KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) percaya bahawa
isu hudud tidak akan menjadi isu besar diantara gabungan PAS dan parti
baharu dalam membentuk blok pembangkang ketiga.
Presiden IKATAN, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata, walaupun
bergabung dengan PAS, mereka sependapat bahawa hukum hudud tidak sesuai
dilaksanakan di Malaysia.
“Saya tidak fikir, situasi di Malaysia sesuai untuk melaksanakan
hukum hudud. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga berkata,
hudud kita fikir kemudian, apa yang dibentangkan di Parlimen bukan untuk
melaksanakan hudud.
“Tetapi, hanya untuk tingkatkan lagi kuasa mahkamah syariah. Kerana,
kuasa mahkamah syariah lebih rendah dari mahkamah majistret,” ujarnya
dalam satu wawancara
Jelas Abdul Kadir, isu hukum hudud itu merupakan isu dan provokasi yang hanya dimainkan oleh penyokong UMNO di Kelantan.
“Mereka (PAS) tidak membawa hudud, selama 20 tahun memerintah, Datuk
Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat juga tidak pernah bawa. Dia (Nik Aziz) tahu
bahawa rakyat tidak sokong.
“Tetapi ia mendapat provokasi dari ahli-ahli UMNO di kawasan kampung
terutamanya, kenapa PAS sebagai sebuah kerajaan tidak membawa hudud,”
jelasnya.
Mengulas lanjut, Kadir juga memberitahu Islam bukanlah sebuah agama yang ketat, sebaliknya agama untuk semua pihak.
“Islam juga benarkan atas beberapa syarat, kita boleh menangguhkan
pelaksanaan hukum hudud dan di Malaysia, saya lihat kita termasuk dalam
syarat berkenaan kerana masyarakat berbilang bangsa,” ujar beliau.
Pada masa sama, beliau turut memberitahu bahawa tanggungjawab PAS
untuk memperketatkan undang-undang mahkamah syariah juga telah selesai
dan kini terpulang pada rakyat untuk menghakimi.
“Mereka telah bawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, kemudian
bentangkan di Parlimen. Tugas mereka sudah selesai, sebagai seorang
muslim, mereka telah lakukan sebaik mungkin.
“Kini terpulang kepada rakyat, untuk memilih kerajaan, kerana kini ia di bawah kuasa UMNO,” katanya lagi
PAS-IKATAN sepakat hudud tidak sesuai di Malaysia
Written By Wadah Baru on Rabu, 16 Mac 2016 | 4:54 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan