Home » , » Keputusan PRK: PAS kembali ke kedudukan pra 2008

Keputusan PRK: PAS kembali ke kedudukan pra 2008

Written By Wadah Baru on Jumaat, 24 Jun 2016 | 8:26 PG

PETALING JAYA: Keputusan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun lalu menunjukkan PAS mula kembali kepada kedudukannya pada pra 2008.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata PAS hanya memperoleh 26.6% sokongan Melayu di Kuala Kangsar dan 30.6% di Sungai Besar.

“Tiada berita buruk atau serangan yang berlaku terhadap PAS, namun setiap serangan PAS terhadap Pakatan Harapan diberikan liputan sepenuhnya.

“Boleh dijangka sekiranya calon daripada PKR diletakkan, peratusan pengundi Melayu untuk PAS di kedua-dua kerusi akan rendah dan mungkin hanya mencapai 24%. Ia jumlah yang mereka capai pada PRU 2004,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Amanah yang mewakili PH pula hanya mendapat 9.5% sokongan pengundi Melayu di Kuala Kangsar dan 8.6% di Sungai Besar.

“Ini kes dan senario terburuk untuk Pakatan Harapan memandangkan Amanah adalah parti baharu, oleh itu ia kekurangan jentera dan pengiktirafan,” katanya selepas analisis dilakukan.

Bukan itu saja, dalam dua PRK ini pengundi Cina dilihat mula beralih arah kepada BN walaupun bilangan yang keluar mengundi rendah iaitu hanya 21 hingga 28% saja.

“Jika kita mengandaikan bilangan keluar mengundi normal berlaku, kita masih lihat berlaku peralihan dari 5 hingga 7% kepada Umno/BN. Saya rasa ia disebabkan oleh janji dan hadiah yang diberikan BN,” katanya.

Ahli Parlimen Pandan itu turut menyifatkan kekalahan kepada BN sebagai ‘wake up call’ untuk Pakatan Harapan menumpukan pertandingan satu lawan satu dengan PAS.

“Ia juga mengesahkan kekalahan tempoh hari bukan bermakna rakyat mengabaikan Pakatan Harapan,” katanya.

Sementara itu, peratusan pengundi Melayu yang menyokong Umno hanya disebabkan mahu mengekalkan keadaan sedia ada (status quo) memandangkan tiada peratusan peningkatan secara mendadak.

“Agak mengejutkan buat Pakatan Harapan apabila tiada penurunan secara dramatik walaupun didedahkan dengan pelbagai isu (GST, 1MDB, Tabung Haji, MARA dan skandal jet Datin Seri Rosmah Mansor).

“Umno juga hanya boleh mengekalkan status quo apabila wang secara besar-besaran dibelanjakan dan serangan berterusan yang bersifat perkauman, agama dilakukan ke atas Pakatan Harapan, Amanah dan DAP,” katanya.

Pada PRK lalu, calon Umno/BN menang dengan majoriti besar menewaskan calon Amanah dan PAS di kedua-dua kawasan Parlimen.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger