Home » , » Selamatkan Malaysia! Nabi Musa tak jadi penasihat Firaun

Selamatkan Malaysia! Nabi Musa tak jadi penasihat Firaun

Written By Wadah Baru on Ahad, 28 Februari 2016 | 12:54 PTG

Pidato sempena pelancaran Kempen Selamatkan Malaysia di Kulai malam tadi menyaksikan Datuk Husam Musa terus mengingatkan rakyat tentang masalah kepimpinan di negara ini.

Selain kepincangan di pihak rejim Umno-BN yang diketahui umum, bekas Naib Presiden Pas itu di depan hampir 1,000 hadirin turut mengkritik kepimpinan partinya yang pada masa ini diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Al-Quran datang kerana membetulkan masalah kepimpinan. Dalam Al-Quran nabi berhadapan pemimpin yang rosak dan bersifat diktator.

“Nabi Musa tidak jadi penasihat Firaun. Nabi Musa sampaikan mesej kepada Firaun yang memperhambakan Bani Israel. Nabi Musa tidak segan, tidak gerun,” tegasnya serentak disahut teriakan ‘Haji Hadi’ oleh beberapa hadirin di dewan Hotel Creator.

Lebih berterus-terang, Husam menyebut tentang kepentingan istiqamah atau usaha berterusan untuk melakukan perubahan yang berbeza dengan pendekatan kepimpinan Pas yang dilihat lunak terhadap Umno-BN.

“Empat negeri kita ‘goncang’ (Kelantan, Johor, Kedah dan Sabah) Insya Allah. Istiqamah. Macam mana? Bukan istiqamah jadi penasihat. Istiqamah (ada) macam-macam. Saya ahli Pas tapi berbeza pendirian dengan pimpinan akhir-akhir ini,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan gejala tidak boleh menegur pemimpin yang wujud dalam Pas pasca pemergian Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat tahun lalu seolah-olah menyamai sikap Umno.

“Saya mahu Islam dilihat indah lebih baik dari sistem lain. Kalau Pas tak boleh ditegur, Umno tak boleh ditegur, Pas dua kali lima,” ujarnya dalam pidato selama 30 minit itu yang turut sempat memuji pendekatan politik berhemah dan bersama dengan hasrat rakyat oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Kita jalan terus”

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor itu pada sesi dialog seterusnya, peranan Pas penting dalam usaha melakukan perubahan bagi menyelamatkan Malaysia daripada kepincangan kepimpinan Umno-BN.

“Maafkan saya kerana menegur. Bahkan dalam Islam wajib menegur. Kalau tidak tegur berdosa. Pas nak tumbang, tongkat Umno, nak buat macam mana. Kalau Pas tidak mahu berubah, kita jalan terus,” ujarnya menjawab soalan salah seorang peserta.

Sehubungan itu, beliau turut berharap kepemimpinan Pas berani mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemimpin yang bercanggah dengan prinsip parti dan landasan Islam.

“Pemimpin yang buat kenyataan cauvinis, rasis bercanggah dengan dasar Islam mesti diambil tindakan. Islam mengatasi batasan kaum,” tambahnya lagi sambil berterus-terang menyebut nama Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Untuk rekod, Ahli Jawatankuasa Pas itu pada Muktamar Majlis Amal lslami Malaysia (MAIM) 2016 di Masjid Wilayah Persekutuan, 25 Februari lalu berkata, perlu ada kerjasama antara Pas dan Umno bagi menangani kerusi marginal iaitu di kerusi yang pengundi Islam antara 30 hingga 60 peratus kerana kerusi berkenaan yang menyebabkan kemungkinan DAP menang dalam pilihan raya.

Forum berkenaan turut disertai dua lagi panel iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abd Rahman, manakala moderator ialah Timbalan Presiden Isma, Aminuddin Yahaya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger