Oleh Nurul Izzah Anwar
Kira-kira jam 9 pagi waktu Atlanta semalam, 12 negara yang menyertai rundingan Perjanjian Perkongsian
Trans-Pasifik (TPPA) mengumumkan pengakhiran kepada rundingan
perjanjian yang digelar ‘terbesar dalam sejarah, sesuai dengan abad
ke-21’.
Rundingan perjanjian itu dimuktamadkan walau tanpa
ketiadaan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk
Seri Mustapa Mohamed sekadar diwakili Ketua Perunding Jayasiri.
Sewajibnya
menteri hadir hingga akhir pengumuman - cara sambil lewa menangani
perjanjian sebesar TPPA menimbulkan keraguan besar berkenaan tatakelola
Miti dan kerajaan dalam mempertahan kepentingan Malaysia dalam
rundingan.
Perlu diingat jua janji
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Sidang Kemuncak APEC pada
Oktober 2013 - TPPA akan dibentangkan di Parlimen.
Janji Miti di
dalam Dewan Rakyat kerajaan akan menjamin kepentingan negara dan rakyat
tidak akan digadaikan perjanjian TPPA wajib dituntut.
Perjanjian TPPA sudah tentu akan merangkumi pelbagai aspek - tidak
terhad kepada perdagangan saja. Meminjam terma abad ke-21 - sudah tentu
perjanjian semoden ini wajib dirundingkan secara telus, di mana semua
pihak berkepentingan diberikan akses kepada teks rasminya.
Perjanjian yang dikatakan ala abad ke-21 juga perlu membudayakan
keterbukaan sejajar dengan budaya abad terkini - bukan diselubungi
kerahsiaan seperti perjalanan rundingan TPPA selama ini.
Sepanjang 2 tahun lamanya, rakan Ahli parlimen dan saya sendiri
mengikuti perkembangan serta memberikan maklum balas yang penting dalam
mendepani risiko perjanjian TPPA sekiranya tidak mempertahan kedudukan
serta kepentingan Malaysia.
Pada 25 September, 2013 saya
mendesak kerajaan untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Terpilih TPPA
melalui soalan Parlimen saya. Kerajaan kemudiannya menubuhkan Kokus
TPPA yang turut melibatkan saya sendiri.
Walau diakui wujudnya
pertemuan dari masa ke semasa dengan menteri Miti dan juga wakil
perdagangan Amerika Syarikat, Michael Froman, seluruh ahli pembangang
kokus TPPA tidak diberi akses kepada kandungan dan terma perjanjian.
Hal ini berlainan di AS - di mana wakil Kongres mereka diberi layanan
lumayan termasuk peluang membaca teks TPPA.
Bagaimanakah kita mampu menerima janji kebolehpercayaan kerajaan sedang prestasi corot selama ini?
Menurut peraturan “Fast Track” AS, teks penuh TPPA akan diterbitkan 30
hari selepas perjanjian itu dipersetujui. Presiden Barack Obama akan
memberikan 90 hari kepada Kongres untuk membahaskan butiran perjanjian
tersebut sebelum menandatanganinya. Rundingan sudah tamat dan tidak ada
sebuah negara pun yang mampu merubah kandungan kepada teks perjanjian
tersebut.
Saya seru semua pihak berkepentingan; badan bukan
kerajaan, ahli Parlimen, badan persatuan sekerja dan orang ramai untuk
bersiap siaga meneliti kandungan dengan hasrat memastikan kepentingan
negara diutamakan. Kita juga harus berani menolak sekiranya kandungan
teks menunjukkan sebaliknya.
Sehubungan itu, perdana menteri perlu dipertanggungjawabkan untuk memenuhi segala janji beliau berkait TPPA.
Teks bukan saja mesti didedahkan; tetapi setiap ahli Parlimen wajib
diberikan masa yang secukupnya untuk meneliti kandungan perjanjian
tersebut - yang dikhabarkan mencecah hampir 1,000 muka surat.
Sekiranya kongres AS diberikan 90 hari untuk membahaskan perjanjian
ini, Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam usaha memperkasakan
kedaulatan negara menerusi demokrasi berparlimen.
Lebih-lebih lagi
apabila nasib negara terikat dengan perjanjian yang melibatkan 12 negara
dan penguatkuasaan undang-undang yang merangkumi semua bidang bukan
saja perdagangan.
Malaysia mestilah mendapat manfaat daripada
perjanjian ini. Rakyat harus dilindungi daripada terkesan daripada
penguatkuasaan perjanjian ini.
Isu yang timbul seperti
kenaikan harga ubat-ubatan, perlindungan yang ketat ke atas harta
intelek; status Syarikat Berkait Kerajaan Malaysia (Khazanah, Petronas
dan TNB sebagai contoh); isu mekanisme perundangan baru ISDS yang
mengutamakan golongan korporat - serta kesannya ke atas badan kehakiman
negara; dan juga nasib IKS antara lainnya wajib dipantau dengan
efektif.
Perjuangan untuk memastikan TPPA dimeterai bersyarat
kepentingan serta kedaulatan negara dipertahan akan diteruskan. Kami
terus berjuang hingga ke saat yang terakhir.
* Penulis ialah ahli Parlimen Lembah Pantai merangkap naib presiden dan pengarah pilihan raya PKR.
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan