Home » » Saya tetap bersuara walaupun digantung jawatan Timbalan Presiden – Muhyiddin

Saya tetap bersuara walaupun digantung jawatan Timbalan Presiden – Muhyiddin

Written By Wadah Baru on Sabtu, 27 Februari 2016 | 2:23 PTG

Tan Sri Muhyiddin Yassin berikrar akan terus bersuara untuk menegakkan kebenaran serta menuntut
reformasi meskipun beliau digantung jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Menerusi kenyataan di Facebook hari ini, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau tidak berduka dengan keputusan yang sememangnya telah dijangka namun, tidak menafikan tetap merasa jengkel.

Katanya, apa yang berlaku ke atas dirinya itu adalah disebabkan beliau niatnya yang mahu melihat kesempurnaan perjalanan parti dan mahu mengembalikan kepimpinan UMNO ke landasan yang betul supaya parti itu terus diterima oleh rakyat.

“Hari demi hari, kredibiliti dan imej negara juga semakin terjejas. Keadaan ekonomi semakin tidak menentu, rakyat dihimpit masalah kos sara hidup yang semakin meningkat manakala ruang demokrasi dan kebebasan semakin tertutup.

“Mereka yang lantang mengkritik Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) ditahan di bawah undang-undang keselamatan, portal berita atas talian disekat dan suara-suara yang menentang ditekan dengan pelbagai ugutan.

“Dalam menghadapi kemarahan rakyat terhadap kepimpinannya, Najib menggunakan segalakuasa yang ada padanya untuk menekan suara yang menentang dan mendiamkan pengkritik. Kita sebenarnya sedang menyaksikan keruntuhan institusi demokrasi dan kemunculan seorang diktator baharu,” katanya.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, Mereka yang berkepentingan di dalam UMNO tidak lagi dapat membezakan mana yang benar dan mana yang salah.

Katanya, apa yang diutamakan bukanlah matlamat asal perjuangan parti, sebaliknya lebih kepada kepentingan diri.

“Saya fikir, episod hitam yang berlaku di Malaysia sedang mematangkan kita. Jika kita mahu melihat Malaysia kembali menjadi sebuah negara yang dihormati dan rakyat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera, maka kita mestilah bersedia untuk bersama-sama menuntut perubahan.

“Ia bukan sekadar mendesak Perdana Menteri supaya berundur, tetapi menolak institusi politik yang telah gagal dalam memenuhi aspirasi rakyat. Ketepikan sentimen kaum, agama dan ideologi untuk membentuk suatu konsensus atau muafakat rakyat ke arah mewujudkan sebuah kerajaan yang adil, amanah dan berintegriti,” ujarnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger