Home » , » AMANAH Alukan Kenyataan PKR Perkukuh Gabungan Pembangkang

AMANAH Alukan Kenyataan PKR Perkukuh Gabungan Pembangkang

Written By Wadah Baru on Selasa, 13 Oktober 2015 | 4:25 PTG

Satu kenyataan media telah dikeluarkan oleh Majlis Pimpinan Pusat Keadilan pada 11hb Oktober 2015 selepas sahaja selesai Mesyuarat Khas mereka. Bersama ini dikeluarkan respons AMANAH terhadap kenyataan media tersebut:-

1. AMANAH mengalu-alukan kenyataan media yang dikeluarkan pada 11hb Oktober oleh Majlis Pimpinan Pusat Keadilan. Ianya menunjukkan sikap yang terus fokus terhadap usaha pembinaan gabungan pembangkang yang kukuh dan bersatu demi menangani krisis ekonomi dan kepimpinan negara yang semakin mendesak.

2. AMANAH mengucapkan tahniah kepada saff kepimpinan Parti Keadilan Rakyat atas kemampuan mereka mencapai kata sepakat dalam suasana yang digambarkan begitu mencabar sehingga ada yang meramalkan PKR boleh berpecah dua. Ini adalah bukti akan kematangan dan kebijaksanaan saff kepimpinan PKR, di bawah DS Wan Azizah selaku Presidennya, dalam mengurus perbezaan pandangan.

3. AMANAH berpendirian bahawa pembinaan gabungan pembangkang yang kukuh adalah antara keutamaan ke arah penyelesaian krisis negara. Ini berpaksikan keyakinan bahawa kerajaan BN perlu digantikan dan oleh itu usaha ke arah menyatupadukan pembangkang tidak boleh dilengah-lengahkan. Rakyat ingin melihat satu gabungan pembangkang yang mampu berkerjasama dan sanggup mengenepikan perbezaan dalam usaha menyelesaikan krisis negara yang semakin meruncing.

4. AMANAH mengalu-alukan pendirian PKR untuk memantapkan Pakatan Harapan dan bersetuju untuk membuka keahlian Pakatan Harapan kepada semua yang berminat untuk menyertainya. Namun disiplin dan kejujuran dalam berpakat perlu ditekankan supaya pihak lawan tidak akan berjaya melaga-lagakan anggota Pakatan Harapan sepertimana mereka telah berjaya terhadap Pakatan Rakyat. Setiap anggota Pakatan Harapan hendaklah kommitted kepada Pakatan Harapan dan jelas berhubung siapa kawan dan siapa lawan.

5. Ke arah ini AMANAH mengesyorkan supaya segera dibentuk Sekretariat dan Majlis Presiden Pakatan Harapan supaya persoalan dasar bersama dan kaedah pengurusan perbezaan pandangan dapat ditetapkan untuk dipersetujui dan didukungi bersama. Amalan bermusyawwarah demi mencapai kata sepakat dalam menangani semua persoalan tetap merupakan dasar yang perlu diamalkan.

Sekian terima kasih.

Khalid Bin Abd Samad,
Pengarah Komunikasi,
Parti Amanah Negara

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger