Home » , » Surat Terbuka Kepada Pemimpin Pakatan Harapan

Surat Terbuka Kepada Pemimpin Pakatan Harapan

Written By Wadah Baru on Khamis, 14 Januari 2016 | 1:55 PTG

Oleh Abe Awang Malaya

Tuan Haji Mohamad Sabu - Presiden Parti Amanah Negara
Dato’ Seri Wan Azizah Ismail - Presiden Parti Keadilan Rakyat
Lim Guan Eng  - Setiausaha Agung DAP
Dato’ Saifudin Abdullah - Ketua Sekretariat Pakatan Harapan
.

Dengan hormat,

CADANGAN PENGGUNAAN SATU SIMBOL DALAM PILIHANRAYA
----------------------------------------------------------------------------------

Hari ini hanya merupakan sebahagian dari tempoh-tempoh yang telah ditetapkan Allah. Hari ini merupakan kemuncak nafsu politik dan isu menang-kalah yang tidak mengenali peraturan-peraturan atau tidak dikekang oleh nilai-nilai abadi kemanusiaan. Maka tidak layak untuk kamu saling mendengki dan iri hati. Tanamkan rasa ikhlas terhadap perjuangan menentang kezaliman dan penyelewengan kerajaan Barisan Nasional. Hari ini amat menentukan hari kemudian. Generasi akan datang, jika mengetahui perjuangan kamu nescaya akan mengenang kamu terhadap apa yang kamu buat pada hari ini.

Pengalaman pahit Pakatan Rakyat menghadapi pengkhianatan dari dalam oleh PAS sejak tahun 2008 hingga ke hari ini wajar dijadikan pengajaran. Anggaplah ia sebagai suatu kesilapan yang tidak akan berulang. Apabila telah hilang kejujuran dalam diri, maka berlakulah apa yang telah berlaku dan rakyat sedang menanggung akibatnya.      

Sesungguhnya telah kedengaran ungkapan nakal yang dibicarakan di kalangan orang-orang mengenai PRU-14 yang akan datang. Kata mereka : “Tanda-tanda Barisan Nasional mahu kalah sudah jelas, tetapi belum ada tanda-tanda yang menunjukkan Pakatan Harapan mahu menang.” BN seperti sudah mengaku kalah, tetapi PH masih tidak nampak yang mereka sedang berusaha untuk menang. Begitulah yang ternampak pada pandangan mata orang-orang, termasuk orang UMNO.

Sebenarnya BN sedang berada di ambang kekalahan, tetapi kemenangan bukan sesuatu yang murah dan senang dicapai oleh PH. Pemimpin PH tidak cukup hanya dengan mengaku bersungguh-sungguh untuk menumbangkan BN dan bersedia mahu mengambil-alih teraju pemerintahan negara, tetapi mesti dilihat bersungguh-sungguh. Ini politik. Rakyat mahu melihat kesungguhan kamu. Pemimpin mesti memperlihatkan kesungguhan untuk membina keyakinan rakyat.

Kalau besi buruk itu dibiarkan sebagai besi dan tidak diapa-apakan, ia akan terus berkarat dan akhirnya tertimbus ke dalam tanah. Kalau kecelaruan politik sekarang dibiarkan dan tidak dibuat apa-apa tindakan, nescaya negara akan terus dijahanamkan oleh UMNO entah sampai bila hingga jasad kita ditanam dalam tanah. Cadangan sepuluh sen dari kami, yang mewakili golongan pengundi bawahan, sekiranya Pakatan Harapan bersungguh-sungguh mahu mengalahkan Barisan Nasional dalam PRU-14, perkara pertama yang mesti difikirkan dengan serius dan mesti bertindak ke arah merealisasikan hasrat itu ialah penggunaan satu simbol atas nama Pakatan Harapan dalam pilihanraya. 

.
Dengan hormat,

Amerika Syarikat itu negaranya besar, rakyatnya ramai, ketenteraannya kuat, ekonominya maju, tetapi dalam pilihanraya untuk memilih pemerintah, rakyat Amerika hanya perlu memilih  Demokrat vs Republikan saja. Di England, hanya parti Pekerja vs Konservatif saja. Kenapa Malaysia yang sekecil ini, kita tidak boleh jadikan pilihanraya sebagai Barisan Nasional vs Pakatan Harapan saja?

UMNO itu lemah. Sangat lemah. MCA hidup segan mati tak mahu. MIC seperti melukut di tepi gantang dalam politik. Orang benci kepada pemimpin UMNO. Begitu juga dengan pemimpin MCA dan MIC. Tetapi kebencian itu menjadi kurang atau hilang sama sekali ketika pilihanraya bila timbul nama Barisan Nasional dengan simbol dacing. Orang lupakan kejahatan UMNO, orang lupa penyelewengan MCA dan orang lupa krisis dalaman MIC. Orang hanya nampak parti yang stabil dan berpengalaman, iaitu Barisan Nasional.

Parti Amanah dilabel sebagai pengkhianat kepada PAS, kononnya ditubuhkan oleh orang-orang yang kecewa kerana kalah dalam pemilihan, golongan munafiq haraki, kuda tunggangan DAP dan dianggap sebagai musuh nombor satu PAS.

DAP dilabelkan sebagai anti Melayu, anti Islam, nak jual negara kepada Israel, nak jadikan Malaysia seperti Singapura dan seumpamanya.

PKR pula dilabel sebagai parti yang hanya mahu membela seorang peliwat, golongan Islam liberal dan lain-lain gelaran yang direka untuk memperlekehkannya.

Sekelian anggapan dan labelan yang lebih berupa fitnah itu nescaya akan dilupakan orang kalau hanya calon Pakatan Harapan yang bertanding dengan menggunakan satu simbol. Tidak ada lagi lambang roket DAP, tidak ada lagi calon PKR dan calon Amanah. Yang ada hanya Pakatan Harapan.

.
Dengan hormat,

Dalam peperangan Yarmuk, pasukan tentera Islam berada dalam keadaan terpisah-pisah antara satu sama lain.

Pasukan tentera di bawah pimpinan Amru bin As tiba dari Paletine.

Pasukan tentera di bawah pimpinan Abu Ubaidah bin Jarrah tiba dari Damaskus.

Pasukan tentera di bawah pimpinan Yazid bin Abu Sufyan tiba dari Balkan. 

Pasukan tentera di bawah pimpinan Syarhabil bin Hasanah tiba dari Jordan.

Pasukan tentera di bawah pimpinan Ikrimah bin Abu Jahal tiba dari Madinah. Setengah riwayat menyatakan dari Oman selepas menumpaskan golongan murtad di situ.

Pasukan tentera di bawah pimpinan Khalid bin Walid tiba dari Iraq.
.

Kami suka mengungkapkan perintah dari Khalifah Abu Bakar as-Siddiq di Madinah yang disampaikan oleh utusan kepada semua pasukan tentera Islam di Yarmuk ketika itu.

“Ijtami'uu bi'l-Yarmuki, mutasanidiin!”

Maksudnya : “Satukan seluruh pasukan di Yarmuk, dan hendaklah saling membantu!”

Akhirnya seluruh kekuatan pasukan Islam disatukan di bawah pimpinan seorang panglima, iaitu Khalid bin Walid. Sejarah mencatat betapa 39 000 tentera Islam akhirnya berjaya menewaskan pasukan tentera Rome yang mempunyai kekuatan seramai 240 000 orang tentera.

Ahli sejarah Barat menulis tentang kehancuran pasukan Rome itu dengan segala akibatnya seperti yang tercatat dalam buku Historians' History of the World, terbitan Encyclopedia Britannica Co. Ltd, London, volume VIII (Arabs) mukasurat 148, seperti berikut :

‘On the second morning they moved forward, and engaged in all parts with all imaginable vigour. The fight, or rather the slaughter, continued till evening. The Christian army was entirely routed dan defeated. The Saracens killed that day fifty thousand men. Those that escaped fled, some of them to Caesarea, others to Damascus, and some to Antioch. The Saracens took plunder of inestimable value, and a great banners, and crosses made of gold and silver, precious stones, silver and gold chains, rich clothes, and arms without number; which Khalid said he would not divide until Damascus was taken.’

.
Dengan hormat,

Bersatulah! Satukan seluruh kekuatan, dan hendaklah saling membantu. Hilangkanlah perasaan asobiyyah yang hanya mementingkan parti sendiri hingga sanggup iri dengan parti rakan dalam Pakatan. Rakyat di bawah sedang melihat kesungguhan kamu. Rakyat mahu melihat keikhlasan kamu. Rakyat mahu melihat kamu bersatu. Barisan Nasional sudah nazak, tetapi kalau parti-parti dalam Pakatan Harapan tidak bersatu, ia akan menenggelamkan keyakinan rakyat. Bila rakyat tidak yakin dengan persefahaman dan kesepaduan antara parti dalam PH, sudah tentu akibatnya sangat buruk sekali.

Bukan tidak pernah kami menyuarakan cadangan ini kepada pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan secara berdepan, tetapi jawapan yang diterima lebih berupa beberapa alasan dari sekian banyak alasan untuk mengenepikan cadangan itu.

Ada yang kata, tidak boleh guna satu simbol kerana syarat yang ditetapkan oleh pihak pendaftar pertubuhan (ROS) mestilah sekurang-kurangnya ada tujuh (7) parti komponen yang bergabung.

Padahal syarat ini tidak pernah wujud sama-sekali, melainkan ia hanya andaian kosong sahaja.

Ada yang kata, tidak mungkin pihak ROS akan benarkan pembangkang guna satu simbol.

Kami katakan, ini hanya alasan yng tidak bersandar kepada sebarang fakta, hanya kerana semangat asobiyyah yang kuat terhadap parti sendiri. Padahal perkara ini tidak ada kena-mengena dengan ROS pun! ROS ialah tempat orang mendaftar, bukan tempat minta kebenaran untuk parti bertanding dalam pilihanraya. Semua parti adalah berdaftar secara sah setelah diluluskan oleh ROS. Pihak Pakatan Harapan sepatutnya hanya memaklumkan kepada suruhanjaya pilihanraya (SPR), bukan perlu memohon untuk mendaftarkan parti baru bernama Pakatan Harapan dengan ROS. Cuba jawab satu soalan, adakah Barisan Nasional yang telah wujud sejak pilihanraya umum 1974 itu pernah mendaftarkan parti dengan ROS? Menurut apa yang kami tahu, tidak pernah.

Orang Amanah kata, dulu PAS yang tak setuju. Orang PKR kata, dulu DAP yang tak setuju. Semua itu hanya alasan. Yang sebenarnya, Pakatan Rakyat memang tidak pernah buat apa-apa pun berkaitan soal ini.  

.
Dengan hormat,

Oleh kerana yang mahu ditentang ialah sebatang pokok bernama Barisan Nasional, bukan dahan-dahannya seperti UMNO, MCA, MIC,Gerakan dan lain-lain, maka sangat wajar sekali kalau PKR, DAP dan Amanah menjadi dahan kepada pokok Pakatan Harapan. Biarlah pokok berlawan dengan pokok. Rakyat akan yakin bahawa di sana ada alternatif untuk memilih kerajaan, samada mahu mengekalkan Barisan Nasional atau memilih Pakatan Harapan untuk menerajui pemerintahan negara. Kalau Barisan Nasional ada Najib sebagai Perdana Menteri, Pakatan Harapan ada Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri. Biar senang rakyat membuat pilihan. Dengan cara itu, dengan sendirinya PAS akan tertinggal atau ditinggalkan. PAS akan terpencil dan akan dipencilkan, kerana rakyat akan berfikir, untuk apa mereka mengundi calon PAS? PAS akan jadi parti nyamuk, atau parasit yang menumpang hidup pada batang pokok lain.

Dalam pilihanraya, calon Amanah bukan berlawan dengan calon UMNO, tetapi Barisan Nasional. Calon DAP bukan berlawan dengan calon MCA atau Gerakan, tetapi Barisan Nasional. Calon PKR bukan berlawan dengan calon MIC atau PPP, tetapi Barian Nasional. Nah, kenapa Amanah, PKR dan DAP tidak bersatu menjadi Pakatan Harapan untuk menentang Barisan Nasional?

Realiti politik hari ini ialah rakyat mengundi calon parti pembangkang bukan sekadar untuk memilih wakil rakyat pembangkang dalam parlimen atau Dun, tetapi rakyat mengundi untuk menukar kerajaan Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan. Tidak ada bezanya kalau PAS bekerjasama dengan UMNO atau tidak, kerana Pakatan Harapan tetap berada di landasan terbaik untuk menumbangkan Barisan Nasional, dengan syarat sekiranya menggunakan satu simbol.
.

Sekian terimakasih.
Abe Awang Malaya
b/p JEBONESTA

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger