Home » , » 'Ini antara kami, Allah'

'Ini antara kami, Allah'

Written By Wadah Baru on Sabtu, 5 September 2015 | 2:14 PTG

Oleh Shakira Buang

 Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menganggap cara beliau menguruskan isu baiah adalah urusannya dengan Allah dan meminta pemimpin PAS tidak masuk campur.

Kata Khalid, beliau melakukan kafarah selepas berpuas hati ia dibenarkan syarak dan peruntukan mengenainya terkandung dalam al-Quran.

"Ada ahli parlimen yang tidak tunaikan tanggungjawab mereka walaupun tak keluar parti. Bagi saya, kami (wakil rakyat yang menyertai Parti Amanah Nasional) telah menunaikan tanggungjawab kami. Kami tidak khianat (malah) kami tetap dalam landasan Islam dan Pakatan Rakyat," tegas Khalid kepada media di Shah Alam malam tadi.

Terdahulu Khalid meraikan lebih 40 penduduk dari kawasan parlimen Shah Alam dengan hidangan kari kambing, ayam masak merah, acar timun dan teh tarik, selain sumbangan wang tunai.
Ia adalah bentuk kafarah (tebus sumpah) yang dilakukan Khalid kerana 'melanggar baiah' yang diucapkan sebelum menjadi calon pilihan raya PAS sebelum ini.

PAS menetapkan semua bakal calonnya yang bertanding pilihan raya untuk melafazkan baiah bagi mengelak mereka melompat parti.

Namun ekoran penguasaan kumpulan konservatif agama dalam parti itu pada muktamar 6 Jun lalu, golongan progresif bertindak menubuhkan kumpulan dikenali Gerakan Harapan Baru (GHB).
Mereka kemudian menyertai Parti Amanah Nasional (AMANAH).

Ulama sudah dirujuk

Majlis malam tadi turut melibatkan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud serta dua lagi ahli Majlis Bandaraya Shah Alam.

Bagaimanapun, Siti Mariah tidak hadir kerana terlibat dalam program anjuran GHB di Kelantan.
Kata Khalid, semua tindakan yang dilakukan adalah mengikut ketetapan Islam.

"Selebihnya kami serahkan kepada Allah," katanya.

Sebelum ini Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din dilaporkan berkata, ikrar yang dibuat oleh kesemua calon pilihan raya parti itu sebenarnya baiah dengan Allah SWT.
Sehubungan itu, kata Haron, tidak timbul soal membayar kafarah seperti yang didakwa Khalid.

Mengulas kenyataan Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh yang mengesa Khalid serta pemimpin GHB bertaubat dan kembali kepangkuan PAS, ini jawapan Khalid: "Itu hak dia untuk berpandangan sedemikian. Kami telah rujuk ulama yang lain dan cadangan kita buat begini tak ada salahnya kami keluar dari PAS".

Sementara itu menurut Khalid AMANAH menyasarkan keahlian mencecah 35,000 orang di Selangor menjelang 16 September ini.

"Untuk fasa pertama bakal disertai orang PAS dan Umno serta mereka yang tidak ada parti. Mereka sudah letih tengok PAS dan Umno dan mereka inginkan kelainan," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger