Keputusan-keputusan resmi kedua-dua PRK terbaru tersebut telah diketahui oleh semua orang awam. Pelbagai komentar telah diberikan oleh politikus-politikus pelbagai parti. Semuanya adalah mewakili kepentingan parti masing-masing. Saya tertarik untuk melontarkan pandangan terhadap komentar-komentar yang telah diberikan oleh tiga tokoh parti politik yang menerajui parti mereka di peringkat negeri masing-masing. Bagi saya komentar-komentar mereka adalah begitu penting untuk diambil perhatian oleh kita semua.
YB
Tan Sri Noh Omar selaku Pengerusi BN Selangor begitu gembira sekali
atas kemenangan BN di Parlimen Sungai Besar, lantas mendedahkan bahawa
Strategi Dan Cara Bekerja BN lah yang telah membuahkan kemenangan BN di
PRK Sungai Besar. Lazimnya strategi adalah menjadi sesuatu yang sulit
dan tidak didedahkan kepada umum. Kita cuma dapat membuat andaian dan
tekaan sahaja. Kita pun tidak tahu sama ada strategi-strategi itu
melalui kaedah yang betul atau tidak. Kaedah yang melanggar
undang-undang sukar untuk dibuktikan oleh parti-parti pembangkang kerana
penyiasatan ke atasnya adalah tugas PDRM.
Cara bekerja pula adalah
amalan-amalan kerja yang dapat dilihat dan mudah dikesan kerana ianya
mudah dilaksanakan berasaskan kerjasama dan tekun bekerja ahli-ahli
parti. Tan Sri Noh Omar menyarankan agar Strategi Dan Cara Bekerja itu
akan diperluaskan dalam PRU ke 14 nanti !
Ini sepatutnya menjadi
amaran dan perhatian besar yang perlu diambil kira oleh
pimpinan-pimpinan Pakatan Harapan. BN begitu berazam sekali untuk
mengambil semula Negeri Selangor selepas mereka berjaya mengambil semula
Kedah, Perak dan Trengganu dalam PRU ke 12 dan ke 13 yang lalu daripada
pembangkang. Disamping itu BN juga berjaya mengekal kuasa 2/3 di DUN
Negeri Sarawak dalam PRN baru-baru ini. Cuma BN belum menyatakan secara
terbuka hasrat mereka terhadap Kerajaan PAS Kelantan.
Melihat kepada
sejarah lalu, BN khususnya UMNO pastinya menyimpan cita-cita yang besar
untuk merampas Kelantan, apatah lagi dengan ketiadaan Almarhum TGNA
menerajui Kerajaan PAS Kelantan.
Pada zaman BN diterajui oleh Tun Husein
Onn dahulu, pelbagai alasan dan kesalahan PAS telah didedahkan dan
diperbesarkan untuk menendang keluar PAS dari BN. Akhirnya tersingkir
juga PAS dari BN. Alasan dan kesalahan-kesalahan PAS itu sebenarnya
boleh direkayasa atau dicipta untuk diwajarkan tindakan penyingkiran PAS
dari BN.
Sampai waktunya UMNO telah menunjukkan pintu keluar kepada PAS
apabila PAS sendiri sudah tidak menjadi ancaman kepada UMNO. Itulah
yang dinamakan politik. Itu adalah fakta sejarah politik Malaysia yang
sukar disangkal oleh PAS
Ianya cukup pahit bagi PAS. Sayangnya pada
waktu ini tiada lagi pemimpin besar PAS yang pernah mengalaminya. TGNA
yang bagitu terkesan atas penyingkiran PAS ketika itu sudah pun
meninggalkan kita. Semoga Almarhum diletakkan bersama-sama dengan
orang-orang soleh, Amiin. YB Nik Abduh Nik Aziz tidak akan dapat
menyelami isihati dan perasaan ayahandanya ketika itu, walau pun mungkin
dia pernah mendengar cerita-cerita pahit pengalaman ayahandanya itu
kerana pada waktu itu beliau masih kecil dan tidak mengambil kisah
cerita politik. Justeru itu, pimpinan Pakatan Harapan dan PAS
perlu memberikan perhatian besar terhadap sebarang strategi BN dalam PRU
ke 14 nanti.
Komentar
kedua yang ingin saya bincangkan adalah daripada YB Datuk Iskandar
Samad, Pengerusi PAS Selangor. Beliau mengakui bahawa PAS Selangor tidak
boleh bersendirian untuk menyertai PRU akan datang.
Bagi saya ,bukan
setakat Selangor, PAS di semua negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung
Malaysia perlu bergabung dengan parti-parti pembangkang lain seperti PKR
dan DAP seperti gabungan tahun 2008, dimana Pakatan Rakyat telah
mencapai kejayaan yang terbaik dalam sejarah penyertaan parti-parti
pembangkang dalam sebarang PRU. Sebagai seorang arkitek professional,
tentulah YB Datuk Iskandar Samad telah dilatih untuk menjadi seorang
yang praktikal dalam semua hal dan gerak kerja. Pendekatan praktikal dan
professional adalah berusaha mencapai kejayaan berdasarkan kemampuan
kita, bukannya bergantung terhadap doa sahaja.
Usaha dan gerak kerja
kita yang gigih lah penyumbang utama kejayaan kita disamping doa yang
kita pohon dari Allah SWT. Pucuk pimpinan PAS perlu berlapang dada untuk
kembali duduk semeja berbincang dengan pimpinan PAN.
Apatah lagi
pimpinan PAN itu sendiri adalah bekas aktivis-aktivis PAS yang telah
menyumbangkan kejayaan PAS juga sebelum ini. Fakta-fakta ini tidak boleh
diketepikan begitu saja.
Ketepikan dahulu rasa ego dan besar kepala
demi survival politik. Formulanya amat mudah, PAS menyertai semula
Pakatan Harapan dan menumpukan sepenuhnya untuk bertanding di Kelantan,
Terengganu, sebahagian Kedah dimana pengundi-pengundi Islam/Melayu
adalah majoriti. Lain-lain negeri serahkan kepada PKR dan PAN. Hasrat
untuk melaksanakan Hukum Hudud , simpanlah dahulu. Segala-galanya akan
menjadi lebih mudah apabila Pakatan Harapan telah berjaya memiliki
Putrajaya. Bermimpi sahaja untuk mendapat ikan dilaut tanpa pergi
sendiri ke lautan dan tabah mengharung lautan yang bergelora adalah
umpama mimpi-mimpi Mat Jenin sahaja !
Komentar
ketiga yang ingin saya bincangkan adalah daripada YB Nga Kor Ming,
Pengerusi DAP Perak. Beliau menyarankan agar dielakkan pertandingan tiga
penjuru dalam PRU akan datang. Pertandingan tiga penjuru akan hanya
menguntongkan BN dan ini sebenarnya terbukti betul apabila kita melihat
keputusan PRN Sarawak dan dua PRK yang baru ini. Kembali kepada strategi
PAKATAN RAKYAT dalam penyertaan PRU 2008 adalah yang terbaik untuk
parti-parti pembangkang. Sebagai permulaan ,untuk merealisasikan
gabungan mantap parti-parti pembangkang, boleh lah diserahkan kepada YAB
Dato' Seri Azmin Ali yang dikira masih mempunyai hubungan yang baik
dengan pimpinan PAS. Dato' Seri Azmin Ali sendiri, selaku Timbalan
Presiden PKR dilihat memang bekerja keras ke arah itu.
Akhirnya,
saya berpendapat keputusan-keputusan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar
ada hikmahnya untuk kita kutip. Sebenarnya keputusan-keputusan tersebut
membuktikan bahawa perlawanan antara PAS dan PAN itu berkesudahan
dengan SERI ! PAS dan PAN masih memerlukan antara satu sama lain.
Umpama
pepatah Melayu , " Carik-Carik Bulu Ayam, Akhirnya bercantum semula ".
Adik beradik yang berkelahi tidak akan terputus pertalian darah mereka.
Seluruh ahli-ahli keluarga akan pastinya gembira apabila sesama sendiri
dapat melupakan sengketa dan perbalahan yang lalu. Memohon maaf dan
menerima maaf saudara sendiri adalah ajaran Islam. Bukan kah
bersilaturahim rahim itu memanjangkan usia kita ? Saya berpendapat semua
penyokong-penyokong PAS dan PAN mendambakan suasana sebegini , kembali
ke semangat tahun 2008 ! Pimpinan PAS dan PAN perlu lebih banyak belajar
daripada apa yang telah berlaku untuk negara-negara lain seperti
Myanmar, Indonesia, Turki. Akan sampai suatu ketika
nanti,pengundi-pengundi hanya akan memberikan undi mereka kepada
pemimpin yang bagus dan ternyata mempunyai agenda yang betul dan jelas
dalam pembangunan negara. Pemimpin-pemimpin yang hanya bekerja untuk
kelompoknya sendiri pastinya akan dipinggirkan. Marilah kita kembali
berjiwa besar seperti Almarhum Dato' Fadhil Noor dan TGNA supaya apabila
kita telah tiada nanti nama kita akan tetap dikenang oleh anak cucu.
Terimakasih.
Hayar Hassan
0 ulasan:
Catat Ulasan