Home » , » Bertanding 30 kerusi, AWAN Kelantan siap sedia

Bertanding 30 kerusi, AWAN Kelantan siap sedia

Written By Wadah Baru on Khamis, 25 Ogos 2016 | 1:45 PTG

Cadangan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk bertanding 30 kerusi di Kelantan pada PRU 14 akan datang disambut baik jentera parti itu.

Pengarah Biro Pilihan Raya (BPR) Angkatan Wanita Amanah (AWAN) Kelantan, Norashidah Jaafar berkata pihaknya telah bersiap sedia menunggu arahan untuk menjalankan tugas bagi menghadapi pilihan raya umum.

Lagipun katanya berdasarkan senario politik semasa, arah tuju parti pemerintah negeri sekarang tidak menjamin masa depan melihat kepada keangkuhan pemimpin-pemimpin mereka.

Menurutnya, Amanah meneruskan perjuangan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengambil tampuk pemerintahan di Putrajaya daripada Umno-BN.

"Alhamdulillah kita telah menghadapi pilihan raya negeri Sarawak dan dua pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar membolehkan kita menilai dan mengemaskini jentera," katanya kepada Malaysia Dateline ketika ditemui di program ziarah tokoh di Kubang Kerian.

Cadangan ini katanya amat munasabah kerana Amanah telah berjaya bergerak dengan baik sejak penubuhannya setahun lalu.

"Sekarang organisasi peringkat negeri dan kesemua 14 kawasan di Kelantan telah berjaya diwujudkan secara berdaftar.

"Operasi sekarang ialah penubuhan cawangan-cawangan disusuli pemuda dan AWAN yang bergerak rancak seperti sasaran yang dijadualkan," katanya.

Walaupun organisasi AWAN masih di peringkat penaja katanya, struktur untuk peringkat negeri dan seluruh kawasan-kawasan telah lengkap.

"Proses seterusnya hanyalah peringkat teknikal dan saya yakin dapat menyelesaikan kesemua peringkat organisasi sebelum masuk tahun depan," katanya.

Bagi pihak biro pilihan raya katanya, AWAN sudah pun menyusun jadual kerja untuk melatih semua peringkat jentera.

"Kita akan ikuti semua rancangan kerja seperti diperincikan dalan Retreat Amanah Kelantan pertengahan Ogos lalu bagi melahirkan pasukan kerja mampu menang di semua peringkat organisasi," katanya.

Ditanya mengenai calon pilihan raya, beliau berkata AWAN Kelantan sudah mengenalpasti tokoh-tokoh wanita untuk dipertandingkan dalam PRU nanti.

Dengan sambutan hebat golongan profesional, aktivis masyarakat dan bekas pemimpin parti lama serta NGO katanya, beliau yakin calon-calon yang dikemukakan nanti akan disambut baik masyarakat Kelantan.
"Apa pun soal calon bukan agenda yang perlu diperbesarkan kerana pimpinan parti lebih mampu membuat penilaian," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger