Home » , » Transformasi bersiri bermula dari – kita!

Transformasi bersiri bermula dari – kita!

Written By Wadah Baru on Ahad, 28 Februari 2016 | 2:23 PTG

Oleh Raja Bahrin Shah

Kita rakyat Malaysia sedang melalui hari dan saat saat kritikal dalam beberapa hari ini. Tidak pernah
sejak Merdeka Negara kita menjadi tunggang terbalik sebegini walaupun dulu maklumat terhad dan kita buta maklumat. Kini langit siber luas terbuka tetapi mereka yg bermaharajalela berkuasa cuba mengunci maklumat dari langit terbuka seolah pepatah Melayu- ‘ingin menongkat langit yang hendak runtuh’. Internet mula ditutup dan diganggu.

Ada yang berkata tukar Perdana Menteri dan ada yang kata reformasi sekali lagi! Apa yg Malaysia perlukan ialah TRANSFORMASI BERSIRI melibatkan perubahan seluruh sistem Negara yang amat korup! Perdana Menteri seorang diri tidak boleh menguasai semuanya tanpa juak-juak menteri-menteri lain, pihak berkuasa peguam Negara, pihak berkuasa keselamatan serta pentadbiran yang begitu korup. Kalau Empayar Rom tidak dibina dalam satu hari, Malaysia juga tidak mungkin punah sebab seorang Perdana Menteri tanpa proses berterusan kehancuran nilai moral dalaman yang amat kronik oleh penyokongnya. Oleh itu menukar Perdana Menteri sahaja tidak menyelesaikan masalah. Akar umbi dan pucuk pokok mesti digantikan secara keseluruhan, secara TRANSFORMASI BERSIRI.

Kesemua rakyat mesti melibatkan diri dalam TRANSFORMASI ini. Yang muda, yang di pertengahan umur dan juga yang tua. Tiada yang selamat daripada kerakusan pimpinan Negara hari ini. Mahasiswa muda ditangkap, dipenjara, bajet pendidikan Negara di potong 18%, Universiti Malaya dipotong 28% dan bantuan murid miskin dipotong dari RM200 juta sehingga tinggal hanya RM10 juta. Baru-baru ini biasiswa murid cemerlang dibatalkan menjadi pinjaman sementara Negara lain memberi pendidikan percuma. Bagi warga tua yang mengharapkan wang pencen untuk sedikit keselesaan dihujung penghidupan mereka, wang KWAP- Kumpulan Wang Anggota Pencen disambar RM4 billion oleh SRC Syarikat berkait dengan 1MDB. Pelaburannya sehingga hari ini tidak tahu kemana. Tabung Haji pula dipaksa melalui kroni yang dilantik membeli tanah dari 1MDB dengan harga RM2,770 satu kaki persegi walaupun harga asal 1MDB beli daripada kerajaan hanya RM60 satu kakipersegi! Pendedahan terakhir termasuk pelaburan Tabung Haji yang rugi berpuluh juta dalam syarikat pembuat roti dan pelaburan rugi RM 1.4 billion dengan anak syarikat Tabung Haji Heavy Engineering. Mahasiswa muda disekat kemajuan hidup mereka dan yang tua dirampas simpanan hari tua mereka. Dimana peri kemanusiaan kerajaan rakus ini?

Kalau yang diperingkat pertengahan umur menganggap mereka sudah selesa dengan kerajaan hari ini, saya mohon fikir panjang-panjang masa depan anak anak mereka yang telah terjejas peluang pendidikan mereka. Jangan khianati masa depan mereka hanya kalau kita boleh memiliki BMW dan Mercedes hari ini sudah selesa. Anak anak adalah amanah Allah untuk kita memberi sebaik baik peluang pendidikan dunia dan akhirat kepada mereka. Ingat juga ada mahasiswa yang sanggup berlapar kerana menghantar wang pengajian mereka ke orang tua mereka dikampung yang terhimpit kenaikan kos hidup. Bagi warga pencen pula segala usaha giat peluh mereka dalam KWSP yang diambil oleh SRC-1MDB tidak tahu kemana hari ini. Daripada muda diambil dan daripada tua dirompak!

Tan Sri Muhyiddin Yasin kononnya dipecat sebagai Timbalan Presiden UMNO kerana tidak menjalankan tugasnya membantu Presiden. Membantu untuk apa…..? Untuk
bersubahat….menyeleweng dan memusnahkan Negara? Menteri-menteri kroni pak sangguplah patut di pecat kerana membantu dalam kemungkaran ini.

Langit siber dah mula diganggu secara meluas dan ditutup. Peluang kami untuk berceramah di bandar kecil Kuala Terengganu pun sudah banyak diganggu dengan perampasan bendera dan cubaan membatal program kami. Suara Raja-Raja Melayu isu 1MDB dan Majlis Keselamatan Negara tidak diendahkan kerajaan. Suara bekas Timbalan Perdana Menteri dan Presiden UMNO telah di diamkan. Tidak lama lagi kita hanya boleh mendengar siaran RTM1, RTM2 dan TV3 – Teman Setia Anda menyebar propaganda.

TRANSFORMASI BERSIRI dari atas hingga ke bawah mesti dimulakan. Kalau tidak kita hanya akan dapat menikmati sisa-sisa kulit buah labu Negara kita sahaja kerana isinya telah habis dikerjakan oleh perompak bersiri.

TRANSFORMASI BERSIRI BERMULA DARI KITA SEMUA – DAN IANYA BERMULA DARI SEKARANG !

Raja Bahrin Shah adalah Ahli Parlimen Kuala Terengganu

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger