Home » , » Husam dakwa syarikat swasta kaut untung balak Kelantan

Husam dakwa syarikat swasta kaut untung balak Kelantan

Written By Wadah Baru on Rabu, 30 September 2015 | 3:50 PTG

Ahli Dewan Undangan Negeri Salor Datuk Husam Musa mempersoalkan urus niaga tebangan balak oleh Kompleks Perkayuan Kelantan Berhad (KPK) yang memberi keuntungan sebanyak RM2.7 juta setahun kepada syarikat swasta, Souncern.

Bekas naib presiden PAS itu berkata, amat tidak munasabah apabila syarikat swasta terbabit mendapat keuntungan begitu besar sedangkan KPK sendiri hanya menerima bayaran sebanyak RM1,372.70 dalam tempoh 10 tahun.

Beliau mendakwa, keuntungan bersih yang patut diterima KPK ialah antara RM8 juta dan RM12 juta setahun dengan mengambil kira kawasan penebangan agensi itu yang mempunyai 8 hingga 12 tan balak seekar.


Katanya, jika mengikut harga pasaran, untung bersih bagi setiap tan balak tidak kurang daripada RM500 setan. "Bagi tempoh 10 tahun (20,000 ekar) keuntungan yang patut dijana adalah antara RM80 juta dan RM 120 juta.

"Sedangkan mengikut kertas cadangan Souncern yang dibentangkan dalam mesyuarat lembaga pengarah KPK pada Disember 2014, bayaran bersih seekar yang akan dibayar kepada KPK hanya RM1,372.70 saja.

"Adakah munasabah kawasan KPK hanya mempunyai kurang 3 tan seekar," soal bekas exco kerajaan negeri Kelantan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Husam berkata, mengikut kertas cadangan Souncern tersebut, syarikat milik Sern Kou Berhad yang tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur itu mencadangkan KPK memeterai perjanjian untuk tempoh 10 tahun yang melibatkan kawasan 20,000 ekar.

Mengikut perjanjian itu, keuntungan yang dijanjikan bagi tempoh 10 tahun hanya RM27.4 juta.
"Berasaskan perkiraan ini, KPK akan mengalami kerugian keuntungan antara RM52 juta dan RM92 juta bagi tempoh 10 tahun. Ini tidak termasuk 30% keuntungan tambahan yang dijanjikan kerana diragui ia boleh terjadi atau tidak.

"Ini belum mengambil kira kemungkinan pengeluaran sebenar adalah lebih besar, kayu yang dikeluarkan bermutu tinggi dan harga kayu akan meningkat pada masa akan datang," katanya.

- themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger