Home » , » Mengapa Zakir Naik Jadi Polemik?

Mengapa Zakir Naik Jadi Polemik?

Written By Wadah Baru on Selasa, 12 April 2016 | 3:17 PTG

Oleh Mujahid Yusof Rawa



Hanya setelah tiba di Malaysia atas jemputan resmi kerajaan negeri Terengganu, Ketua Polis Negara membuat keputusan untuk membatalkan ceramah perbandingan agama Dr Zakir Naik (DZN) yang dijangkakan akan berlangsung di KL. Alasan KP Negara membayangkan kegagalannya membuat tapisan awal jikalau benar ucapan DZN dikatakan menimbulkan 'kebencian antara agama'

Ataukah KP Negara tertekan atas desakan Hindraf dan pihak tertentu yang 'tidak suka' cara berhujah DZN yang bersifat rebuttal kepada hujah doktrin dan dogma agama lain dalam mempertahankan Islam? Ataukah KP Negara 'didesak' oleh negara seperti Amerika, Kanada yang melabel DZN sebagai penyokong terorisma dan membawa ideologi keganasan? Jikalau benar andaian di atas, KP Negara amat lemah dalam menilai situasi dan hanya bertindak atas ikut-ikut desakan 'orang lain'

Kedatangan DZN mestilah dilihat dalam kerangka perdebatan sihat dan dialog bertamadun. Hindraf atau siapa sahaja yang memendam rasa tidak puas hati terhadap DZN perlu ambil kesempatan menjemput DZN untuk berdebat, baik secara tertutup atau terbuka pada tajuk yang dipertikaikan. Melabel seseorang 'satan' atau 'bahaya' dan menimbulkan 'kebencian antara agama' tanpa memberi ruang untuk didebatkan adalah mencemarkan nama baik mercu ketamadunan.

DZN berada di ruanglingkup pentas dan bukan di medan pertempuran atau merancang pelan misi pengeboman seterusnya. Adalah lebih mudah untuk 'bertempur' di medan wacana intelektual agama untuk mensahkan 'bahaya' pemikiran DZN atau betapa 'satan' hujahnya. Kita hanya memerlukan penghujah balas yang mantap dan ruang kebebasan berdebat untuk membuktikan DZN adalah merbahaya! Bagaimana semua ini akan berlaku jika ruang debat ditutup? Apakah pendesak seperti Hindraf kurang penghujah balas atau sesiapa sahaja yang mahu 'satan' dihalau dari Malaysia tiada kemampuan untuk berhujah dengan DZN?

Saya mungkin tidak setuju beberapa pandangan DZN, khusus caranya yang dilihat 'menyerang' doktrin dan dogma sesuatu agama. Ada kaedah lain juga yang membincang perbandingan agama secara 'sharing' doktrin dan dogma agama masing-masing tanpa rebuttal dan membiarkan orang ramai bertanya pada pembentang soalan-soalan menurut perspektif agama masing-masing. Ini juga adalah dalam skop perbandingan agama.
Walaupun demikian, saya tidak boleh menghalang kaedah DZN sebab ada yang tertarik dengan cara begitu dan ia tidak salah dalam konteks perdebatan sihat. Adakah KP Negara atau sesiapa sahaja yang sama waktu dengannya memahami model ini semua sebelum menggunakan kuasa menghalang?

Bagi saya, menidakkan hak perdebatan sihat oleh seorang yang memang tugasnya sebagai pendebat adalah tindakan putar jam ke belakang. Bagi pendesak yang gagal berhadapan dengan kaedah hujah lawan hujah, ia juga amat dikesali. Adalah lebih baik kita tertumpu pada slogan Selamatkan Malaysia daripada slogan Sekat dan Halau DZN!

Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia
SukaTunjukkan lagi reaksi
Komen

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger