Home » , » Hadi, pemimpin PAS ‘hilang saudara’ kerana Amanah

Hadi, pemimpin PAS ‘hilang saudara’ kerana Amanah

Written By Wadah Baru on Rabu, 30 September 2015 | 3:54 PTG

OLEH MOHD FARHAN DARWIS 

Tindakan pemimpin progresif dalam PAS meninggalkan parti itu dan menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah) mengakibatkan perpecahan bukan saja di kalangan ahli dan pemimpinnya bahkan juga ahli keluarga pimpinan utama PAS, termasuk presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Hadi yang berpangkalan di Rusila, Marang, Terengganu kehilangan keluarganya apabila anak saudara di sebelah isterinya, Miqdad Zakaria, dilantik sebagai ketua Amanah kawasan Marang.
Pada 19 September, Miqdad bersama ahli jawatankuasa Amanah Marang melancarkan program pertama mereka pada majlis pembukaan pejabat di Wakaf Dua iaitu kawasan penempatan campuran antara Melayu dan Cina dalam kawasan Marang.

"Saya buat ini atas dasar sayang kepada rakan seagama sebab saya lihat menjadi satu kesilapan daripada segi akidah apabila ditanam seolah-olah PAS ini agama," kata Miqdad . Rumah Miqdad hanya 200 meter saja dari Masjid Rusila dan juga rumah Hadi. Sejak sekian lama beliau adalah ahli jemaah masjid itu dan kekal hingga sekarang.

Namun Miqdad terpaksa membayar harga yang mahal dengan keputusannya menerima pelantikan sebagai ketua Amanah Marang, kawasan Parlimen yang diwakili Hadi, apabila beliau diboikot penyokong PAS di tempat tinggalnya sendiri.

"Saya akan hadapi semuanya walaupun pelbagai perkara dilakukan mereka (penyokong dan ahli PAS).

"Saya diboikot mereka, salam saya tidak berjawab, 24 surau dan masjid yang selama ini saya dijemput untuk memberikan kuliah sudah berhenti berbuat demikian," cerita Miqdad yang belajar di Universiti Al Azhar sebelum ini.

Apa yang dialami Miqdad boleh difahami logiknya kerana Rusila adalah kubu PAS sejak dulu.
Hadi, yang memberikan kuliah mingguan di Masjid Rusila sejak 1980-an, dalam kenyataannya sebelum ini menyifatkan mereka yang menyertai Amanah adalah pengkhianat dan tidak akan bekerjasama dengan mereka.

Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, pihaknya menyedari penyertaan Miqdad yang mempunyai pertalian darah dengan Hadi.

"Saya maklum penyertaan beliau, tetapi saya tidak pasti beliau merupakan anak saudara Hadi, ataupun anak saudara isteri Hadi.

"Sepatutnya tidak menjadi isu kerana mereka sertai Amanah atau mana-mana parti dengan kerelaan masing-masing," katanya.

Beliau turut mengakui mempunyai saudara mara yang merupakan ahli PAS dan Umno.
"Sesiapa pun yang menyertai Amanah adalah atas kepercayan mereka terhadap parti.

"Ada juga ibu dan bapa yang sertai Amanah, tetapi anak mereka masih mahu bersama PAS, itu tidak menjadi isu," katanya.

Apa yang dialami Hadi, sama seperti Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Datuk Nik Zawawi Salleh apabila adiknya, Saberi Salleh sendiri turut menyokong Amanah.

Saberi yang kini tinggal di Pasir Puteh, Kelantan juga menjadi penggerak utama penentangan terhadap kepimpinan PAS sejak penubuhan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia atau PasMa, kemudiannya Gerakan Harapan Baru (GHB) dan kini Amanah.

Di Bachok, Kelantan anak dan cucu bekas yang dipertua PAS Bachok allahyarham Datuk Omar Muhamad juga menjadi penggerak utama Amanah kawasan itu.

Khairudin Omar, anak bekas speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan itu kini ketua Amanah Bachok manakala anak beliau yang juga cucu Omar, Syahidulamri Khairudin ketua Pemuda Amanah Bachok.

PAS kini berpecah kepada 2 dengan kelahiran Amanah. Ketika pelancarannya 16 September lalu, Kelantan menjadi penyumbang ahlinya yang paling ramai iaitu 8,000 daripada kira-kira 30,000 ahli Amanah yang berdaftar ketika itu.

Menjelang hujung tahun ini, Amanah mensasarkan keahliannya seramai 100,000 orang yang majoritinya bekas ahli PAS.

Amanah dalam kempennya terus mahu menyebarkan kasih sayang dengan taglinenya Amanah Sayang Semua, tetapi sukar bagi PAS menerimanya kerana bagi mereka Amanah adalah pengkhianat perjuangan mereka. - TMI

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger