Home » » Fitnah rosakkan perpaduan ummah

Fitnah rosakkan perpaduan ummah

Written By Wadah Baru on Ahad, 21 Februari 2016 | 2:53 PTG

Oleh DR AMINUDIN MANSOR

DALAM kehidupan bermasyarakat, fitnah sukar untuk dihapuskan, tetapi ia boleh dielakkan dan
dikurangkan. Melalui hati yang bersih dan akal fikiran yang waras seseorang itu boleh membuat pertimbangan tidak akan bercakap tentang orang lain, tidak menyebarkan berita palsu dengan mengikut perasaan atau melepaskan dendam semata-mata untuk melemparkan fitnah kepada seseorang.

Oleh itu, benteng keimanan yang kukuh adalah perisai kepada fitnah yang boleh menyebabkan seseorang itu terjebak pula dalam memfitnah orang lain dan dikenakan fitnah. Pelbagai laporan tidak logik mudah menyerap dalam fikiran masyarakat yang kurang berfikir secara bijak dan matang. Masyarakat semakin keliru mana berita yang sahih dan mana yang palsu.

Inilah kesan fitnah yang membawa perpecahan dan terpaksa kita hadapi.

Dalam era globalisasi peranan internet melalui media baharu seperti Facebook, Twitter, WhatsApp, akhbar luar negara dan sebagainya juga menyebabkan fitnah melalui tulisan.

enyebaran fitnah melalui berita palsu dan tidak sahih di media sosial dan akhbar menyebabkan orang ramai keliru serta akhirnya menjejaskan keharmonian hidup.

Fitnah dapat difahami sebagai usaha membuat tuduhan (membawa khabar atau kisah dan lain-lain dalam kehidupan) yang diada-adakan (dibuat-buat) untuk memburukkan atau membencanakan seseorang.

Manakala membuat tuduhan berdasarkan syak wasangka, atau tuduhan melulu itu dikenali sebagai tohmah. Semua perkara ini berlaku dan merebak dalam masyarakat dan kehidupan masa kini di mana-mana sahaja asalkan ada ruang capaian internet. Semoga ALLAH SWT jauhkan fitnah dan tohmah jahat orang lain terhadap kita.

Jika dahulu mulut menyampaikan fitnah, kini tangan dan hati turut sama memfitnah orang lain tanpa usul periksa. Fitnah yang merebak dalam kalangan umat Islam akan membawa kehancuran kepada perpaduan ummah. Fitnah berlaku apabila dijadikan senjata politik untuk menjatuhkan lawan yang berlainan fahaman atau tidak sealiran dalam fahaman dan juga kehendak berpolitik. Kempen sabotaj politik terancang sering dilakukan melalui fitnah.

Berkaitan perkara ini, Nabi SAW pernah bersabda: “Umatku itu dirahmati ALLAH dan tidak akan diseksa di akhirat, tetapi seksaan terhadap mereka di dunia berupa fitnah-fitnah, gempa bumi, peperangan dan musibah-musibah.” (riwayat Abu Daud).

Begitulah dahsyatnya bahaya fitnah kepada umat Islam. Lantaran itu, fitnah diibaratkan bahayanya seperti seksaan gempa bumi dan peperangan serta musibah lain yang boleh menghancurkan perpaduan ummah.

Kita sering mendengar musibah dalam kehidupan bermasyarakat sering berlaku seperti kemalangan di jalan raya, mati lemas di lautan, kebakaran dan juga banjir yang dahsyat. Begitulah juga diibaratkan fitnah seksanya sama dengan musibah-musibah ini dan menyebabkan orang yang difitnah bersedih, dukacita dan rasa kecewa.

Dalam sebuah hadis Nabi SAW dijelaskan: “Rasulullah SAW melarang penjualan senjata di kala berjangkitnya fitnah.” (riwayat Ath Thabrani).

Hal ini, dikhuatiri boleh menyebabkan akan berlaku pergaduhan dan pertumpahan apabila senjata dijual semasa berlakunya fitnah. Bayangkan perasaan orang yang difitnah akan berasa marah, dendam dan sebagainya. Tentunya, tanpa fikiran yang waras akan menyebabkan mereka membalas balik kepada orang yang memfitnah dirinya.

Oleh itu, ketika berucap, berceramah dan menyampaikan cerita kita umat Islam diminta meneliti dengan hati iaitu berhati-hati, berfikir dengan waras iaitu menapis apa yang disampaikan.

Begitu juga, sebagai pendengar dan pembaca kita juga wajar berfikir sedalam-dalamnya tentang apa yang kita dengar dan baca bagi mengelakkan penyebaran fitnah.

Ada pendapat mengatakan, fitnah ini laju dan tajamnya bagaikan panah. Apabila mengenai sasaran, satu sasaran. Tetapi apabila dicabut ia akan terkoyak disebabkan dua mata panah (cangkuk) di sebelah luar yang bisa dan terlalu menyakitkan. Fitnah yang paling bahaya adalah fitnah yang berlaku dalam kalangan ummah.

Dalam kehidupan bermasyarakat, politik telah mencambahkan banyak fitnah dan memecahbelahkan perpaduan ummah. Sebenarnya perkara ini boleh dielakkan dengan tidak mengatai orang lain, iaitu berkaitan perlakuan  seseorang tanpa bukti yang sahih dan tepat.

Justeru, penyucian hati dan jiwa sangat penting bagi mengelakkan berlaku fitnah dalam kehidupan bermasyarakat. Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Seorang lelaki bertanya, “Wahai Rasulullah! Terdapat seorang wanita yang diceritakan banyak bersolat, berpuasa dan bersedekah, namun dia suka menyakiti jiran dengan lidahnya.” Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Dia merupakan ahli neraka.” (riwayat Ahmad).

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger