OLEH HAYAR HASSAN
Nama Kelantan Darul Naim sememangnya bagitu istimewa khususnya bagi masyarakat Melayu Malaysia.
Kelantan Darul Naim memang berbeda dalam banyak hal dengan negeri-negeri lain dalam Malaysia.
Budayanya, loghat percakapan warganya, makanannya, sikap warganya,
cara hidup seharian dan pandangan politik warganya memang berbeda dengan
negeri-negeri lain.
Bagi orang Melayu, Kelantan Darul Naim sememangnya mempunyai banyak keunikan dan keistimewaan.
Sekitar tahun 70’an, kalau mahu melihat usahawan-usahawan dan
juragan-juragan Melayu yang berjaya pergilah ke Kelantan Darul Naim.
Gedung-gedung besar, kilang-kilang batik, kedai-kedai emas di
tengah-tengah bandar yang dimiliki oleh orang Melayu hanya terlihat di
Bandar Kota Bharu.
Berbondong-bondong lah bas-bas rombongan yang membawa orang-orang
Melayu dari seluroh Negara bertolak ke Kota Bharu, semata-mata kerana
gembira melihat ramainya orang-orang Melayu berniaga. Di bandar-bandar
utama lain, sukar ditemui orang Melayu berniaga. Orang Melayu hanya
lebih selesa menjadi pembeli sahaja.
Paling hebat pun sekadar pandai membuat tawar menawar dengan tokeh-tokeh kedai sahaja.
Namun kali ini, saya lebih berminat untuk berbicara soal sudut pandang warga Kelantan Darul Naim terhadap politik kepartian.
Semenjak merdeka, Kelantan Darul Naim telah mempunyai 7 orang Menteri Besar@MB. Empat orang MB tersebut adalah daripada PAS dan tiga lagi adalah daripada Barisan Nasional@BN.
Lain-lain negeri semuanya mempunyai MB atau Ketua Menteri@KM daripada Perikatan/BN. Hanya selepas PRU ke 12 keadaan mula berubah.
Cuma pengundi-pengundi Kelantan Darul Naim sahaja yang berani dan
mampu menobatkan MB nya bukan dari Perikatan/BN. Ini lah satu lagi
keunikan dan keistimewaan Kelantan Darul Naim.
Pengundi-pengundi Kelantan Darul Naim mampu berbeda dan berlainan dengan pengundi-pengundi negeri lain.
Banyak orang berpendapat pengundi-pengundi Kelantan Darul Naim lebih
cerdik dan mempunyai keberanian luar biasa. Gertakan tiada pembangunan
dan dipinggirkan oleh arus pembangunan nasional tidak mereka pedulikan.
Daripada 7 orang MB tersebut, yang paling lama menjawat jawatan
adalah Almarhum Tuan Guru Datuk Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat@TGNA (daripada 22.10.1990 hingga 12.2.2015).
Almarhum TGNA mampu menjawat jawatan ini selama sekitar 23 tahun.
Sehingga ke akhir hayatnya, Almarhum TGNA sentiasa dihormati oleh kawan dan musuh politiknya.
Dalam menguruskan pentadbiran Negeri Kelantan Darul Naim, slogan yang
dipopularkan oleh Almarhum TGNA “ Membangun Bersama Islam “ cukup
memukau semua pencinta-pencinta harakah Islam di negara ini.
Seorang ahli PAS pernah menjadikan tema slogan “Membangun Bersama
Islam“ itu untuk kad undangan walimatulurus anaknya sekitar tahun 2000
terperanjat besar apabila mendapati dalam satu sampul surat sumbangan
tetamu-tetamu majlisnya itu berisi wang RM500.00.
Terselit nota kecil menyatakan bahawa tetamunya itu cukup teruja
dengan tema kad undangannya itu yang tertulis “ Membangun Bersama
Islam“!
Jarang sekali tetamu Muslim/Melayu menyumbangkan jumlah yang sebesar
itu untuk hanya sebuah majlis walimatulurus orang biasa, bukan VIP atau
orang berpengaruh.
Almarhum TGNA dilihat sebagai sosok yang lemah lembut, agamawan yang cukup berilmu,
ahli politik yang telus, tidak mengutamakan diri dan keluarga, banyak
berkorban untuk rakyat, cukup tawaduk, menghormati tetamu dan
menunjukkan rasa kasih sayang kepada anak-anak muda dan orang-orang yang
kurang bernasib baik.
Almarhum sentiasa menampilkan watak sederhana dengan berjubah,
berbaju Melayu dan berserban. Kalau diamati, salah satu sifat istimewa
yang dimiliki oleh Almarhum TGNA adalah menjadi pendengar yang setia dan
baik kepada orang yang sedang berbicara dengannya.
Beliau tidak akan memotong cakap orang lain dan membuka mulutnya
untuk berbicara sehinggalah orang itu berhenti bercakap. Sebenarnya
itulah yang diajarkan oleh Islam. Orang-orang yang tidak menyukai
Almarhum TGNA sendiri pastinya akan terpukul dengan kelembutan dan
kesabarannya.
Semasa hayatnya jarang sekali kita mendengar individu-invidu yang
mengeluarkan kata-kata yang terlalu kesat dan menjelekkan kepada
Almarhum TGNA.
Apa yang diamalkan oleh Almarhum TGNA itu amatlah bertepatan sekali
dengan sepotong Hadis nombor 704 dalam Riyadhus Shalihin tulisan Imam
Nawawi yang berbunyi “ Dari Abu Hurairah r.a, bahawasanya Nabi SAW
bersabda: Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka
hendaklah memuliakan tamunya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah
dan hari akhir, maka hendaklah mempereratkan hubungan kekeluargaannya
dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka
hendaklah mengucapkan yang baik ataupun berdiam diri saja – kalau tidak
dapat mengucapkan yang baik. “ (Muttafaq ‘alaih).
Almarhum TGNA sebenarnya banyak mengamalkan Sunnah-Sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan sehariannya.
Dari pengalaman saya sendiri, seusai solat berjamaah di Mesjid di
sebelah rumahnya, TGNA yang menjadi imam solat, berzikir secara perlahan
dan bersendirian.
Atas wasiat Almarhum sendiri, pengkebumian Almarhum dijalankan
mengikut Sunnah Rasulullah SAW dan Salafussaleh, tanpa talkin, tahlil
dan bacaan Al-Quran di perkuburan.
Dalam kesibukannya menguruskan pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan
Darul Naim, memberikan kuliah-kuliah agama dan memenuhi jemputan
program-program politik, Almarhum TGNA masih mampu
meluangkan masa emas
nya untuk berinteraksi dengan golongan orang-orang seni dan orang-orang
sukan. Almarhum TGNA cuba mendekati golongan-golongan ini dengan hasrat
untuk memperlihatkan betapa indahnya ajaran Islam itu.
Islam yang indah itu bukan hanya milik agamawan dan ustaz-ustaz
sahaja. Islam itu adalah milik semua orang yang mengucap dua kalimah
syahadah. Bangsa, budaya, warna kulit, bahasa, pekerjaan, geograpi dan
status hidup dalam masyarakat bukanlah kriteria utama untuk menjalani
dan mempraktikan Islam yang syumul. “ Islam Itu Indah, “, seperti tajuk
rancangan popular realiti TV Pelangi, Al Ustaz Maulana daripada Negara
jiran Indonesia.
Banyak nama-nama besar dunia seni mendekati Almarhum TGNA. Dato’ Siti
Nurhaliza binti Tarudin bersusah payah datang menemui Almarhum TGNA
bersama suaminya Dato’ K pada 2 April 2009.
Seterusnya, Dato’ Siti Nurhaliza mengabadikan sebuah lagu berjudul “
Lelaki Tribute Untuk Tok Guru Nik Aziz )“ ! Belum pernah terjadi seorang
penyanyi terkenal berstatuskan Biduanita Negara meminati seorang Tok
Guru bernama Nik Aziz Nik Mat.
Novelis tersohor dari negara jiran Indonesia, Habiburrahman El Shirazy@Kang Abik juga tidak ketinggalan bertandang ke Kota Bharu untuk berinteraksi dengan Almarhum TGNA.
Kang Abik bersama-sama dengan pelakon-pelakon Sinetron Popular Ketika Cinta Bertasbih seperti Kholidi Asadil Alam@Ustaz Azzam, Oki Setina Dewi@Anna Althafunisa dan Meyda Sefira@Ayatul Husna sempat berkunjung ke Kota Bharu untuk bertemu dengan TGNA.
Kunjungan artis-artis ini menggambarkan bahawa sosok yang bernama
TGNA itu sememangnya disenangi oleh semua golongan dan lapisan
masyarakat tanpa mengira status sosial mereka.
Tokoh agamawan sensasi dan penuh kontroversi seperti Mufti Perlis
Dato’ Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin juga antara yang pernah
berkunjung menemui TGNA. Hatta mediang Saudara Lee Kuan Yew, mantan
Perdana Menteri Singapura turut melakukan kunjungan hormat kepada TGNA
di Kota Bharu satu waktu dulu.
Begitulah antara nama-nama besar yang sempat membuat kunjungan hormat
kepada Almarhum TGNA. Kehadiran TGNA di persada pengurusan dan
pentadbiran Kerajaan Kelantan Darul Naim umpama anugerah sebutir permata
oleh ALLAH SWT untuk rakyat negeri Kelantan Darul Naim.
Pemergian Almarhum TGNA amat dirasakan sekali oleh semua rakyat. Almarhum TGNA telah meletakkan contoh teladan seorang Menteri Besar@MB yang ideal dan dikagumi oleh rakyat Malaysia.
Untuk PRU ke 14 yang akan datang, sewajarnya pengundi-pengundi bumi
Cik Siti wan kembang ini memilih parti yang mempunyai calon MB yang
berkarisma sehebat Almarhum TGNA.
Mungkinkah Umno@BN/Pas/Pakatan Harapan@PH mampu menonjolkan calon-calon sehebat beliau?
Piawaiannya sudah ada. Seperti telahan Dato Paduka HusamM usa@DPHM, Kerajaan Pas yang ada mungkin tidak dapat dipertahan lagi selepas PRU ke 14 nanti.
Kelihatannya PAS Kelantan Darul Naim memang sukar mencari tokoh pengganti sehebat Almarhum TGNA.
Sebutir permata itu sukar ditemui dalam PAS pada waktu ini!
Dalam suasana begini, Umno dan PH sama-sama mempunyai peluang untuk
menang dalam PRU itu nanti dan seterusnya mengambilalih pemerintahan
Kelantan Darul Naim.
Tempoh sekitar 2 tahun yang ada ini menjelang PRU Ke 14 itu wajar
digunakan oleh PH untuk menonjolkan tokoh-tokoh yang mampu menerajui
Kerajaan Kelantan Darul Naim.
Sikap pengundi-pengundi Kelantan yang tidak cenderung kepada UMNO/BN
wajar dimanafaatkan oleh PH. Pengundi-pengundi Kelantan gemar memilih
orang Kelantan sendiri yang punya keberanian dan selalu ke hadapan
memperjuangkan kebajikan rakyat terbanyak, bukannya sekadar
memperjuangkan kepentingan keluarga dan kelompoknya sendiri.
Cumanya sekiranya terjadi pertandingan 3 penjuru, banyak orang
berpendapat ini akan menguntungkan Umno/BN. Mampukah PH dan Pas duduk
semeja, berunding dan berkompromi pembahagian kerusi-kerusi DUN supaya
bumi Cik Siti Wan Kembang ini tidak
jatuh kepada Umno/BN. Penyokong-penyokong pembangkang masih
mengharapkan era kekompakan PR tahun 2008 masih bolih dijelmakan semula.
Mungkin kah akan ditemui lagi sebutir pertama di bumi Cik Siti Wan Kembang ini.
Sama-sama lah kita berdoa dan berharap. Akhirnya marilah kita
menghayati lirik sebuah lagu yang diabadikan oleh Dato’ Siti Nurhaliza
untuk Almarhum TGNA.
Lagu tersebut mudah diperolehi melalui U-Tube.
Bait-bait liriknya cukup mengesankan dan mengembalikan nostalgia
pendengar kepada sosok tubuh bergelar YAB Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat,
sebutir permata yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT kepada rakyat
negeri Kelantan Darul Naim@Cik Siti Wan Kembang.
Mencari sebutir lagi permata di bumi Cik Siti Wan Kembang
Written By Wadah Baru on Khamis, 18 Ogos 2016 | 11:51 PG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan