakil-wakil rakyat PAS Kelantan yang kini
bersama Parti Amanah Negara (AMANAH) menimbulkan kehairanan besar di
kalangan masyarakat umum.
Seolah-olah mahu dipisahkan semua
wakil-wakil rakyat ini dengan pasangan masing-masing tanpa sedikit pun
ingin melihat hujah dan pandangan ahli fekah yang memberi jalan keluar
kepada persoalan hukum menghiasi dada-dada media.
Tidaklah
dinafikan adanya pendapat ahli fekah yang menghukumkan jatuh talaq
dengan sumpah taklik oleh suami terhadap isterinya, tetapi ia tidak ada
kena mengena dengan sifat taklik dalam baiah politik seperti yang
dilakukan oleh PAS.
Lebih menyedihkan apabila mereka yang
bersungguh-sungguh ini seakan-akan mahu membalas dendam dan ‘gembira’
melihat rumahtangga sahabat yang dahulunya berjuang dalam PAS, runtuh
dan musnah.
Seakan-akan tiada ruang untuk hujah menyelamatkan rumahtangga ini dikedepankan.
Islam
diwajahkan dengan pandangan yang cukup jelek seolah-olah politik
kepartian Islam ini kerjanya mencerai-berai rumahtangga orang
semata-mata dengan cuba menjadikan perjuangan politik Islam sebagai
alasan untuk mewajarkannya.
Institusi keluarga
Institusi
keluarga merupakan entiti penting dalam pembentukan sesebuah masyarakat
dan negara, bahkan terhormat dan mulia kedudukannya di sisi Islam.
Melindungi
keluarga termasuk dalam kategori melindungi kehormatan dan zuriat
keturunan yang merupakan salah satu daripada maqasid (tujuan-tujuan)
syariah yang lima perkara.
Jelas bahawa keutuhan integriti keluarga merupakan sesuatu yang dilindungi dalam syariat Islam.
Walaupun
perceraian antara suami isteri dibolehkan dalam Islam tapi itu adalah
perkara yang hanya wajar dilakukan dalam suasana yang amat mendesak dan
tidak ada jalan keluar yang lain untuk mengatasi masalah rumahtangga.
Bahkan
dalam masalah perbuatan ilaa’ atau bersumpah tidak menyetubuhi isteri
dalam tempoh lebih empat bulan pun jelas kesukaan Allah terhadap
pernikahan berbanding penceraian.
Allah S.W.T berfirman (Al-Baqarah, 226-227):
“...kemudian jika mereka kembali (kepada isterinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.
Dan pada waktu mereka berniat memilih talak, maka Allah berfirman:
“Dan jika mereka berazam (untuk) talak, maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.
Syeikh Muhammad Shalih Al-Utsaimin menyebut dalam Durus wa Fatawa Haramul Makki:
“Ini menunjukkan bahawa Allah tidak suka terhadap orang yang memilih jalan talak daripada kembali menyambung tali pernikahan.”
Bahkan Rasulullah SAW sendiri menganggap orang yang menjatuhkan talaq tiga sekaligus adalah mempermain-mainkan kitab Allah.
“An-Nasai
meriwayatkan dari Mahmud bin Labid: Bahawa ada seorang memberitahu
kepada Rasulullah bahawa ada orang yang menceraikan isterinya dengan
talak tiga sekali gus. Baginda bangkit dengan berang seraya berkata:
Apakah ada yang berani mempermain-mainkan kitab Allah sedangkan aku
masih hidup di kalangan kamu? Kemudian seorang bangun dan berkata di
hadapan Rasulullah: Biar aku bunuh dia wahai Rasulullah?”
Walaupun
akhirnya sahabat itu tidak dibenarkan meneruskan hasratnya untuk
membunuh pihak yang menjatuhkan talak, peristiwa ini menunjukkan bahawa
soal hubungan suami isteri dan keluarga sesuatu yang tidak wajar
dihubungkaitkan dengan sebarang kepentingan politik kepartian.
Ini demi menjaga keutuhan dan nama baik keluarga itu sendiri.
Allah berfirman dalam surah Al Maidah ayat 89:
“Allah
tidak menghukum kamu lantaran sumpah-sumpah yang kamu lafazkan secara
tidak sengaja, tetapi Dia menghukum kamu lantaran sumpah yang kamu
sengajakan. Bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin
daripada jenis makanan yang biasa kamu berikan kepada keluarga kamu atau
memberi pakaian untuk mereka atau memerdekakan seorang hamba.
"Sesiapa
yang tidak berupaya untuk melunaskan denda tersebut, maka dia hendaklah
berpuasa selama tiga hari. Ini sebagai denda penebus sumpah kamu
apabila kamu terlanjur bersumpah. Oleh itu, berhati-hatilah apabila
bersumpah. Demikianlah Allah menerangkan titah perintah-Nya kepada kamu
supaya kamu bersyukur.”
Umat Islam dituntut agar berhati-hati
berkaitan dengan sumpah ini dan tidak bermudah-mudah mengheret institusi
dan kehormatan keluarga dalam pertarungan politik kepartian.
Maksud firman-Nya: “Jagalah dan berhati-hatilah terhadap amalan sumpah di kalangan kamu.”
Dengan perkataan lain, jangan mempermudah dan memperbanyak sumpah dalam budaya hidup kamu.
Dalam sumpah laknat, rahmat Allah mengatasi kemurkaan-Nya, sesuai dengan perutusan Islam itu sebagai Rahmat untuk seluruh alam.
Bermohon istighfarlah dengan Allah.
Sungguhpun
mungkin si pelafaz sumpah telah memohon kecelakaan dan laknat terhadap
dirinya, namun Allah bukan Tuhan yang suka-suka hendak menurunkan laknat
kerana Dia Tuhan Yang Maha Mengasihani.
Allah Maha Mengetahui
bahawa sumpah itu bukanlah niat sebenar bagi calon itu melainkan
hanyalah tatacara yang dipaksakan ke atasnya oleh partinya yang mahu
memastikan calon itu patuh kepada parti berkenaan dan tidak melompat
kepada parti lawan (Umno-BN).
Allah Tuhan yang Maha Pengasih dan
Penyayang sama sekali tidak tunduk kepada kebencian dan kegeraman
manusia pendendam yang mendoakan keburukan kepada orang yang hanya
berbeza pendapat atau yang memasuki wadah politik Islam yang lain.
Apatah
lagi si pelafaz sumpah berkenaan masih komited terhadap perjuangan
Islam dengan wadah yang baru, bukanya melompat kepada parti lawan yang
di maksudkan ketika melafazkan sumpah baiah dahulunya.
Realiti kerosakan masyarakat
Realitinya
ketika ini, memang terdapat kerosakan masyarakat yang parah; rasuah
dibudayakan demi memenangi tampuk kuasa dan pilihan raya.
Malah
ada kerajaan yang sedia berkuasa di sesebuah negara lumrah membeli calon
dan pemimpin dengan mengajukan rasuah bernilai jutaan ringgit.
Sehingga
– dengan sebab itu – ada parti politik yang terlanjur melibatkan
institusi keluarga untuk menjamin kesungguhan dan integriti calon
mereka; agar tidak mudah dipujuk dan dibeli.
Mereka mengadakan
semacam sumpah hingga mentaklikkan cerai isteri; baik satu atau tiga
sekali gus dengan tindakan politik tertentu oleh penutur sumpah itu
sendiri.
Amalan politik mempertaruhkan rumahtangga calon sememangnya tidak dapat diterima oleh masyarakat yang bertamadun.
Ia merupakan ciri warisan masyarakat jahiliah.
Kerana itu PAS sendiri melakukannya dalam keadaan misteri dan menyembunyikan amalan yang boleh mengaibkan imej parti.
AHMAD AWANG penasihat umum AMANAH.
Ghairahnya mahu runtuhkan rumahtangga orang
Written By Wadah Baru on Khamis, 10 September 2015 | 12:06 PG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan