Home » , » Keperluan tubuh Pakatan Harapan dengan segera

Keperluan tubuh Pakatan Harapan dengan segera

Written By Wadah Baru on Rabu, 30 September 2015 | 3:56 PTG

Oleh Khalid Samad 

Ada yang bertanya, “Kenapa tergesa-gesa sangat dengan penubuhan Pakatan Harapan (PH)?” Mereka hairan dengan keinginan untuk menubuhkan PH secepat mungkin dan dengan segera. Namun saya pula sebenarnya hairan dengan kehairanan mereka! Tidakkah sesuatu yang baik apabila ia hilang atau tercicir, maka semestinya kita akan berusaha supaya kita dapat kembali dan dengan seberapa segera?

Kesan pecahnya PR
 
Tidakkah mereka sedar berpecahnya PR menggugat kedudukan parti pembangkang dan mengurangkan keberkesanannya? Tanpa adanya satu gabungan parti pembangkang kukuh, yang bergerak sebagai satu, maka rakyat akan hilang keyakinan terhadap kemampuan pembangkang menggantikan BN. Itulah sebabnya BN bersusah-payah berusaha memecahkan PR dengan mengumpan PAS dengan isu hudud? Ia dilakukan atas sebab keberkesanan sebagai satu gabungan yang mantap sehingga BN merasa amat tercabar?

Sedangkan isu hudud ditentang Umno sekian lama dan tawaran untuk melaksananya mendatangkan risiko terhadap hubungan Umno dan BN itu sendiri! Namun mereka sanggup menghadapi risiko itu atas sebab ingin memecahkan PR! Maka apabila PR berpecah, setiap parti bagaikan bergerak bersendirian tanpa penyelarasan yang rapat dan mantap. Penyelarasan dalam strategi bertindak tidak lagi dapat dilakukan dan begitu juga persoalan pendirian bersama terhadap isu semasa. Maka daripada keadaan bagaikan 3 orang mendayung sebuah sampan yang menjadi setiap orang mendayung seorang diri. Sudah pasti mendayung seorang diri tidak akan lebih efisien berbanding 3 orang mendayung satu sampan bersama dengan koordinasi yang mantap.

Oleh itu keperluan untuk membentuk kembali sebuah pakatan yang sanggup bersama atas asas seperti yang dipersetujui dulu adalah amat penting. Keadaan berpisah bukan saja menjadikan pakatan kurang berkesan, ia menambahkan lagi perbalahan kerana tidak lagi bertemu dan berbincang. Lagi lama berpisah, maka lagi lebar jurang pemisahan. Dilebarkan melalui kata nista dan tohmahan yang terus dilemparkan antara satu sama lain.

Amanah bersama usaha menubuhkan kembali pakatan parti pembangkang
 
Maka apabila ketua pembangkang menjemput Amanah ke sidang meja bulat untuk mewujudkan kembali satu pakatan parti pembangkang seperti PR sebelum ini, maka kami terus bersetuju untuk hadir. Kami faham dengan itu perancangan Umno/BN untuk memisahkan pembangkang dan melaga-lagakannya akan dapat digagalkan. Amanah juga memahami itulah tanggungjawab dan kewajipan sebagai wadah gerakan Islam yang bergiat di dalam arena politik negara iaitu untuk menyelamatkan Negara dari terus dirosakkan Umno/BN. Hanya yang tidak melihat kepada keperluan untuk menjatuhkan BN akan memandang sepi jemputan ini.

Amanah turut memahami tiada mana-mana satu parti akan mampu untuk memerintah Malaysia secara sendiri. Oleh itu pembentukan pakatan ini penting supaya rakyat melihat kemampuan bersatu dengan mengetepikan perbezaan demi mengutamakan kepentingan rakyat yang sangat mendesak.
Bagi yang menganggap ia suatu yang boleh dilengah-lengahkan, mungkin mereka tidak memahami bagaimana dengan berlalunya setiap hari tanpa adanya satu pakatan pembangkang yang kukuh, rakyat semakin hilang keyakinan terhadap kemampuannya untuk memimpin negara. Kalau sesama sendiri pun tidak mampu menentukan keutamaan dan mengetepikan perbezaan, demi kepentingan rakyat, bagaimana pula mampu memerintah, ujar mereka! Apatah lagi apabila setiap hari diisi kutukan dan tohmahan terhadap satu sama lain.

Penubuhan pakatan parti pembangkang dipermudahkan
 
Sebenarnya menubuhkan pakatan baharu amat mudah kerana semua saling mengenali dan kerangka asal PR masih boleh digunakan sebagai asas pergabungan. PR telah bersama sejak 2008 dan saling memahami sikap dan pendirian masing-masing. Pada masa yang sama mekanisme mengurus perbezaan telah pun diguna pakai dan terbukti keberkesanannya. Kegagalan mekanisme ini untuk menyelamatkan PR bukan atas sebab mekanisme itu tidak baik, tetapi atas sebab ia tidak digunakan.

Ia tidak digunakan kerana ada yang termakan umpan Umno dan tidak mahu pertikaikan ‘keikhlasan’ Umno.

Prinsip dan mekanisme ‘kerangka dasar dipersetujui bersama’ serta ‘setuju untuk tidak bersetuju’ terhadap dasar lain yang diperjuangkan parti masing-masing, adalah corak pengurusan ‘politik gabungan’ yang amat berkesan. Namun ia hanya berkesan sekiranya ianya difahami dan diamalkan secara ikhlas dan jujur. Wujudnya prinsip dan mekanisme ini membawa erti sebagai satu pakatan harus bergerak bersama memperjuangkan perlaksanaan segala dasar yang dipersetujui bersama dan ini seharusnya merupakan tumpuan yang patut diberikan.

Pada masa sama apabila timbul isu yang tidak terdapat dalam kerangka tersebut, maka setiap parti berhak menyatakan pendirian yang berbeza. Ini bermakna bahawa dalam isu yang tidak terdapat dalam ‘kerangka dasar dipersetujui bersama’, maka boleh berbeza pandangan sambil saling menghormati hak masing-masing untuk berpegang pada pandangan masing-masing.

Sebagai contoh, dalam isu hudud, tiada masalah bagi PAS menyambut tawaran Umno berhubung perlaksanaannya, tetapi tiada masalah juga bagi DAP menolaknya. Itulah yang dimaksudkan ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’. Dalam keadaan itu maka masing-masing perlu saling menghormati hak masing-masing untuk berbeza pandangan dalam soal yang tidak dipersetujui bersama, tanpa saling menyerang dan mencaci satu sama lain. Pada masa yang sama isu itu perlu dibincang bersama mengenai cara bagaimana menguruskannya. Perbincangan ini perlu dilakukan secara bersemuka, bukan melalui media musuh yang sentiasa ingin mengadu-domba antara satu sama lain. Itu sekiranya memang ikhlas dan jujur untuk mengekalkan gabungan tersebut.

Amanah memahami dan menerima kedua-dua prinsip dan mekanisme ini dan oleh itu sentiasa bersedia untuk menyertai gabungan parti pembangkang apabila sahaja ianya ditubuhkan.

Tuduhan PAS dipinggirkan
 
Ada yang mendakwa PAS dipinggirkan apabila sidang meja bulat ini diadakan. Saya hairan dengan tuduhan itu. Bagi saya amat jelas PAS dijemput berkali-kali. Tetapi PAS yang memilih untuk tidak hadir setiap kali. Dalam erti-kata lain, PAS bukan dipinggirkan tetapi memilih untuk meminggirkan diri.

Kononnya peminggiran PAS dilakukan apabila diadakan sidang meja bulat ini dalam keadaan tergesa-gesa. PAS masih belum bersedia dan kita harus tunggu sehingga PAS bersedia, kononnya. Sebenarnya pintu untuk PAS menyertai PH ini sentiasa terbuka. Apabila PAS sudah bersedia mereka boleh menyertai PH bila-bila masa.

Persoalannya, adakah PH perlu menunggu sehingga PAS sudah bersedia sebelum membina balik apa yang telah berjaya dirobohkan Umno? Sudah pasti ‘tidak’!

Apa akan berlaku sekiranya PAS terus terpedaya dengan tipu helah Umno sehingga terus menganggap Umno adalah rakan yang lebih baik baginya berbanding PH? Atau terpedaya dengan ‘kehebatan sendiri’ sehingga menganggap tidak perlu untuk bergabung dengan parti lain? Bagi saya, PH perlu terus dengan tugasnya dan diusahakan supaya PAS bersama akhirnya. Insya-Allah PAS akan mengingati kembali Umno merupakan punca umat Islam dan Melayu keliru berhubung tuntutan Islam.

Dakwaan NGO membantah penubuhan PH
 
Berdasarkan laporan NST ada pihak membuat bermacam-macam andaian. Mungkin kerana prinsip “boleh bertahaluf dengan lawan” maka pandangan terhadap media mereka semakin lunak. Oleh itu laporan media mereka dipegang dengan kuatnya. Maka dianggap benar dakwaan Datuk Ambiga ‘walk out’ sidang meja bulat sebagai tanda bantahan. Kononnya Maria Chin juga begitu. Sebenarnya laporan tersebut hampir semuanya tidak tepat!

Benar Ambiga tidak setuju dengan penubuhan PH secara tergesa-gesa. Tetapi beliau mengemukakan pandangannya dan menyerahkan tindakan selanjutnya kepada pihak yang ingin membentuk gabungan itu, iaitu parti politik pembangkang yang terlibat. Beliau bertanya mengenai ketidakhadiran PAS dan mengapa PSM tidak dijemput. Tiada pujian kepada PAS yang melambung-lambung seperti yang digambarkan. Beliau seterusnya meninggalkan sidang tersebut apabila sesi perbincangan bersama NGO tamat dan sesi perbincangan bersama parti politik yang terlibat dimulakan. Pihak NGO dibenarkan hadir sesi kedua ini tetapi hanya sebagai pemerhati.

Maria tidak meninggalkan sidang tersebut bersama Ambiga dan hadir bersama sehingga selesai. Begitu juga wakil NGO lain seperti Abim, Ikram, Syura dan lain-lain.

Mengapa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri?
 
Ada yang pertikai kenyataan yang dikeluarkan PH mengisytiharkan Anwar sebagai calon perdana menterinya. Ada yang tanya, kenapa Anwar?

Hakikatnya Anwar adalah pemimpin yang digeruni Umno/BN dan atas sebab itulah beliau terus difitnah dan dipenjarakan. Tiada yang boleh menafikan peranan Anwar dalam membina Barisan Alternatif pada awalnya dan Pakatan Rakyat kemudiannya. Atas kepimpinan beliau, PR menggegarkan kerajaan BN dan berada diambang kemenangan. Segala sumbangan beliau dihargai dan kemampuan beliau diakui.

Pada masa yang sama adalah merupakan satu kezaliman terhadap Anwar sekiranya setelah beliau melakukan segala itu dan difitnah serta dizalimi oleh kerananya; maka dibenarkan rakyat dan negara melupainya. Adalah perlu menonjolkan namanya sebagai calon perdana menteri dan mengingatkan rakyat beliau difitnah dan dipenjara kerana ingin membela rakyat dan menyelamatkan negara.

Bagi yang sedang selesa bersama keluarga mereka, di dalam istana mereka atau kereta mewah mereka, yang tidak pernah mengalami kesusahan dalam memperjuangkan hak rakyat dan tidak pernah difitnah dan dipenjarakan kerananya; maka mereka seharusnya bertanya kelayakan diri sendiri sebelum layak bertanya, “sudah tiada orang lainkah?”.
Kesimpulan
 
Maka tertubuhnya PH adalah dengan tujuan untuk menggantikan PR yang “tidak lagi berfungsi secara rasminya” atau dalam erti-kata yang lain, sudah terkubur. Atas keberanian dan kemampuan ketua pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail melakukannya saya ucapkan tahniah dan syabas!

Adalah menjadi harapan agar semua parti pembangkang dan rakyat jelata akan bersama dalam usaha menjatuhkan kerajaan BN dalam PRU ke 14 yang bakal dihadapi. Sejauh mana komitmen sesebuah parti politik terhadap usaha menjatuhkan Umno/BN akan terbukti dalam masa sebulan dua ini. Sekiranya semua komited, maka semua pihak akan bersama.

Sekiranya terdapat agenda lain yang tersembunyi, maka mungkin ini tidak dapat direalisasikan. Dalam keadaan itu, adalah lebih baik bagi pandangan saya, agar tidak bersama. Sekiranya bersama, dalam keadaan mempunyai agenda lain yang ingin dicapai, maka adalah tidak jelas siapa yang dianggap kawan dan siapa lawan. Ini adalah demi mengelakkan agar semua parti komponen PH tidak lebih sibuk menyerang sesama sendiri daripada menyerang musuh bersama.

Semoga Allah mempermudah dan meredai usaha ini.
 * Penulis ialah ahli Parlimen Shah Alam

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger